backup og meta

Alami Kaki Bengkak Semasa Hamil, Amalkan 6 Langkah Ini Untuk Mengurangkan Ketidakselesaan

Alami Kaki Bengkak Semasa Hamil, Amalkan 6 Langkah Ini Untuk Mengurangkan Ketidakselesaan

Normal untuk ibu hamil mengalami masalah kaki bengkak. Namun, jika anda mengalami bengkak pada sebelah bahagian kaki sahaja, ataupun bengkak pada tangan dan muka secara tiba-tiba, anda perlu segera berjumpa dengan doktor kerana ia adalah tanda pre-eclampsia. Bagi mengatasi masalah kaki bengkak semasa hamil, anda boleh cuba ikuti tips di bawah:

Makan makanan yang tinggi kalium

Amalan pemakanan yang betul dapat membantu wanita hamil mengurangkan masalah kaki bengkak. Pengambilan sumber kalium dalam pemakanan dapat membantu anda kerana manfaatnya yang penting untuk pertumbuhan sistem saraf dan otot. Contoh makanan yang mengandungi kalium tinggi ialah pisang, bayam, tomato, daging, susu dan kekacang. Bagaimanapun, ibu disarankan untuk mengelak daripada makan makanan yang tinggi kandungan sodium dan garam seperti kacang masin, jeruk, telur masin dan ikan kering.

Lunjurkan kaki

Pada waktu lapang atau ketika anda sedang berehat menonton televisyen, lunjurkan kaki anda pada paras yang sama dengan punggung anda bagi membantu melancarkan peredaran darah. Semasa di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak supaya senang untuk anda melunjurkan kaki.

Jika waktu kerja anda memerlukan anda duduk sepanjang hari, pastikan ada waktu rehat untuk anda bangun dari tempat duduk dan berjalan-jalan. Setidak-tidaknya anda luruskan kaki sambil meregang serta melenturkan jari-jari kaki. Pastikan darah dalam badan anda sentiasa bergerak.

Selain itu, sesekali lakukan urutan pada kaki dengan menggunakan minyak angin bagi mengurangkan bengkak. Elakkan bersilang kaki semasa duduk.

Alas kaki dengan bantal

Sewaktu tidur, cubalah berbaring dalam keadaan mengiring ke kiri bagi mengurangkan tekanan pada vena kava bawah. Jika anda tidur secara terlentang, ia akan memberi tekanan tambahan kepada vena anda. Alaskan bantal pada kaki anda supaya kaki terletak tinggi bagi mengelakkan dan mencegah darah terkumpul. Anda juga boleh meletakkan bantal pada bahagian punggung anda sewaktu tidur mengiring.

Pakai stoking sokongan semasa tidur

Selain daripada menggunakan bantal, anda juga boleh memakai seluar stoking sokongan sebelum tidur dan menanggalkannya pada waktu pagi supaya darah tidak terkumpul di sekeliling buku lali anda. Jika masih mengalami kaki bengkak, tanyalah doktor mengenai stoking tekanan yang juga terdapat di farmasi.

Lakukan senaman

Jangan biarkan kaki anda statik tanpa pergerakan. Luangkan masa untuk bersenam setiap hari sekurang-kurangnya berjalan. Aktiviti berjalan di dalam air juga dapat membantu anda selain daripada berenang. Cari senaman ringan yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.

Tuam ais di kawasan bengkak

Faktor pemakaian turut menjadi punca masalah bengkak pada kaki. Elakkan daripada memakai kasut bertumit tinggi dan pakaian yang ketat sehingga mengganggu peredaran darah pada pergelangan tangan, buku lali atau kaki.

Jika bengkak masih tidak surut, cuba lakukan kaedah menuam ais pada kawasan yang bengkak. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti merendam kaki yang bengkak ke dalam air suam yang bercampur garam selama 10 hingga 15 minit. Rendaman ini baik bagi mengurangkan lenguh pada kaki anda.

Berjumpa doktor dengan kadar segera jika bengkak kaki berlarutan atau semakin teruk. Dapatkan pemeriksaan doktor jika masalah bengkak yang anda alami agak membimbangkan dan pertambahan berat badan anda menjadi-jadi. Anda harus berhati-hati dengan keadaan ini kerana dikhuatiri ia disebabkan oleh gejala lain yang mungkin membahayakan anda dan janin. Jangan risau, gejala bengkak ini hanya sementara dan akan hilang selepas anda melahirkan anak.

[embed-health-tool-due-date]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Can Pregnant Women Do Anything to Reduce or Prevent Swollen Ankles?

https://kidshealth.org/en/parents/ankles.html

Swelling During Pregnancy

https://www.babycenter.com/0_swollen-feet-ankles-and-hands-edema-during-pregnancy_230.bc

Versi Terbaru

06/07/2022

Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Keputihan Semasa Mengandung Ganggu Keselesaan Bakal Ibu? Amalkan 5 Tip Ini, Berkesan!

Sakit Kepala Sebab Anemia? Amalkan 9 Jenis Makanan Ini Masa Hamil, Hb Akan Naik!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 06/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan