Berdasarkan Kajian, Kanak-kanak Sekolah Rendah Kurang Bersenam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Bersenam itu satu aktiviti fizikal yang baik untuk kesihatan, bukan? Malahan untuk kanak-kanak, ia seharusnya menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan apatah lagi jika ia melibatkan aktiviti di luar rumah.

Semakin kurang bersenam

Satu kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, mendapati kanak-kanak akan semakin kurang bersenam selama sejam setiap hari apabila mereka menamatkan zaman sekolah rendah. 

Kajian yang dibiayai oleh British Heart Foundation (BHF) ini dilakukan oleh pakar penyelidik dari University of Bristol, melibatkan lebih 2,000 kanak-kanak sekolah rendah daripada 57 buah sekolah. 

Kanak-kanak yang terlibat dipakaikan accelerometer selama lima hari, dua hari daripadanya adalah pada hujung minggu untuk membolehkan perbandingan dilakukan. Daripada data yang diperolehi penyelidik menganalisis kepelbagaian aktiviti fizikal yang dilakukan kanak-kanak. 

Hasil kajian

Secara purata, kanak-kanak berusia antara 5 hingga 6 tahun akan melakukan aktiviti fizikal selama 472.6 minit seminggu. Walau bagaimanapun, purata masa itu menurut kepada hanya 408.9 minit seminggu bagi kanak-kanak yang berusia 10 hingga 11 tahun. 

Garis panduan United Kingdom mencadangkan kanak-kanak untuk melakukan sekurang-kurangnya sejam senaman setiap hari ketika memasuki usia remaja. Ini adalah termasuk aktiviti di taman permainan, melompat tali dan sebagainya.

Hasil kajian menunjukkan 61 peratus kanak-kanak dalam tahun satu memenuhi sasaran yang disyorkan, manakala bagi kanak-kanak dalam tahun enam, hanya 41 peratus sahaja yang memenuhi saranan. 

Menurut salah seorang penyelidik, Profesor Russ Jago, “Angka penurunan sangat ketara bagi kanak-kanak perempuan, iaitu daripada 54 peratus kepada 24 peratus pada ketika mereka memasuki alam sekolah menengah. 

Lebih aktif

Profesor Jago berkata, melalui hasil keputusan ini menunjukkan banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan kanak-kanak kekal aktif ketika mereka menjengah usia remaja. Ini adalah penting untuk memastikan mereka sentiasa aktif. 

Menurut Pengarah Perubatan BHF, Profesor Jeremy Pearson, “Hampir satu pertiga kanak-kanak di UK mempunyai berat lebih daripada yang sepatutnya. Ini bermakna keperluan untuk kekal  aktif adalah amat perlu. Ia juga perlu digabungkan dengan pelbagai faktor lain seperti pemakanan yang seimbang.”

Penjagaan kesihatan

Menjaga  kesihatan harus bermula daripada usia kanak-kanak lagi. Ini dapat mengurangkan risiko kecenderungan untuk mengalami obesiti atau sebarang masalah kesihatan lain. Dalam masa yang sama, galakkan anak anda bersenam dan melakukan aktiviti fizikal, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut