Apakah yang perlu dilakukan?
Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentu sekali bukan penyelesaiannya. Jika anak anda tidak mahu berkongsi masalah mereka, anda boleh memerhatikan reaksi mereka dengan bertanyakan soalan yang melibatkan topik. Contohnya, anda boleh bertanya di mana mereka meletakkan barangan peribadi mereka dan jika mereka tidak menjawab, teruskan bertanya jika ada individu lain yang mencuri barangan tersebut.
Ketika ini, perhatikan riak wajak, bahasa tubuh serta nada suara mereka. Jika anak anda sudah bersedia untuk bercerita, pastikan mereka selesa dan percaya dengan anda. Jangan sesekali memarahi mereka kerana ini bukanlah salah mereka. Sebaiknya, biarkan mereka meluahkan perasaan mereka seterusnya menenangkan dan puji mereka kerana berani menceritakan perkara yang betul kepada anda.
Selain itu, anda juga boleh berbincang dengan cikgu di sekolah anak anda atau terus berjumpa pengetua sekolah bagi membincangkan langkah intervensi yang boleh dilakukan untuk membendung gejala buli ini. Jika gejala ini masiih berlaku dan anak anda terus menjadi mangsa, anda seharusnya berjumpa dengan ibu bapa pembuli untuk berbincang.
Akhir sekali, ajar anak anda bagaimana untuk melindungi diri sendiri. Ajar mereka untuk mendapatkan bantuan daripada individu dewasa jika mereka berasa terancam dan selalu berada dalam kumpulan yang besar untuk mengurangkan risiko ancaman. Sebagai ibu bapa, sentiasa ingatkan anak anda akan perkara ini sebelum keluar ke mana-mana.
Buli dan peristiwa traumatik lain turut memberi kesan terhadap kewujudan mogok sekolah oleh budak sekolah yang terbabit. Persekolahan merupakan satu tanda tempoh peralihan dalam kehidupan setiap individu untuk mengembangkan rasa berdikari dan menyesuaikan diri dengan peringkat berpisah daripada ibu bapa dan berjumpa dengan individu baru. Tidak dinafikan, terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi budak sekolah dalam kehidupan bersekolah. Sesetengah cabaran adalah mudah untuk diselesaikan, namun ada juga yang sukar. Jika masalah tersebut dibiarkan tanpa sebarang penyelesaian, perasaan negatif seperti ketakutan, kemurungan, dan kegelisahan mungkin akan wujud dari semasa ke semasa, yang akhirnya mewujudkan gangguan psikologi yang dipanggil ‘mogok sekolah’. Walaupun usia umum untuk gangguan ini bermula adalah dari 10 hingga 13 tahun, risiko mogok sekolah ini tidak terhad kepada sebarang jantina, etnik dan kumpulan usia.
Simptom mogok sekolah

Jika simptom berikut berlaku berulang kali selepas anak anda memulakan persekolahan, berkemungkinan besar ia adalah tingkah laku mogok sekolah yang mungkin wujud:
- Sikap tidak normal seperti agresif, penafian, keletihan, kemurungan, kegelisahan sosial, ketakutan dan panik.
- Sikap mencari perlindungan yang berlebihan.
- Suka berkepit dengan individu dewasa secara berlebihan.
- Mengamuk atau menangis apabila perlu ke sekolah.
- Melarikan diri daripada sekolah atau rumah.
- Cuba untuk lambat, tiba ke sekolah selambat yang boleh.
- Cuba mendapatkan keizinan untuk tidak hadir ke sekolah atau kerap untuk mendapatkan rawatan harian untuk masalah fizikal seperti kekejangan perut, sakit kepala atau mual. Walau bagaimanapun, simptom ini hilang sebaik sahaja mereka dibenarkan pulang ke rumah.
Punca mogok sekolah
6 punca yang biasanya menjadi penyebab utama:
- Kesukaran untuk bersosial seperti pengucapan awam, pengasingan, konflik atau dibuli dengan rakan.
- Kesukaran dalam akademik seperti kesukaran dalam hal berkaitan gred atau kegelisahan ujian.
- Kesukaran atau konflik dengan guru.
- Kegelisahan perpisahan, iaitu rasa takut sesuatu mungkin berlaku kepada mereka atau ibu bapa mereka apabila berpisah.
- Peristiwa traumatik seperti kesakitan atau kematian ahli keluarga atau perpisahan atau perceraian ibu bapa.
- Manfaat yang diperolehi apabila duduk di rumah seperti dapat menonton televisyen, bermain permainan video atau meluangkan masa dengan keluarga tersayang.
Langkah penyelesaian mengatasi mogok sekolah
- Pengenalan dan pengintegrasian secara berperingkat untuk ke sekolah dan kelas. Pelajar mungkin hanya menghadiri sesi makan tengahari dan menghadiri beberapa kelas kegemaran untuk peringkat permulaan bagi beberapa hari. Peningkatan secara berperingkat dan berterusan ini untuk memberikan pelajar pendedahan terhadap persekitaran yang membuatkan pelajar merasakan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti apabila menghadiri kelas.
- Pertemuan tidak formal bersama guru. Ini membolehkan penyelesaian sebarang salah faham yang timbul kepada anak anda kepada guru mereka dan juga dalam masa yang sama memperkukuhkan ikatan antara kedua-dua pihak.
- Perbincangan mendalam. Ini dapat membantu untuk lebih memahami masalah dan kebimbangan serta ketakutan dari akar umbi, sekali gus mencari pendekatan yang sesuai untuk membantu mereka mengatasi masalah mereka.
Bagaimana untuk memastikan keselamatan anak anda di sekolah?

Sekolah merupakan antara tempat yang paling selamat untuk kanak-kanak, namun, memastikan keselamatan anak di sekolah merupakan kebimbangan bagi sebilangan besar ibu bapa. Penyakit, kemalangan dan kecemasan boleh berlaku, persediaan kecil boleh membantu untuk memastikan anak selamat di sekolah.
Sediakan anak dengan maklumat untuk dihubungi
Ibu bapa perlu memastikan anak dapat mengingati semua makluman individu penting untuk dihubungi, termasuk nama penuh, alamat dan nombor telefon ibu bapa. Ia adalah untuk membantu anak untuk dapat menghubungi ibu bapa apabila berlaku kecemasan. Disarankan juga untuk memberikan pihak sekolah maklumat tersebut dan memaklumkan jika berlaku sebarang perubahan. Maklumat seperti preskripsi ubatan, masalah perubatan, pembedahan yang pernah dijalankan adalah penting untuk dimaklumkan kepada pihak sekolah.
Maklumkan kepada sekolah mengenai keadaan kesihatan anak
Sekiranya anak anda mempunyai masalah kesihatan yang kronik, seperti asma, diabetes atau alahan yang teruk, anda perlu mempunyai pelan perancangan yang teratur dengan sekolah. Ibu bapa perlu meminta untuk berjumpa dengan individu yang bertanggungjawab terhadap keperluan kesihatan kanak-kanak untuk berbincang mengenai situasi yang dihadapi anak. Untuk melindungi anak anda, adalah sebaiknya untuk melatih mereka untuk bertindak balas jika berlaku sebarang kes kecemasan atau untuk mengendalikan ubatan. Adalah penting untuk kanak-kanak mengetahui cara untuk menyelamatkan diri atau meminta bantuan daripada guru atau rakan.
Ajarkan asas kebersihan dan penjagaan diri
Membasuh tangan merupakan satu rutin kebersihan diri yang membantu melindungi kanak-kanak daripada jangkitan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak mengenai barangan yang mereka tidak boleh kongsikan dengan individu lain seperti berus gigi, tuala, pisau cukur, sapu tangan, penyepit kuku dan barang-barang peribadi lain, kerana berkongsi mungkin menjadi punca kepada jangkitan.
Dapatkan vaksin mengikut ketetapan masa
Sekolah merupakan antara tempat yang penuh dengan banyak individu, menjadikan ia antara sumber penyebaran virus dan penyakit. Oleh itu, mengikuti jadual vaksin yang ditetapkan adalah antara cara penting untuk melindungi anak anda daripada penyakit di sekolah. Setiap dos vaksin adalah penting kerana ia melindungi dan melawan penyakit berjangkit yang menjadi ancaman kepada kesihatan.
Berwaspada dengan pembuli

Seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli jarang berkongsi cerita dengan individu lain terutamanya ibu bapa mereka. Dan sebagai ibu bapa, anda harus sentiasa mengambil berat dan berbual dengan anak anda serta mengenal pasti sebarang tanda amaran, seperti kemerosotan gred, merayu untuk tidak hadir ke sekolah atau menyendiri daripada sosial. Mengenali rakan kepada anak anda juga boleh membantu anda untuk memahami anak anda, situasi mereka dan mencari jalan untuk membantu.
Peraturan keselamatan lain
Jika anak anda mengambil bahagian dalam acara sukan sekolah, pastikan mereka memakai pakaian yang betul semasa bermain. Ibu bapa perlu mengenal pasti simptom gegaran dan memerhatikan keadaan anak selepas mereka pulang daripada aktiviti sukan.
Ajarkan kepada anak anda tentang peraturan keselamatan jalan raya. Jika ibu bapa membenarkan anak untuk berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah, ajarkan mereka cara untuk menyeberangi jalan menggunakan lintasan jalan yang disediakan. Jika mereka menaiki bas, ajar mereka untuk melihat pemandu bas sebelum melintasi bahagian hadapan bas dan elakkan untuk berjalan di belakang bas.
Sebagai ibu bapa, anda perlu sentiasa memastikan kesejahteraan fizikal dan mental anak-anak anda. Pantau aktiviti harian anak-anak anda, perkembangan dari masa ke masa dan reaksi serta sebarang perubahan yang ketara. Anak anda berkemungkinan mempunyai masalah yang tidak diceritakan kepada anda akibat takut dimarahi atau dimalukan. Jadilah pendengar yang baik dan setia kepada anak anda.
Baca juga:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen