backup og meta

Pedofilia di Malaysia: Apa yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 20/06/2022

    Pedofilia di Malaysia: Apa yang Anda Perlu Tahu

    Kes pedofilia di Malaysia bukannya kes satu kes yang baharu. Malah, ia merupakan kes yang semakin membarah dalam kalangan rakyat Malaysia. Statistik juga menunjukkan bahawa pesalah jenayah seksual seperti pedofilia di Malaysia selalunya tidak akan dihukum malah dilepaskan begitu sahaja,

    Zaman kanak-kanak bagi kebanyakan orang kebiasaannya membangkitkan nostalgia yang menggembirakan. Tapi bagi mereka yang mengalami trauma menjadi mangsa pedofilia sewaktu zaman kanak-kanak, hidup adalah satu cabaran yang tidak pernah reda kerana masa lampau yang selalu menghantui mereka.

    Jangan diamkan isu pedofilia!

    Pedofilia dan penderaan seksual kanak-kanak bukanlah isu yang mudah untuk dibicarakan. Namun untuk berlagak naif dan berpura-pura tidak tahu tentang masalah pedofilia di Malaysia adalah sukar sekali dengan kes demi kes yang dipaparkan di dada akhbar.

    Sama ada salah laku dilakukan warganegara Malaysia seperti penangkapan pelajar tajaan JPA di London pada tahun 2015 atau warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Melbourne, Australia awal tahun ini kerana memiliki imej dan video eksploitasi kanak-kanak. Mahupun kes melibatkan warga asing seperti Richard Huckle yang melakukan salah laku seksual terhadap hampir 200 bayi dan kanak-kanak, kebanyakannya di Malaysia.

    Kajian ECPAT International mendedahkan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara pilihan untuk pelancongan pemangsa pedofilia. Malangnya, pedofilia masa kini tidak terbatas pada sempadan fizikal.

    United Nation dan FBI menganggarkan seramai 750,000 pemangsa pedofilia berada dalam talian maya pada satu-satu masa. Globalisasi dan jangkauan jaringan internet tanpa sempadan membuatkan pemangsa merasa selamat di sebalik alat elektronik mereka.

    Fenomena webcam child tourism yang menyaksikan pemangsa memperalatkan kanak-kanak mempamerkan diri mereka secara seksual juga kian meningkat. Malah dalam pendedahan yang dilakukan Terre des Hommes, tiga rakyat Malaysia dikenalpasti sebagai antara pemangsa yang mereka jejaki dalam fenomena webcam child tourism.

    Statistik pedofilia di Malaysia

    pedofilia di Malaysia

    Sejak tahun 2010 hingga 2016 hampir 22,000 kanak-kanak menjadi mangsa keganasan seksual dengan hampir 60% adalah kes rogol. Kebanyakan mangsa adalah perempuan. Statistik sahaja tidak cukup untuk menggambarkan betapa besar masalah pedofilia ini di Malaysia.

    Kebanyakan aduan keganasan seksual dan pedofilia terhadap kanak-kanak di Malaysia tidak berakhir dengan hukuman terhadap pesalah laku.

    Berdasarkan statistik yang dikongsi pihak polis Malaysia kepada Reuters, daripada 12, 987 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan kepada pihak polis daripada Januari 2012 hingga Julai 2016, hanya 2,187 kes difailkan dan hanya 140 berakhir dengan sabit kesalahan terhadap pemangsa.

    Data tentang masalah penderaan seksual dan pedofilia terhadap kanak-kanak tidak dikongsikan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia dan dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Data tersebut hanya diberikan atas permintaan ahli parlimen.

    Sayangnya, kebanyakan negara di Asia Tenggara yang menjadi destinasi pelancongan bagi pemangsa pedofilia enggan mengeluarkan statistik tentang masalah keganasan seksual terhadap kanak-kanak kerana risau menampakkan imej yang kurang menyenangkan tentang negara masing-masing.

    Keengganan mendedahkan maklumat sebenar hanya membuatkan masyarakat dalam penafian dalam menghadapi masalah pedofilia yang kian meruncing secara global dan tempatan.

    Penguatkuasaan undang-undang di Malaysia

    statistik pedofilia

    Malaysia sebelum ini tidak mempunyai undang-undang yang secara khusus melarang pornografi kanak-kanak dan mendefinisikan pemerkosaan sebagai kemasukan zakar. ‘Grooming’- menyentuh dan berkawan dengan kanak-kanak sebagai pendahuluan kepada penderaan seksual – tidak mengundang hukuman penalti undang-undang.

    Maka tidak hairanlah NGO terbesar di Malaysia yang berurusan dengan penderaan seksual kanak-kanak, P.S the Children tidak pernah berjaya menyabitkan kesalahan terhadap pesalah laku dalam kes yang dikendalikannya!

    Pendefinisian undang-undang yang sempit menyaksikan kepayahan memastikan pesalah laku disabit kesalahan. Dalam sebuah kes melibatkan seorang warga emas di Sarawak berusia 60 tahun yang menyebabkan kehamilan seorang remaja berusia 15 tahun, beliau dibebaskan selepas rayuan kerana tiada kemasukan zakar yang berlaku sekalipun ujian DNA membuktikan bayi tersebut adalah anaknya.

    Maka tidak hairanlah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah mengatakan bahawa undang-undang dan masyarakat Malaysia telah gagal melindungi kanak-kanak daripada keadaan seperti malnutrisi mahupun penderaan seksual. Apatah lagi apabila statistik menunjukkan kebanyakan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak melibatkan orang dewasa terdekat yang dipercayai seperti ahli keluarga dan guru agama.

    Hanya pada tahun 2017, pengenalan Akta 792 ( Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017)  memasukkan definisi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih meluas di samping pembentukan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Kes yang difailkan akan diselesaikan dalam tempoh satu tahun daripada tarikh ia didaftarkan di mahkamah tersebut.

    Walaupun sistem sokongan kepada mangsa pedofilia masih memerlukan pelbagai penambahbaikan, pengenalan akta dan mahkamah baru ini menjadi harapan dalam menangani jenayah pedofilia di Malaysia yang kian berleluasa.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan