Harga sebenar Sofosbuvir
Tujuan pengisuan lesen kegunaan kerajaan ini adalah supaya versi generik ‘sofosbuvir’ yang jauh lebih murah dapat dihasilkan dan lebih ramai pesakit Hepatitis C di Malaysia mendapat akses kepada rawatan ini. Buat masa kini, sofosbuvir merupakan ubat terbaik yang berjaya dihasilkan dalam merawat Hepatitis C dengan kadar kesembuhan setinggi 95% dan kesan sampingan yang jauh lebih sedikit berbanding ubatan lain yang digunakan sebelum ini. Namun yang demikian, syarikat Gilead yang memegang paten penghasilan ubat ini dikatakan menjualnya pada harga RM 4000 untuk satu pil (USD 1000) dan untuk tempoh rawatan selama 12 minggu bersama ubat lain, kos keseluruhan adalah RM 336 000 (USD 84 000).
Apabila sesuatu ubat dapat dihasilkan pada harga yang lebih murah, kerajaan mampu membeli dan memberi subsidi kepada ubatan tersebut dan juga mampu meningkatkan akses rakyat Malaysia terhadap ubat tersebut. Atas sebab itu, hampir semua negara luar mempunyai masalah untuk mempercayai kos rawatan di klinik-klinik kesihatan di Malaysia yang selalunya serendah RM 1 (USD 0.25). Dengan harga RM 1, rakyat Malaysia boleh mendapatkan konsultasi, pemeriksaan daripada doktor, ujian pengimejan radiologi seperti X-ray dan juga ubat-ubatan yang lazimnya lebih daripada satu jenis. Sekiranya kerajaan Malaysia berjaya untuk membolehkan syarikat penghasil ubatan generik dari Mesir atau India untuk menghasilkan ‘sofosbuvir’ yang generik, kos rawatan untuk 12 minggu boleh dikurangkan kepada serendah RM 480 sahaja (USD 120). MSF khususnya, bergantung kepada bekalan ubat-ubatan generik dalam misi kemanusian mereka untuk memberi rawatan kepada pesakit menggunakan ubat-ubatan berkualiti mampu milik dan mudah diakses.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen