backup og meta

Demam Denggi Di Malaysia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 21/02/2023

    Demam Denggi Di Malaysia

    Demam denggi adalah penyakit berjangkit nombor satu di Malaysia. Penyakit bawaan nyamuk Aedes aegypti ini telah mengesani rakyat Malaysia sejak bertahun-tahun. Pembangunan yang pesat telah menyebabkan pertambahan pada pusat pembiakan nyamuk sehingga menambahkan lagi bilangan kes demam denggi terutamanya di kawasan bandar.

    Bilangan kes demam denggi adalah pada angka yang membimbangkan

    Sejak tahun 2014, Malaysia mencatatkan lebih 100,000 kes hampir setiap tahun dengan kes tertinggi pada tahun 2015 iaitu sebanyak 120,836 kes dan lebih 50 peratus adalah dari negeri Selangor sahaja.

    Statistik demam denggi diambil daripada laman http://idengue.remotesensing.gov.my

    Namun, tahun-tahun berikutnya menunjukkan pengurangan iaitu 101,357 kes pada tahun 2016 dan 83,849 kes pada tahun 2017. Tahun ini sehingga Jun 2018 pula, kes yang tercatat adalah sebanyak 25,949. Walaupun ada penurunan, angka yang ada masih tinggi dan membimbangkan.

    Denggi telah meragut banyak nyawa

    Sejak tahun 1995 hingga 2017, angka kematian adalah hampir 2,500 orang dengan tahun 2015 mencatatkan angka tertinggi iaitu 336 kematian. Tahun ini sehingga Jun 2018 pula, 44 kes kematian telah berlaku.

    Statistik demam denggi diambil daripada laman http://idengue.remotesensing.gov.my

    Apa yang lebih menyedihkan adalah kebanyakan kes denggi di Malaysia melibatkan kanak-kanak dan orang muda. Golongan ini adalah pelapis dan sumber utama yang menyumbang kepada pembangunan negara.

    Oleh itu, ia adalah satu kehilangan yang sangat besar terhadap negara.

    Denggi menjadi beban yang besar kepada negara

    Dengan bilangan kes yang banyak setiap tahun, ia tentunya menjejaskan negara sama ada dari sudut ekonomi atau sumber manusia.

    Dalam rawatan demam denggi, 38 peratus rakyat Malaysia membelanjakan sekitar RM5001 hingga RM10,000 pada kos perubatan, kebanyakannya pada penjagaan di hospital. Ini adalah secara relatifnya beban kewangan yang agak besar kepada negara.

    Tambahan pula, pesakit denggi perlu tinggal di hospital selama sehingga 2 minggu untuk mendapatkan rawatan dan untuk mengasingkan diri dari menjangkiti orang lain. Ini akan mengganggu sumber tenaga kerana pesakit perlu bercuti dalam tempoh yang lama.

    Di samping itu, demam denggi juga boleh menjejaskan kualiti hidup. Dengan kes kematian yang dicatitkan, ia pasti memberikan kesan ke atas keluarga yang terbabit, lebih-lebih lagi jika membabitkan pencari nafkah.

    Kesedaran tentang demam denggi dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah

    Meskipun denggi adalah topik perbincangan yang meluas di Malaysia, kesedaran tentang kepentingan mencegah demam denggi masih lagi pada tahap yang tidak memuaskan. Ramai masih mengambil mudah soal penyakit berjangkit ini.

    Menurut laman Rentokil,

    • Hampir 50 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil berat terhadap ancaman daripada demam denggi.
    • 46 peratus rakyat Malaysia merasakan bahawa pihak lain harus bertanggungjawab dalam mengawal pembiakan nyamuk berbanding mengambil langkah proaktif di kawasan rumah mereka.
    • Lebih 60 peratus rakyat Malaysia tidak memeriksa tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah mereka.

    Ambil langkah mencegah demam denggi

    Sebagai rakyat yang prihatin, anda hendaklah mula mengambil langkah proaktif untuk mencegah demam denggi. Di samping usaha dari pihak berkuasa, penyakit ini tidak akan dapat dicegah jika masih terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk di sekitar kawasan rumah anda.

    Beberapa langkah mudah boleh dilakukan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes:

  • Hapuskan semua tempat pembiakan nyamuk di rumah anda dengan membuang air bertakung, menutup bekas takungan air dan memastikan longkang tidak tersumbat.
  • Gunakan racun nyamuk aedes untuk membunuh serta mengelakkan pembiakan jentik-jentik.
  • Lakukan fogging secara rutin. Jangan tunggu sehingga ada kes untuk menjalankan fogging. Hubungi majlis perbandaran untuk mendapatkan khidmat ini.
  • Melakukan pemeriksaan dan gotong royong berkala untuk mencegah kawasan-kawasan pembiakan nyamuk.
  • Fogging adalah langkah penting dalam pencegahan demam denggi

    Usaha yang serius perlu dimulakan pada saat ini. Tidak mustahil kecuaian anda pada hari ini menyebabkan ahli keluarga atau jiran anda menjadi mangsa demam denggi. Oleh itu, ayuh mulakan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 21/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan