Bayi comel merenung dan memandang ke arah anda? Alamak si kecil ini pun memilih tengok individu cantik ke?
Perasan tak, adakalanya ada baby suka melihat individu tertentu? Tetapi dalam situasi lain pulak, baby anda mungkin akan menunjukkan reaksi tidak suka kepada sesetengah individu. Haaa..nak tahu tak sebab apa? Ada rahsia menarik Hello Doktor nak kongsikan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Bayi comel merenung ke arah anda? Ini sebabnya!
Secara semula jadi
Pernah tak apabila anda berdepan dengan bayi dan dia kelihatan seperti suka melihat anda? Itu tandanya pada pandangan mereka anda adalah cantik / kacak. Mesti rasa bangga, bukan? Kembanglah hidung sekejap.
Ini bukan rekaan tetapi ia adalah satu kajian yang dilakukan di United Kingdom. Dijalankan pada tahun 2004, kajian ini adalah berkisarkan mengenai aspek tingkah laku atau psikologi seseorang bayi.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Dalam kajian ini mendapati bayi tidak perlu diajar atau belajar mengenai cara dan kaedah mengenal wajah, tetapi mereka secara semula jadi sudah dilahirkan dengan kemahiran ini. Menarik, bukan?
Individu cantik
Dalam penyelidikan melibatkan bayi-bayi yang berusia seawal sehari, mereka diperlihatkan atau ditayangkan gambar-gambar muka dan hasilnya mendapati bayi-bayi tersebut lebih banyak menghabiskan masa untuk melihatkan wajah dengan ciri wajah menarik.
Menurut salah seorang penyelidik daripada University of Exeter, Alan Slater, “Daya tarikan bukan terletak pada kaca mata mereka yang melihat. Ia adalah satu perkara yang semula jadi wujud dalam bayi comel yang baru lahir.”
Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Slater yang melibatkan bayi seawal usia sehari ini, membuktikan bahawa bayi tidak lahir ke dunia dengan sekadar ‘lembaran kosong’. Tetapi mereka memasuki dunia dengan sistem perkembangan persepsi yang cukup seimbang.
Simetri sempurna
Slater menjelaskan bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna sebagai seorang manusia.
“Seorang bayi dilahirkan dengan persepsi wajah individu manusia yang sempurna. Disebabkan itu, mereka seperti sudah biasa melihat wajah individu cantik dan kacak.
Situasi ini sekali gus membantu mereka untuk lebih mengenali wajah-wajah individu lain. Malahan, secara tidak langsung, individu dengan raut wajah menarik ini dapat membantu mereka mengenali dunia sosial,” jelas Slater.
Bayi comel tengok sebab lebih kepercayaan
Satu kajian lain yang diterbitkan dalam British Journal of Developmental Psychology menunjukkan bayi serta kanak-kanak lebih mudah mempercayai kata-kata yang dilafazkan oleh individu dengan raut wajah yang menarik. Ini khususnya melibatkan wanita cantik. Beruntunglah wanita yang mempunyai raut wajah cantik!
Kajian ini menyatakan sama ada bayi lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai tahap minat dan kepercayaan yang sama. Ini bermakna mereka lebih mempercayai wanita cantik atau lelaki yang kacak berbanding individu dengan raut wajah kurang menarik.
Pengiktirafan ikhlas
Jadi apa yang boleh disimpulkan daripada artikel ini? Mudah je. Kalau kata selepas ini bayi anda atau mana-mana bayi merenung anda, percayalah itu merupakan satu pengiktirafan paling ikhlas yang menyatakan bahawa anda adalah individu cantik dan kacak. Senyum dan berbanggalah!