Berikut beberapa kaedah untuk mengatasi masalah haid tak teratur anda:
1. Tanda kitaran haid anda
Walaupun anda mengalami kitaran haid tak teratur, anda tetap perlu menandakan kitaran haid anda pada kalendar atas beberapa sebab. Antaranya ialah anda mungkin dapat melihat beberapa petunjuk dalam corak kitaran haid anda atau maklumat tentang kitaran haid anda boleh dikongsikan dengan pakar kesuburan.
Untuk mengira anggaran waktu subur anda, rekod kitaran haid anda sepanjang tahun dan lihat bilangan hari kitaran terpanjang dan terpendek. Tolak 18 daripada kitaran haid yang terpendek sebagai hari pertama waktu subur. Sementara 11 hari ditolak daripada kitaran haid terpanjang sebagai hari terakhir waktu subur. Anda akan mendapat anggaran hari pertama dan terakhir waktu subur anda.
26 hari (kitaran haid terpendek) – 18 = 8
32 hari (kitaran haid terpanjang)- 11 = 21
Ini bererti anggaran waktu subur anda adalah pada hari ke-8 hingga hari ke-21 dalam kitaran haid anda.
2. Periksa lendiran serviks
Serviks merujuk kepada bahagian paling bawah rahim yang bersambung dengan vagina anda. Lendiran daripada serviks anda berubah ketika anda mengalami ovulasi. Lendiran serviks beberapa hari pertama selepas haid anda adalah kering. Kemudian akan meningkat sehingga menjadi banyak, licin, jernih dan boleh likat sewaktu ovulasi. Ramai wanita menggambarkannya sama seperti konsistensi putih telur.
3. Suhu badan
Suhu badan anda berubah dengan bermulanya ovulasi. Jika anda mengukur suhu badan anda setiap hari, anda akan mendapati terdapat peningkatan suhu semasa ovulasi berlaku. Ini membolehkan anda menentukan waktu ovulasi.
4. Kit Peramal Ovulasi
Ovulation predictor kit ialah alat yang digunakan untuk mengesan ovulasi. Bagi mereka yang mengalami haid tak teratur, anda mungkin perlu melakukan lebih banyak ujian setiap bulan.