Apa itu Sindrom Cushing?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Sindrom Cushing?

Sindrom Cushing yang juga dikenali sebagai hiperkortisolisme ialah keadaan apabila badan mengandungi hormon kortison yang tinggi untuk tempoh masa yang lama. Ia boleh berlaku jika badan anda menghasilkan kortison dengan banyak atau disebabkan penyalahgunaan ubat kortison oral secara berlebihan.

Kortison yang berlebihan menyebabkan perubahan fizikal seperti bonggol lemak di antara bahu, muka tampak bulat, dan tanda renggangan merah atau ungu di atas kulit. Sindrom Cushing juga boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, lemah struktur tulang dan diabetes jenis 2.

Rawatan untuk Sindrom Cushing boleh mengembalikan penghasilan hormon kortison badan kepada kadar yang normal dan menangani simptom dengan baik. Bahkan semakin awal rawatan dimulakan, semakin besar peluang anda untuk sembuh.

Apakah kebarangkalian Sindrom Cushing?

Keadaan ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki dan lebih kerap dijumpai dalam kalangan orang dewasa berusia 25 hingga 40 tahun.

Bagaimanapun, sindrom ini boleh dielak dengan mengurangkan faktor risikonya. Sila hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Sindrom Cushing?

Terdapat banyak tanda dan simptom sindrom Cushing yang manifestasinya bergantung kepada kadar kortison yang berlebihan dalam badan, termasuklah:

  • Pertambahan berat badan dan penumpukan lemak, terutamanya di bahagian tengah badan dan bahagian atas belakang badan, di wajah (moon face), dan antara bahu (buffalo hump)
  • Tanda renggangan merah atau ungu pada kulit abdomen, peha, payudara dan tangan.
  • Kulit bertambah nipis dan rapuh serta senang lebam.
  • Luka, gigitan serangga dan jangkitan yang lambat sembuh
  • Jerawat

Wanita dengan Sindrom Cushing mungkin akan mengalami simptom ini:

  • Rambut dan bulu badan yang bertambah lebat (hirsutisme)
  • Haid yang tidak teratur atau tiada haid

Lelaki dengan Sindrom Cushing mungkin mengalami:

  • Libido (nafsu syahwat) berkurang
  • Kurang subur
  • Disfungsi erektil / kegagalan fungsi erektil

Tanda dan simptom lain termasuklah:

  • Kepenatan yang teruk
  • Lemah otot
  • Kemurungan, kebimbangan (anxiety) dan lekas marah
  • Gagal mengawal emosi
  • Lemah kognitif
  • Tekanan darah tinggi yang baru berlaku atau yang semakin teruk
  • Pening kepala
  • Lemah struktur tulang, menyebabkan tulang mudah patah
  • Tumbesaran terencat dalam kanak-kanak

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis awal dan rawatan dapat menghalang penyakit ini daripada bertambah parah dan menghalang keadaan kecemasan, jadi hubungi doktor anda secepat mungkin untuk mengelakkan keadaan yang serius ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, atau mempunyai sebarang soalan, hubungi doktor anda dengan segera. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Sindrom Cushing?

Punca utama Sindrom Cushing ialah penyalahgunaan berlebihan ubat-ubatan kortikosteroid seperti prednisone, dalam dos yang tinggi pada tempoh masa yang lama. Doktor menggunakan ubatan ini dalam pesakit yang menjalankan pemindahan organ untuk mengelakkan penolakan organ oleh badan mereka. Ubat ini juga digunakan untuk merawat penyakit keradangan seperti lupus dan arthritis. Suntikan steroid dengan dos yang tinggi untuk rawatan sakit belakang juga boleh menyebabkan sindrom ini.

Punca lain termasuklah:

  • Ketumbuhan pada kelenjar pituitari menyebabkan kelenjar tersebut merembeskan hormon adrenokortikotropik secara berlebihan. Keadaan ini turut dikenali sebagai penyakit Cushing.
  • Sindrom ACTH ektopik, di mana terdapat ketumbuhan yang berlaku kebiasaannya pada paru-paru, pankreas, tiroid, atau kelenjar timus.
  • Keabnormalan pada kelenjar adrenal atau ketumbuhan

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sindrom Cushing?

Anda mungkin lebih berisiko untuk mendapatkan sindrom Cushing jika anda mengalami:

  • Kadar tekanan yang tinggi, termasuklah tekanan disebabkan penyakit akut, pembedahan, kecederaan, atau kehamilan, terutamanya pada trimester terakhir.
  • Latihan atletik
  • Malnutrisi
  • Alkoholisme
  • Kemurungan, Gangguan panik, atau tekanan emosi yang teruk

Semua keadaan ini meningkatkan kadar kortison dalam badan.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Sindrom Cushing didiagnosis?

Sindrom Cushing berpunca daripada pelbagai sebab yang berbeza. Diagnosis dibuat berdasarkan kadar cortison yang tidak normal dalam badan.

Pada permulaannya, doktor anda akan melaksanakan pemeriksaan fizikal dan menyemak rekod kesihatan dan simptom. Mereka juga akan menyarankan anda melakukan beberapa ujian makmal, termasuklah:

  • Ujian air kencing bebas kortison 24 jam
  • Ukuran kortison dalam darah pada waktu tengah malam dan ujian kortison dalam air liur pada lewat malam
  • Ujian penindasan deksametason dos rendah

Selepas menerima keputusan kadar kortison anda, doktor anda harus pula menentukan punca penghasilan kortison berlebihan tersebut. Ujian untuk menguji punca tersebut termasuklah ujian stimulasi pelepasan kortikotropin dan ujian penindasan deksametason dos tinggi. Doktor juga mungkin mengarahkan ujian pengimejan lain dibuat seperti CT dan MRI.

Bagaimana pesakit Sindrom Cushing dirawat?

Pilihan rawatan bergantung kepada punca sindrom Cushing. Doktor anda mungkin akan menggunakan ubat-ubatan yang mengurangkan penghasilan kortison dalam kelenjar adrenal atau mengurangkan penghasilan ACTH dalam kelenjar pituitari. Ubat lain pula menghalang efek kortison kepada tisu badan.

Jika anda menggunakan kortison, anda mungkin perlu mengubah ubat atau dos ubat. Jangan mencuba untuk mengubah dos ubat secara sendiri. Anda hanya boleh melakukan ini di bawah pengawasan perubatan.

Pembedahan mungkin akan diperlukan jika anda mempunyai ketumbuhan yang menyebabkan sindrom Cushing. Ketumbuhan boleh jadi menular (kanser) atau benigna (bukan kanser). Doktor anda juga mungkin akan menyarankan terapi radiasi atau kemoterapi.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Sindrom Cushing?

Tips berguna berikut dapat membantu anda mengelakkan sindrom Cushing:

  • Makan dengan sihat.
  • Lindungi tulang anda dengan memakan makanan dengan kalsium dan vitamin D
  • Kurangkan pengambilan garam dan makanan berlemak
  • Pakar nutrisi boleh membantu memastikan anda mendapat nutrisi yang mencukupi.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 4, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.