Buah Tomato Boleh Tingkatkan Kualiti Sperma?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pelbagai jenis petua yang sering diberikan kepada pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan anak. Kesuburan suami isteri boleh dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor dan tidak sepatutnya hanya menuding jari kepada wanita sahaja apabila menghadapi masalah ketidaksuburan. Kualiti sperma lelaki juga memainkan peranan penting. Tahukah anda buah tomato dapat meningkatkan kualiti sperma lelaki setinggi 50% berdasarkan kajian terkini? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

Peningkatan kualiti sperma oleh molekul Lycopene

Kajian tersebut melibatkan 56 individu lelaki berusia dalam lingkungan 19 ke 30 tahun dan lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan individu yang memiliki kualiti sperma yang rendah. Sebahagian daripada jumlah subjek diberikan pil yang berisi lycopene (bahan kimia semula jadi yang menjadikan tomato berwarna merah) dan sebahagian lagi diberikan pil kosong (placebo), menyerupai pil yang mengandungi lycopene tersebut.  

Mereka perlu mengambil pil tersebut dua kali sehari. Selepas tempoh 12 minggu, subjek yang mengambil pil yang mengandungi lycopene mempunyai 40% lebih sperma berkapasiti untuk berenang dengan laju. Ini merupakan faktor penting dalam memastikan persenyawaan di antara sperma dan ovum berjaya. Jumlah sperma yang mempunyai bentuk yang normal juga meningkat dua kali ganda, daripada 7.5% kepada 13.5%.

Masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki

Jika dahulu, masalah ketidaksuburan sering dikaitkan dengan wanita, kini, di Malaysia, kira-kira 30% masalah ketidaksuburan dalam pasangan suami isteri dialami oleh kaum lelaki. Peratusan ini dianggarkan akan meningkat saban tahun berikutan perubahan gaya hidup dan persekitaran. Jika ingin dibandingkan dengan masalah ketidaksuburan wanita, isu yang dialami oleh lelaki boleh dikatakan agak rumit. Hal ini sedemikian kerana lelaki kerap enggan berjumpa dengan pakar bagi menjalani ujian kesuburan.

Pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki. Ini termasuk pengambilan makanan ringan secara berlebihan, mengamalkan gaya hidup sedentar, merokok, obesiti dan pemakaian seluar dalam yang ketat. Menurut pakar, lycopene mampu meningkatkan kualiti sperma kerana ia memiliki sifat antioksidan yang dapat melindungi sperma daripada kerosakan oleh molekul oksidan, kesan daripada pengamalan gaya hidup yang tidak sihat. Ini membolehkan sperma tersebut mengekalkan bentuk dan saiz mereka di samping meningkatkan kebolehan mereka untuk berenang dengan lebih efisien.  

Kajian lanjut perlu dibuat bagi menguji keberkesanan lycopene dalam membantu pasangan yang mempunyai masalah ketidaksuburan untuk mendapatkan anak. Kajian terdahulu membuktikan bahawa mereka yang minum jus tomato untuk 6 minggu mempunyai sperma yang mampu bergerak dengan lebih efisien. Lycopene mempunyai potensi untuk merawat masalah ketidaksuburan bagi mereka yang mempunyai kualiti sperma yang rendah, namun sejauh mana keberkesanannya, perlu dibuktikan oleh kajian-kajian akan datang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut