Belum ada lagi produk yang dijual dalam keadaan yang cukup ironi seperti bahan tembakau. Di Malaysia, sesiapa sahaja yang berusia 18 tahun dan ke atas dibenarkan untuk mendapatkannya di mana-mana kedai serbaneka. Namun demikian, pada bungkusan kotak rokok yang dijual, terdapat amaran bergambar yang menunjukkan kesan buruk terhadap kesihatan kita akibat daripada perbuatan merokok. Ini dilakukan supaya perokok lebih sedar dan cakna tentang risiko yang mereka hadapi jika terus merokok dan mula memasang niat untuk berhenti. Malangnya, cara ini tidak memberi impak yang cukup kerana sebilangan besar mereka terus menjadi mangsa rokok, dan dibelenggu ketagihan.
Jika anda memerlukan suntikan motivasi untuk meninggalkan tabiat merokok sepenuhnya, ingatkan diri anda tentang manfaat-manfaat berikut yang tidak mungkin anda akan nikmati jika terus merokok.
Minda yang jelas dan cergas
Menghilangkan ketagihan rokok adalah satu cabaran mental. Otak perokok mengandungi banyak reseptor nikotin; dengan berhenti merokok, keadaan otak akan beransur pulih dan kembali kepada konfigurasi dan ciri-ciri asal dalam tempoh masa sebulan.
Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa mereka yang berhenti merokok mempunyai kesihatan mental yang lebih baik dalam jangka panjang. Mereka akan kurang mengalami kemurungan, kegelisahan, dan stres disebabkan kualiti hidup bertambah baik. Namun, kegagalan berulang dalam percubaan untuk berhenti boleh melemahkan kesihatan mental perokok dalam jangka panjang.
Kecergasan fizikal
Ini bukan lagi satu rahsia- merokok mendedahkan paru-paru kita kepada pelbagai bahan kimia yang berbahaya. Namun, berita gembiranya adalah tahap oksigen dalam badan akan meningkat semula hanya 12 jam selepas anda berhenti merokok. Penurunan karbon monoksida dalam badan membolehkan anda untuk bernafas dengan lebih senang khususnya apabila melakukan aktiviti seperti bersenam. Mereka yang telah berhenti merokok akan berasa lebih bertenaga kerana badan mereka kini menerima oksigen yang optimum setiap masa.
Merokok boleh meningkatkan kadar degupan jantung seseorang, sekali gus meningkatkan risiko untuk berlakunya darah bergumpal atau darah beku, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Bagaimanapun, kadar degupan jantung kembali ke paras normal selepas 20 minit tidak merokok, dan tekanan serta aliran darah dalam badan akan bertambah baik jika anda berhenti merokok sepenuhnya.
Bau & rasa
Merokok merosakkan bahagian hujung saraf pada mulut dan hidung, menyebabkan deria bau dan rasa menjadi tumpul dan kurang responsif. Bahagian hujung saraf ini akan mula sembuh dan pulih dalam masa 2 hari selepas anda berhenti merokok, mengembalikan semula nikmat deria bau dan rasa yang sempurna.
Jika anda sudah berhenti merokok, anda akan mula membuat pilihan untuk memasuki kawasan yang berudara segar sahaja. Anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada hari-hari lampau di mana anda membawa sekali bau asap rokok pada pakaian anda. Kini, semua orang boleh bernafas dengan lebih baik, termasuk anda.
Berkeyakinan dari segi perasaan dan penampilan
Bibir perokok selalunya akan merosakkan penampilan mereka. Bukan sahaja merokok mampu membuatkan gusi dan bibir anda lebih gelap, ianya juga menyebabkan kulit dan rambut anda menjadi kering. Ini boleh menyebabkan kerosakan kulit, kulit jadi bertompok dan juga rambut menjadi keriting halus dan rapuh.
Selepas anda berhenti merokok, bibir, gusi dan kulit anda akan beransur-ansur menjadi lebih baik dan rambut akan mula bersinar dan kuat semula. Penambahbaikan dalam keterampilan ini berupaya untuk menjadi pemangkin yang kuat bagi anda menghindari tabiat merokok. Apabila seseorang berasa hebat dan berkelihatan menawan, keyakinan diri mereka akan menjadi lebih tinggi berbanding keseronokan sementara daripada nikotin.
Usia emas yang sihat
Kesemua manfaat di atas membuktikan bahawa berhenti merokok menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik. Penambahbaikan dari aspek kualiti hidup ini akan berterusan sehingga anda meniti usia emas, memastikan organ-organ penting dan tahap imun badan kekal sihat dan kuat dalam melindungi anda daripada penyakit yang tidak diingini.
Kajian membabitkan jutaan bekas perokok menunjukkan manfaat daripada berhenti merokok menjadi lebih kukuh mengikut masa. Dalam masa 5 tahun sahaja anda berhenti merokok, risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok dapat diturunkan sebanyak 38% berbanding mereka yang terus merokok. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda berhenti ketika muda agar anda dapat menikmati keseluruhan usia anda bebas daripada asap rokok.
Jadi, apa yang anda nantikan? Kini terdapat banyak sokongan dan bantuan untuk anda berhenti merokok tidak kiralah sama ada daripada penggunaan terapi gantian nikotin (seperti pelekat dan juga gula-gula getah) atau servis mQuit yang dilancarkan oleh kerajaan yang telah diluaskan capaiannya supaya anda tidak perlu memerangi ketagihan seorang diri.
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.
Anda juga mungkin berminat membaca artikel:
-
Mengatasi Halangan Untuk Berhenti Merokok
-
Berhenti Merokok dengan 5 Langkah Ini
-
Awas! Bahaya Asap Rokok Pasif Terhadap Anak Anda
[embed-health-tool-bmi]