Tuberkulosis (tibi) masih lagi menjadi punca kematian utama di banyak negara. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada angka kes yang terus tinggi. Walau bagaimanapun, tuberkolusis boleh dirawat sehingga sembuh jika melalui rawatan yang betul.
Seperti jangkitan bakteria lain, rawatan tibi juga secara asasnya adalah menggunakan antibiotik. Namun, ia perlu diambil dalam tempoh yang lama sehingga berbulan-bulana atau mungkin bertahun-tahun. Jenis antibiotik dan tempoh masa rawatan akan bergantung kepada jenis tibi serta keberkesanan ubat terhadap bakteria terbabit.
Tibi pendam dan tibi aktif
Terdapat dua jenis penyakit tibi iaitu pendam (latent) dan aktif.
Dalam kes tibi pendam, bakteria yang berada di dalam tubuh pesakit terbabit dalam keadaan tidak aktif dan tidak menyebabkan sebarang simptom serta tidak boleh menjangkiti orang lain. Dalam beberapa keadaan tertentu seperti sistem imun menjadi lemah, bakteria tersebut boleh menjadi aktif.
Tibi aktif pula berlaku apabila bakteria tersebut aktif berkembang biak sehingga menyebabkan simptom dan boleh berjangkit kepada orang yang sihat.
Rawatan bagi setiap jenis ini adalah berbeza dari sudut bilangan antibiotik dan tempoh masa rawatan.
Rawatan tibi pendam
Terdapat 3 pilihan rawatan:
- Isoniazid (INH) – Ini ialah pilihan paling kerap digunakan bagi tibi pendam. Kebiasaannya ia diambil sekali sehari selama 9 bulan.
- Rifampin – Ia diambil setiap hari selama 4 bulan sebagai alternatif kepada INH jika berlaku komplikasi atau alergi.
- Isoniazid dan rifapentine – Dua antibiotik diambil sekali seminggu selama 3 bulan di bawah pengawasan doktor.
Rawatan tibi aktif
Pesakit perlu mengambil gabungan beberapa jenis antibiotik selama 6 hingga 9 bulan. 4 jenis ubat yang paling kerap digunakan ialah:
- Rifampin.
- Isoniazid.
- Pyrazinamide.
- Ethambutol.
Doktor mungkin akan menjalankan ujian untuk melihat antibiotik mana yang paling efektif bagi pesakit terbabit. Berdasarkan keputusan ujian tersebut, 3 atau 4 ubat akan diambil selama 2 bulan, diikuti dengan 2 ubat selama 4 hingga 7 bulan.
Rintangan antibiotik
Antara masalah utama dalam rawatan tibi adalah kewujudan bakteria yang kebal kepada antibiotik. Ia disebut sebagai rintangan antibiotik. Dalam kes seperti ini, jenis antibiotik mungkin perlu ditukar dan tempoh rawatan pula adalah lebih lama daripada biasa.