Tahukah anda, masalah lidah pendek dalam kalangan bayi sebenarnya boleh memberikan kesan terhadap tumbesarannya kelak? Jika anda ingin tahu apakah kesan lidah bayi pendek, teruskan bacaan anda menerusi penulisan ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Apa itu masalah lidah pendek?
Dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai ankiloglossia (ankyloglossia). Keadaan ini juga dikenali sebagai tongue tie dalam bahasa Inggeris.
Ia merupakan satu keadaan yang menyekat atau membataskan pergerakan lidah bayi sejak dilahirkan.
Ia berlaku apabila lidah bayi kekal melekat dengan dasar mulutnya dan menjadikan otot nipis di bawah lidah atau frenulum terlalu pendek.
Dengan itu, pergerakan lidah akan menjadi terhad dan sekali gus mengganggu fungsi lidah bayi.
Apakah tanda-tanda lidah pendek dalam kalangan bayi dan kanak-kanak?
Tanda atau simptom lidah pendek dalam kalangan bayi boleh dikategorikan sebagai sederhana atau teruk.
Lidah bayi mungkin kelihatan seperti berbentuk jantung atau mungkin mempunyai takuk di dalamnya.
Antara tanda-tanda atau simptom bayi anda mengalami masalah lidah pendek ialah:
- Sukar untuk menghisap susu ketika menyusu
- Bayi kerap berasa lapar
- Sesi penyusuan bayi menjadi lebih lama
- Bayi sukar untuk menambah berat badan
- Bunyi ‘klik’ ketika bayi sedang menyusu badan
Bagi kanak-kanak pula, antara tanda mereka mengalami masalah ini ialah:
- Mengalami gangguan atau masalah pertuturan
- Sukar menjilat aiskrim
- Sukar untuk menelan makanan
- Tidak boleh atau sukar untuk menggerakkan lidah ke lelangit atau tepi mulut
- Sukar untuk mengeluarkan lidah daripada mulut
Jenis-jenis lidah bayi pendek
Untuk menentukan jenis atau kategori masalah lidah bayi pendek, kita akan menggunakan skala atau Klasifikasi Hazelbaker.
Klasifikasi ini telah digunakan secara meluas dalam dunia perubatan.
Dalam Klasifikasi Hazelbaker, terdapat empat jenis kategori lidah pendek:
Jenis 1
Otot nipis di bawah lidah atau frenulum mempunyai ciri yang nipis dan elastik.
Ia melekat pada hujung lidah sehingga ke bahagian dalam rongga mulut. Jika dilihat dari hadapan, ia kelihatan seperti bentuk jantung (love).
Jenis 2
Otot nipis di bawah lidah mempunyai ciri yang nipis dan elastik. Ia berada hanya 2 hingga 4 milimeter daripada hujung lidah dan melekat ke bahagian dalam rongga mulut.
Jenis 3
Frenulum atau otot nipis di bawah lidah bersifat lebih tebal, berserabut dan tidak elastik. Ia melekatkan bawah tengah lidah dengan dasar mulut bayi.
Jenis 4
Frenulum atau otot nipis di bawah lidah tidak kelihatan, namun masih boleh dirasai. Ia bersifat tebal, berserabut dan melekat daripada dasar bawah lidah ke bahagian dasar mulut bayi.
Selain daripada Klasifikasi Hazelbaker, anda juga boleh menggunakan alat penilaian TABBY untuk menilai masalah lidah pendek bayi anda.
Ini kesan tongue tie terhadap anak anda
Apabila berlakunya masalah lidah bayi pendek, ia sememangnya boleh memberikan kesan atau impak terhadap bayi tersebut.
Kesan ini akan semakin jelas apabila bayi semakin membesar.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Antara kesan utama lidah anak pendek ialah:
#1. Kesan terhadap penyusuan
Bayi dengan keadaan lidah yang normal tidak mempunyai masalah untuk menyusu dengan selesa.
Namun, bagi bayi yang mempunyai masalah frenulum yang pendek, mereka akan sukar untuk menghisap puting sewaktu disusukan.
Bukan itu sahaja, puting payudara ibu juga akan mudah mengalami luka dan melecet setiap kali menyusukan bayi.
Apabila bayi tidak dapat menyusu dengan baik, maka mereka tidak akan mendapat nutrisi daripada susu secukupnya.
#2. Kesan terhadap proses kunyahan dan menelan makanan
Bayi dengan lidah yang normal tidak mempunyai masalah yang besar untuk mengunyah dan menelan makanan.
Ini kerana lidah dapat membantu menggerakkan makanan dalam mulut dengan baik dan berkebolehan menolak makanan ke dalam tekak sewaktu menelannya.
Namun, bagi masalah tongue tie, makanan akan menjadi sukar untuk digerakkan dalam mulut.
Selain itu, karies gigi juga lebih mudah terbentuk memandangkan lidah tidak dapat membersihkan sisa makanan pada celah gigi atau bawah lidah dengan berkesan.
#3. Kesan terhadap pertuturan
Otot lidah yang normal boleh membuat pelbagai gerakan untuk menghasilkan bunyi perkataan atau percakapan.
Namun, bagi masalah frenulum atau otot nipis di bawah lidah yang pendek, ia akan mengganggu kualiti pertuturan bayi atau kanak-kanak.
Sebutan bayi atau kanak-kanak akan menjadi tidak betul, kelajuan percakapan yang tidak sama, ritma sebutan yang terganggu selain sebutan yang kurang jelas.
#4. Kesan terhadap kehidupan sosial
Apabila bayi anda membesar dan memasuki alam kanak-kanak, mereka akan berdepan dengan beberapa masalah yang berkaitan aktiviti sosial.
Disebabkan mereka tidak mampu untuk bercakap, meniup, dan menjilat dengan baik, maka mereka mungkin akan menolak atau tidak dapat menyertai sebarang aktiviti bersama rakan-rakan.
Masalah ini juga akan membuatkan mereka berasa malu dan rendah diri di hadapan rakan-rakan yang lain.
Jadi, ibu bapa perlu kenal pasti perkembangan setiap anak-anak agar lebih awal bertindak.