backup og meta

Manfaat Susu Segar Sebagai Minuman Bulan Ramadan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    Manfaat Susu Segar Sebagai Minuman Bulan Ramadan

    Susu segar telah dijadikan sebagai minuman yang utama di seluruh dunia. Dengan rasa serta manfaatnya yang banyak, pasti ia sering menjadi pilihan. Sumber susu yang utama adalah lembu, kambing dan kambing biri-biri. Di Malaysia, susu lembu adalah yang paling biasa diminum.

    Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita memulakan tabiat pemakanan yang sihat. Minum susu secara berkala juga adalah satu tabiat yang sihat. Sempena menghadapi bulan mulai ini, jom kita cuba amalkan susu segar.

    Apakah manfaat susu segar?

    1. Kaya dengan nutrisi

    Memandangkan susu dihasilkan untuk memberi makan bayi yang baru lahir, tentunya kandungan nutrisinya sangat baik.

    Secawan susu lembu penuh krim (244 g) mengandungi:

    • 146 kcal.
    • 8 g protein.
    • 8 g lemak.
    • 13 g karbohidrat.

    Selain nutrisi di atas, ia juga mengandungi kalsium, vitamin D, B2, B12, kalium, fosforus dan selenium. Juga, vitamin A, magenesium, zink dan vitamin B1.

    Sangat banyak nutrisinya? Sebenarnya ada lagi, iaitu asid lemak seperti asid linoleik dan omega 3 yang membantu mengurangkan risiko diabetes dan penyakit jantung.

    Tidak dilupakan adalah kandungan antioksidannya termasuk vitamin E dan beta karoten yang berfungsi mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif. Dalam kata lain, ia adalah bahan awet muda.

    Perlu diketahui bahawa kandungan setiap susu mungkin berbeza disebabkan banyak faktor antaranya adalah pemakanan lembu terbabit. Contohnya, lembu yang makan kebanyakannya rumput akan menghasilakan susu yang tinggi dengan asid lemak.

    2. Sumber protein berkualiti tinggi

    Susu mengandungi protein yang berkualiti yang disebut sebagai “protein lengkap” kerana mengandungi kesemua 9 asid amino penting yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi secara optimum.

    Protein utama dalam susu adalah protein kasein dan whey. Kedua-duanya adalah protein berkualiti tinggi. Kasein merangkumi 70 hingga 80 peratus protein manakala whey adalah 20 peratus.

    Protein ini penting dalam pembinaan otot, mengelakkan pengecutan otot serta menyediakan bahan bakar untuk menghasilkan tenaga. Dalam beberapa kajian, minum susu boleh mengurangkan risiko pengecutan otot disebabkan penuaan.

    3. Kesihatan tulang

    Kita semua tahu, susu adalah baik untuk tulang. Iklan susu Anlene masih teringiang-ngiang di kepala. Kalsium, fosforus, kalium dan protein, semua itu menyumbang kepada tulang yang kuat dan sihat

    Sekitar 99 peratus kalsium badan disimpan di dalam tulang dan gigi. Susu membantu badan anda menyerap kalsium dengan lebih efisyen. Susu telah terbukti oleh banyak kajian bahawa ia membantu mencegah osteoporosis dan patah tulang, terutamanya wanita menopaus yang paling berisiko tinggi.

    4. Membantu mengelakkan naik berat badan

    Kajian melibatkan kanak-kanak berumur 3 tahun telah menunjukkan bahawa pengambilan susuh penuh krim membantu mengurangkan risiko obesiti

    Kajian lain melibatkan wanita berumur pertengahan hingga lanjut mendedahkan bahawa pengambilan lebih banyak susu dan produk tenusu ternyata mengurangkan kenaikan berat badan serta risiko obesiti.

    Kandungan protein dalam susu membantu memberikan rasa kenyang dan mengelakkan terlebih makan. Selain itu, asid linoleik membantu merangsang kehilangan berat dengan meningkatkan pembakaran lemak serta mengurangkan penghasilannya.

    Apa lagi? Tambahkan susu, terutamanya susu penuh krim, dalam diet anda hari ini.

    5. Susu adalah produk serba guna

    Jika sudah bosan minum susu segar, anda boleh pelbagaikan cara pengambilannya. Contohnya:

    • Gantikan santan dengan susu segar di dalam masakan kari, kurma atau lemak cili api.
    • Ambil susu bersama oat sewaktu sahur atau berbuka.
    • Gantikan susu pekat manis dengan susu segar dalam teh tarik.

    Banyak lagi produk tenusu yang mengandungi kandungan protein yang sama banyak. Ia tersedia di banyak pasaraya seperti sesetengah yogurt. Sebelum beli, lihat label kandungannya terlebih dahulu.

    Di samping pelbagai manfaat susu dan produk tenusu, tidak semua orang boleh mengambil susu. Kadangkala, ada orang yang akan mengalami sakit perut dan terpaksa membuang air setiap kali mengambil susu atau produknya.

    Keadaan ini digelar laktosa intoleransi. Ia adalah keadaan di mana badan kekurangan enzim untuk mencerna susu di dalam perut. Hasilnya susu tersebut tidak dicerna dan tidak dapat diserap, lalu dibuang oleh badan.

    Jika anda mengalami sakit perut selepas mengambil susu, sila buat pemeriksaan dengan doktor. Jangan bimbang, anda masih boleh mendapatkan alternatif susu seperti susu soya dan susu badam.

    Amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sepanjang Ramadan ini. Selamat beribadah!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan