Ini 3 Perkara Penting Mengenai Darah Nifas, Kena Tahu Sama Ada Ia Normal @ Tidak!
Pernahkah anda dengar mengenai lokia selepas bersalin? Mungkin lokia merupakan satu terma yang asing sekali bagi kebanyakan orang. Sebenarnya, lokia merupakan darah nifas.

Pendarahan selepas bersalin merupakan sesuatu yang normal. Namun, berapa lamakah anda ibu akan alami pendarahan ini?
Untuk ibu yang baru sahaja melahirkan anak, artikel ini akan memberikan penerangan lebih lanjut mengenai lokia serta cara untuk kenalpasti sama ada ia adalah normal atau tidak.
Jom ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.
Apa itu darah nifas atau lokia selepas bersalin?

Lokia, atau darah nifas merupakan pendarahan dan pengeluaran mukus yang normal selepas melahirkan anak.
Pendarahan ini selalunya bermula selepas kelahiran dan akan berlangsung selama 4 hingga 6 minggu.
Pendarahan paling banyak berlaku pada 2 minggu pertama.
Ada wanita yang alami tempoh nifas yang lebih pendek berbanding wanita lain. Namun, ada juga yang mengalami pendarahan dalam tempoh yang lebih panjang iaitu selama 4 hingga 6 minggu.
Lokia lebih kurang sama dengan darah ketika haid. Walau bagaimanapun, darahnya lebih banyak dan tempoh masanya juga lebih lama berbanding period biasa.
Kadangkala, darah tersebut akan keluar bersama bahan-bahan lain yang tidak terkandung di dalam darah haid, seperti saki baki plasenta.
Darah nifas berwarna merah jambu, coklat, kuning atau berair.
Ada kebarangkalian untuk darah ini mengandungi cebisan darah beku.
Jika darah beku ini tidak sebesar buah plum dan anda tidak mengalaminya secara terlalu kerap, ini adalah sesuatu yang normal.
Dapatkan nasihat doktor jika anda risau mengenai nifas yang anda alami.
Adakah darah nifas saya normal?
Bagaimana hendak pastikan lokia yang dialami normal? Ada beberapa tanda yang boleh wanita perhatikan:
1. Durasi nifas
Pendarahan yang normal selalunya berlangsung selama 6 minggu selepas kelahiran.
Pada waktu ini, uterus akan perlahan-lahan sembuh dan kembali ke bentuk asalnya.
Wanita juga digalakkan agar memakai tuala wanita dan bukannya tampon atau menstrual cup untuk elakkan sebarang jangkitan.
2. Lihat konsistensi dan warna
Konsistensi dan warna lokia mungkin berbeza mengikut wanita. Ada yang akan alami pendarahan yang berat ketika nifas.
Kadangkala, darah beku juga akan keluar. Perkara ini merupakan sesuatu yang normal.
Beberapa hari selepas kelahiran, wanita juga mungkin akan mengalami pengeluaran darah yang berwarna merah kecoklatan.
Pada tahap seterusnya, darah akan bertukar menjadi warna merah jambu atau coklat. Tahap ini akan berlangsung selama 2 hingga 3 minggu.
Pada minggu-minggu seterusnya, warna lokia akan berubah menjadi putih dan pucat.
Selalunya, sel darah telah keluar sepenuhnya pada penghujung minggu ke-3. Namun, wanita masih akan alami nifas sehingga minggu ke-6.
3. Jumlah pendarahan
Pada 2 minggu pertama, wanita akan alami pendarahan yang berat.
Pada waktu ini, tisu-tisu ketika hamil akan dikeluarkan dari badan. Lama-kelamaan, pendarahan ini akan berkurangan.
Namun, wanita boleh alami pendarahan ringan selama 6 minggu selepas kelahiran.
Tetapi, ini berbeza dari individu ke individu. Malah, ada wanita yang alami lokia dengan lebih kerap ketika mereka aktif, pada waktu pagi atau ketika menyusukan anak.
Ada sebarang persoalan mengenai nifas? Apa kata kongsikannya di dalam Komuniti Kehamilan di Hello Doktor. Anda boleh tanya pakar atau berkongsi pendapat bersama ibu lain secara atas talian!
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Darah nifas selepas melahirkan anak merupakan sesuatu yang normal. Namun, jika anda mengalami pendarahan yang serius, hubungi doktor secepat mungkin.
Pendarahan yang serius memerlukan perhatian pakar secepat mungkin.
Kondisi ini turut dikenali dengan nama pendarahan selepas kelahiran (postpartum hemorrhage). Selalunya, pendarahan ini akan berlaku dalam masa 24 jam.
Masalah ini sangat serius dan boleh membuatkan tekanan darah anda turun dengan drastik. Badan juga tidak akan mendapat bekalan darah dengan mencukupi.
Antara tanda pendarahan selepas kelahiran ialah:
- Darah berwarna merah terang walaupun selepas beberapa hari melahirkan anak.
- Darah beku yang lebih besar dari buah plum.
- Perlu menukar tuala wanita sekali setiap jam. Pendarahan juga tidak berhenti.
- Penglihatan yang kabur.
- Menggigil.
- Jantung berdegup dengan laju.
- Rasa lemah.
- Loya.
- Rasa hendak pengsan.
Jika anda mengalami simptom di atas, berjumpalah doktor dengan kadar yang segera. Pendarahan berlebihan merupakan satu kecemasan dan perlu dirawat secepat mungkin.
Kesimpulan

Darah nifas merupakan sesuatu yang normal. Ia menandakan badan anda sedang sembuh selepas kelahiran.
Lokia tidak memerlukan sebarang rawatan.
Oleh sebab itu, dapatkan rehat yang secukupnya dan luangkan masa yang berkualiti bersama si manja. Dalam masa yang sama, beri badan peluang untuk sembuh.
Kebanyakan wanita akan sembuh dengan sendirinya.
Namun, jika anda mengalami sebarang simptom yang abnormal, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Ibu tidak boleh membuatkan lokia selepas bersalin berakhir dengan lebih awal. Namun, ada beberapa langkah yang mungkin dapat membantu ibu untuk membiasakan diri:
- Pakai baju yang longgar dan selesa.
- Ambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan simptom.
- Rehat dengan secukupnya. Jangan terlalu memaksa diri. Jika anda alami pendarahan yang banyak, itu adalah tanda badan anda memberi ‘signal’ untuk berehat!