backup og meta

Kanak-Kanak Tiada Cuping Telinga Atau Cuping Abnormal Berisiko Hilang Pendengaran, Jaga-Jaga!

Kanak-Kanak Tiada Cuping Telinga Atau Cuping Abnormal Berisiko Hilang Pendengaran, Jaga-Jaga!

Pernahkah anda melihat individu yang mempunyai keabnormalan pada cuping telinga mereka, seperti cuping telinga melekap? Individu yang tiada cuping telinga atau cuping telinga bersambung ini mungkin menghidap beberapa jenis penyakit, antaranya seperti mikrotia. Ini maklumat lanjut mengenai masalah mikrotia.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Telinga, anda boleh klik di sini.

Cuping telinga melekap: Apa itu mikrotia?

Mikrotia adalah kelainan atau keabnormalan kongenital, di mana bahagian luar telinga iaitu cuping telinga kanak-kanak kurang berkembang dan biasanya menjadi cacat.

Kecacatan ini boleh menjejaskan sebelah atau kedua-dua belah telinga.

Kira-kira 90 peratus kes yang berlaku hanya melibatkan sebelah telinga sahaja. Keabnormalan ini boleh melibatkan masalah struktur yang bersifat ringan sehinggalah kepada kehilangan sepenuhnya cuping telinga.

Apabila kehilangan saluran telinga turut berlaku, ia juga boleh menyebabkan masalah pendengaran dan kesukaran untuk mengetahui arah datangnya sesuatu bunyi. 

Peringkat mikrotia

Pakar profesional kesihatan menggunakan sistem klasifikasi untuk penggredan mikrotia. Berikut ialah jenis-jenis atau gred mikrotia yang boleh berlaku kepada seseorang:

  • Jenis 1: Cuping telinga melekap atau lebih kecil daripada saiz purata. Namun semua bahagian telinga ada dengan kecacatan kecil
  • Jenis 2: Cuping telinga bersambung dan terbentuk separuh dengan saiz yang kecil
  • Jenis 3: Beberapa struktur aurikular tetapi tiada bahagian telinga yang terbentuk dengan sempurna
  • Jenis 4: Anotia (ketiadaan cuping telinga sepenuhnya)

Simptom cuping telinga melekap/mikrotia

cuping telinga melekap

Antara simptom atau tanda seorang kanak-kanak itu mengalami mikrotia ialah:

  • Kehilangan bahagian luar telinga atau cuping telinga (anotia)
  • Cuping telinga menjadi abnormal atau cacat
  • Mempunyai saiz telinga yang lebih kecil berbanding purata saiz telinga orang lain

Punca menyebabkan mikrotia

Mikrotia biasanya berkembang semasa trimester pertama kehamilan, iaitu pada minggu-minggu awal perkembangan janin dalam kandungan.

Kebanyakan puncanya tidak diketahui dengan jelas, tetapi kadangkala ia telah dikaitkan dengan penggunaan dadah atau alkohol semasa kehamilan, keadaan atau perubahan genetik, pencetus persekitaran, dan diet rendah karbohidrat dan asid folik.

Salah satu faktor risiko yang boleh dikenal pasti penyebab mikrotia ialah penggunaan ubat jerawat Accutane (isotretinoin) semasa kehamilan.

Ubat ini telah dikaitkan dengan pelbagai keabnormalan kongenital, termasuklah mikrotia.

Satu lagi faktor yang mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak berisiko mengalami mikrotia ialah diabetes, iaitu jika ibu menghidap diabetes sebelum kehamilan. Ibu yang menghidap diabetes kelihatan lebih berisiko untuk melahirkan bayi dengan mikrotia berbanding wanita hamil yang lain.

Mikrotia tidak dilihat sebagai keadaan yang diwarisi secara genetik dalam kebanyakan kes. Ini kerana, kanak-kanak dengan keadaan mikrotia tidak mempunyai ahli keluarga lain yang menghidap penyakit ini.

Ia dilihat berlaku secara rawak dan dalam kelahiran kembar dua, seorang bayi boleh mengalami mikrotia manakala pasangan kembarnya tidak mendapat gangguan ini.

Walaupun kebanyakan kejadian mikrotia bukanlah atas faktor keturunan, dalam peratusan kecil mikrotia yang diwarisi, keadaan ini boleh melangkau beberapa generasi dalam keluarga.

Selain itu, ibu yang pernah melahirkan anak dengan mikrotia mempunyai peningkatan risiko sebanyak 5% untuk melahirkan bayi dengan keadaan mikrotia dalam kelahiran seterusnya. 

Bagaimana keadaan tiada cuping telinga ini didiagnosis?

cuping telinga melekap

Doktor biasanya mendiagnosis mikrotia apabila bayi telah lahir memandangkan keabnormalan pada telinga ini hanya kelihatan apabila bayi anda dilahirkan.

Kadangkala, doktor akan menggunakan ujian pengimejan yang dipanggil sebagai imbasan CT untuk mendapatkan gambaran terperinci tentang telinga bayi anda.

Ujian ini membantu profesional kesihatan mencari sebarang kelainan pada bahagian dalam dan tengah telinga bayi anda.

Bagaimana cuping telinga melekap ini dirawat?

Penampilan luaran mikrotia pada cuping telinga melekap biasanya tidak memerlukan rawatan.

Namun, adalah sangat penting untuk menangani sebarang kehilangan pendengaran jika ada. Kanak-kanak dengan masalah mikrotia ini disarankan untuk menjalani penilaian pendengaran awal dan mengekalkan pemeriksaan susulan pendengaran pada awal zaman kanak-kanak.

Jika terdapat kehilangan pendengaran yang dikaitkan dengan mikrotia, anak anda berisiko untuk mengalami masalah pertuturan jika kehilangan pendengaran ini tidak dirawat.

Sekiranya anda memilih untuk merawat mikrotia, terdapat beberapa pilihan rawatan iaitu prostetik telinga dan pembedahan mikrotia (pembedahan pembinaan semula/rekonstruktif).

Kesimpulan

Tiada cuping telinga atau mikrotia ini bukanlah satu penyakit yang kronik atau membimbangkan.

Namun, kanak-kanak perlu dipantau sepanjang masa agar mereka tidak mengalami masalah pendengaran yang pada akhirnya boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Microtia. https://earcommunity.org/. Diakses pada Februari 20, 2023. 

Microtia & Ear Canal Atresia. https://www.stanfordchildrens.org/en/service/microtia. Diakses pada Februari 20, 2023.

Microtia and Aural Atresia Center. https://www.masseyeandear.org/specialties/microtia-center. Diakses pada Februari 20, 2023.

Microtia. https://kidshealth.org/en/parents/microtia.html. Diakses pada Februari 20, 2023.

Microtia. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21063-microtia. Diakses pada Februari 20, 2023.

Versi Terbaru

17/07/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Serangga Masuk Dalam Telinga? Ini Cara Nak Keluarkan Tanpa Buat Telinga Luka

ADUH, Telinga Sakit Sampai Ke Rahang? Jangan Terkejut, Puncanya Mungkin Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan