Apa Anda Tahu Mengenai Hormon?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Tubuh manusia mempunyai sistem yang sangat teratur dan seimbang. Pelbagai organ berhubung antara satu sama lain bagi memastikan tubuh kekal berfungsi dengan baik. Dalam memastikan keseimbangan sesuatu sistem, komunikasi adalah sangat penting. Jika sistem komputer mempunyai medium komunikasi melalui isyarat dan kod, tubuh manusia juga berkomukasi melalui banyak medium, antaranya ialah hormon.

Apa itu hormon?

Ia adalah sejenis bahan kimia (dengan struktur kimia tertentu) yang dihasilkan oleh kelenjar tertentu untuk berhubung dan memberikan isyarat serta mengawal fungsi badan. Sistem dalam tubuh manusia yang melibatkan hormon disebut sebagai sistem endokrin, manakala doktor pakar hormon digelar endokrinologis.

Kelenjar hormon utama manusia
Struktur molekul insulin

Setiap hormon memainkan peranan penting dalam fungsi tertentu. Sebagai contoh, hormon estrogen dan progesteron yang dihasilkan oleh ovari dalam wanita merupakan hormon seks wanita dan ia berfungsi memberikan karakter wanita (bentuk tubuh, suara, personaliti) serta mengawal fungsi reproduktif (kitaran haid, kehamilan).

Insulin pula dihasilkan oleh pankreas yang memainkan peranan dalam mengawal kadar gula dalam darah. Manakala hormon tiroid dari kelenjar tiroid mengawal metabolisme (proses menghasilkan dan menyimpan tenaga).

Itu ialah sebahagian daripada hormon yang terdapat dalam tubuh manusia.

Apakah kepentingan mengetahui sistem endokrin?

Ilmu tentang endokrin mula menjadi popular pada abad ke-17 dan 18. Pada ketika itu, prosedur kasi (membuang testis) telah dilakukan ke atas penyanyi lelaki muda untuk mencegah akil baligh bagi mengekalkan suara mereka yang kecil dan tinggi dalam nyanyian soprano.

Kemudian, kajian lebih mendalam dilakukan pada akhir abad ke-19 melibatkan gula dalam darah, testis, dan pankreas.

Pengetahuan yang mendalam mengenai sistem endokrin telah membuka ruang yang besar kepada pelbagai bidang, khususnya perubatan dengan penemuan punca kepada banyak penyakit disebabkan gangguan pada sistem ini. Antara penyakit utama melibatkan endokrin ialah:

  • Diabetes (insulin).
  • Hipertiroid dan hipotiroid (tiroid).
  • Penyakit Cushing (adrenal).
  • Sindrom ovari polisistik/PCOS (androgen).

Selain itu, pelbagai jenis rawatan dan terapi berjaya dikembangkan berasaskan hormon. Contohnya:

  • Pil pencegah kehamilan yang memanipulasi estrogen dan progesteron untuk mencegah kehamilan.
  • Terapi hormon dalam sesetengah rawatan kanser seperti kanser payudara.
  • Menggantikan hormon tertentu sebagai rawatan beberapa keadaan seperti tiroid selepas pembedahan dan mengawal simptom menopaus.

Perkembangan ilmu dalam bidang ini masih terus berlaku terutamanya bagi penyakit diabetes yang menjadi epidemik di seluruh dunia. Pelbagai kaedah dan metod baru dicadangkan untuk menguruskan penyakit ini seperti pam insulin dan pemindahan sel islet pankreas.

Kita berharap agar perkembangan ini akan membantu lebih ramai individu dan meningkatkan tahap kesihatan masyarakat seluruhnya. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan. Pada bulan Jun lalu, Prof Dr Norlela, seorang endokrinologis di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menerima anugerah tertinggi dalam bidang ini iaitu Fellow of the American College of Endocrinology.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 5, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019