Anak Menghidap Masalah Kelamin, Khunsa? Jangan Panik, Ini Yang Kita Kena Tahu!
Di saat janin masih berada di dalam kandungan lagi, ibu bapa semestinya teruja untuk mengetahui jantina atau jenis kelamin bayi, bukan? Ia sudah pasti merupakan saat yang sangat istimewa!

Tidak kira jantina bayi anda itu lelaki atau perempuan, keterujaan menantikan kelahiran tetap sama.
Namun, lain pula ceritanya jika jenis kelamin bayi anda tidak begitu jelas.
Ini kerana wujudnya kes terpencil di mana bayi lahir dengan masalah ambiguous genitalia atau turut dikenali sebagai khunsa.
Jom baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang khunsa.
Kondisi ambiguous genitalia itu khunsa?
Untuk pengetahuan anda, di Indonesia, khunsa dipanggil sebagai kelamin ganda. Kondisi yang jarang terjadi ini mengakibatkan alat sulit bayi tidak dapat menentukan jantina mereka.
Masalah khunsa mungkin akan menyebabkan bayi memiliki dua jenis kelamin tetapi tidak ada kecenderungan jantina.
Jangan pula anda tersalah sangka bahawa khunsa merupakan sejenis penyakit.
Kekeliruan tentang jenis kelamin sebenarnya akibat daripada gangguan proses tumbesaran dan perkembangan seksual sejak dari dalam rahim lagi.

Mungkin benar bahawa masalah kelamin ganda membawa khabar yang kurang disenangi ibu bapa.
Meskipun begitu, anda tidak boleh terus bersedih dan berputus asa kerana peranan sebagai ibu bapa perlu diteruskan.
Dengan bantuan doktor, jantina bayi anda mungkin akan dapat ditentukan dan dipastikan.
Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan sejak dari peringkat awal lagi.
Apakah punca & faktor risiko masalah kelamin bayi?
Seperti yang telah dinyatakan di atas, masalah berkaitan jenis kelamin bayi terbentuk dan terjadi semasa tempoh kehamilan akibat gangguan dalam proses tumbesaran.
Punca utama masalah ini ialah gangguan hormon semasa tempoh hamil.
Gangguan ini menjejaskan perkembangan organ intim janin.
Berikut merupakan sebab lain terjadinya masalah khunsa:
- Kurangnya hormon lelaki dalam kalangan janin dengan kromosom seks XY
- Hormon lelaki yang berlebihan pada janin perempuan (kromosom seks XX)
- Bilangan kromosom seks yang terkurang atau terlebih
- Mutasi pada gen tertentu yang akan memberi kesan negatif terhadap tumbesaran dan perkembangan jantina janin dalam kandungan
- Kadangkala, punca kondisi ini mungkin tidak dapat dipastikan
Dalam pada itu, wujud juga beberapa faktor risiko yang boleh mengakibatkan masalah khunsa:
- Ibu bapa yang ada masalah khunsa
- Pasangan yang kurang atau tidak subur
- Suami atau isteri dengan kondisi hiperplasia adrenal kongenital
- Pasangan yang pernah ada kes kematian bayi sama ada semasa hamil atau selepas lahir sebelum ini
Bagaimana untuk tahu jenis kelamin bayi?
Menurut Intersex Society of North America (ISNA), bilangan kes bayi yang lahir dengan kondisi ambiguous genitalia ialah 1 dalam 1500 ke 2000 kelahiran.
Dalam usaha ibu bapa untuk menentukan jenis kelamin mana yang lebih dominan, wajar untuk kes ini dibawa dan dibincang dengan doktor terlebih dahulu.
Jantina bayi bukan hanya ditentukan oleh jenis kelamin kerana faktor genetik perlu diambil kira.
ISNA menyarankan supaya ibu bapa tidak terburu-buru dalam menentukan jantina anak berdasarkan jenis kelamin mereka.
Ini kerana masalah khunsa mungkin perlu diamati dan diperhati untuk tempoh tertentu.
Melalui cara ini, ibu bapa boleh mengetahui sama ada perkembangan fizikal, mental dan hormon bayi lebih cenderung kepada jantina lelaki atau perempuan.
Masa yang paling sesuai bagi menentukan jantina bayi ialah ketika mereka sudah mencapai usia akil baligh.
Dapatkan informasi dan nasihat lanjut daripada doktor.
Apa pula yang ibu bapa perlu buat?
Setelah doktor mengesahkan jenis kelamin bayi yang lebih dominan, ibu bapa harus mengambil inisiatif yang bersesuaian demi masa depan anak.
#1. Pengambilan ubat hormon
Ibu bapa boleh memberikan ubat hormon seperti yang disarankan oleh doktor bagi membantu mengatasi ketidakseimbangan hormon di dalam tubuh badan anak anda.
Kadar hormon yang tepat boleh membantu tumbesaran dan perkembangan fizikal anak anda.
#2. Pembedahan alat kelamin
Ibu bapa juga boleh mempertimbangkan pembedahan kelamin untuk anak agar bentuk dan fungsi alat sulit mereka bertambah baik.
Kesimpulannya, bukan salah sesiapa jika seseorang bayi lahir dengan kondisi ambiguous genitalia.
Jenis kelamin bayi merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Pokoknya, berjumpa dan berbincang dengan doktor harus diutamakan.
Jika langkah yang sewajarnya tidak diambil, anak anda yang akan merana! Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.