backup og meta

Produk Kecantikan dan Kesan Sampingan Bahan Kimia Berbahaya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    Produk Kecantikan dan Kesan Sampingan Bahan Kimia Berbahaya

    Sesiapa sahaja pasti menginginkan wajah mulus seperti penyanyi dan pelakon Korea. Walau bagaimanapun, untuk memiliki wajah yang sebegitu cantik bukanlah bermakna anda boleh menggunakan produk kecantikan dengan sewenang-wenangnya terutamanya produk-produk kecantikan yang tidak berdaftar dan mengandungi bahan berbahaya. Anda mungkin tidak memikirkan untuk melakukan pembedahan plastik disebabkan oleh kosnya yang tinggi dan apakah pilihan lain yang anda ada selain pembedahan plastik? Semestinya daripada produk kecantikan yang terdapat di pasaran seperti di farmasi-farmasi. Sebelum anda memulakan rutin penjagaan kulit anda, anda terlebih dahulu perlulah memastikan keadaan kulit anda yang memerlukan penyesuaian terbaik dengan produk-produk yang akan digunakan. 

    Mempertimbangkan faktor-faktor yang relevan dengan kulit anda sebelum membeli produk kecantikan

    Ketahui jenis kulit anda. Kenal pasti sama ada anda memiliki jenis kulit yang berminyak, kering, gabungan keduanya atau jenis kulit sensitif. Anda perlu membeli produk khusus mengikut jenis kulit anda.

    Pertimbangkan sebarang masalah kulit. Fikirkan jika anda mempunyai sebarang masalah atau isu yang berkaitan kulit seperti kedutan, tanda, jerawat, bintik hitam, atau akne, anda boleh membeli produk untuk membantu anda dengan masalah-masalah terbabit. Produk tertentu juga boleh menyebabkan rasa terbakar atau gatal-gatal pada kulit, atau menjengkelkan kulit sensitif dan menjadikannya lebih teruk. Anda perlu untuk lebih berhati-hati jika kulit anda sudah sensitif.

    Perlu memastikan sebarang alergi yang anda miliki. Baca bahan-bahan dan kandungan yang terdapat dalam produk-produk penjagaan kulit untuk mengelakkan sebarang masalah yang berkaitan dengan alergi pada masa hadapan.

    Tentukan berapa banyak yang anda boleh belanjakan. Harga produk kecantikan atau produk penjagaan kulit bervariasi antara jenama. Anda tidak semestinya perlu menghabiskan banyak perbelanjaan terhadap produk-produk berharga tinggi untuk mendapatkan hasil yang baik.

    Berbincang dengan pakar penjagaan kulit atau ahli dermatologi. Ini adalah langkah yang terbaik sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan mengenai keadaan kulit anda atau sebarang penentuan pemilihan produk untuk kulit anda. Sekiranya anda mempunyai masalah kulit yang lebih spesifik dan tidak pasti bagaimana cara terbaik untuk mengatasinya, berbincanglah dengan ahli dermatologi.

    Pemilihan produk kecantikan yang bersesuaian

    produk kecantikan

    Beli dengan kuantiti yang sedikit pada permulaan 

    Di peringkat permulaan, anda disarankan untuk membeli sebarang produk baharu dengan kuantiti yang kecil atau sedikit dan jangan terus menggunakannya di bahagian permukaan kulit. Anda boleh mencubanya pada bahagian lain kulit anda untuk melihat bagaimana anda bertindak balas terhadap produk tersebut. Sekiranya anda tidak mengalami sebarang tindak balas yang tidak baik atau buruk, anda boleh memperbesar atau meluaskan penggunaannya. Kemudian, sekiranya anda menyukai produk tersebut, anda boleh membelinya dengan kuantiti yang lebih banyak dan jumlah yang lebih tinggi pada pembelian yang seterusnya. 

    Pilih krim penggelupas atau exfoliator

    Pengelupasan adalah salah satu daripada tulang belakang utama untuk meningkatkan keremajaan kulit anda dengan menggunakan kuasa penyembuhan tubuh manusia sendiri yang luar biasa. Kedua-dua produk utama untuk pengelupasan adalah krim microdermabrasion dan pembersih asid glikolik (glycolic acid).

    • Kedua-dua produk tersebut berfungsi untuk menghilangkan lapisan luar sel kulit mati dan kusam di kulit anda. Proses ini mempunyai manfaat dua kali ganda: bukan sahaja mendedahkan kulit yang lebih muda dan lebih segar, malah proses pengelupasan juga akan merangsang pengeluaran sel-sel kulit yang baharu. Individu yang mempunyai kulit kering akan menggunakan krim microdermabrasion. Bagi individu yang mempunyai kulit berminyak atau kombinasi keduanya, disarankan untuk menggunakan pembersih asid glikolik.
    • Salah satu daripada beberapa Asid Alpha Hydroxyl yang ada, asid glikolik adalah yang paling berkesan kerana saiz molekulnya yang kecil, yang membolehkannya menembusi kulit. Apabila anda membeli pembersih asid glikolik, pastikan anda membeli produk pembersih dengan kepekatan yang tidak lebih daripada 10%, dan sebarang produk yang mempunyai kepekatan yang lebih kuat daripada itu perlu diberikan oleh ahli estetik berlesen atau pakar dermatologi. Walau bagaimanapun, produk dengan kandungan kepekatan asid glikolik sebanyak 10% adalah selamat digunakan di rumah setiap hari.
    • Untuk krim microdermabrasion pula, anda perlu membeli produk dengan kandungan kristal mineral yang sama seperti yang digunakan oleh profesional iaitu aluminium oksida. Disebabkan oleh sifat krim microdermabrasion yang kasar, pastikan anda membeli produk yang juga mengandungi minyak yang menenangkan seperti Jojoba atau Shea Butter. Selepas sebarang prosedur pengelupasan, adalah penting untuk anda menggunakan sunblock berkualiti baik atau mengelakkan daripada sebarang pendedahan terhadap matahari dalam tempoh seminggu selepas menggunakannya.

    Cari produk untuk meremajakan kolagen dalam kulit anda

    Tidak terdapat sebarang pil ajaib atau krim topikal yang boleh menggantikan kolagen kulit anda.

    Walau bagaimanapun, terdapat satu cara untuk mempercepatkan pengeluaran satu komponen kulit yang penting dari tubuh anda: Peptida. Apabila kolagen rosak, peptida tertentu akan dibebaskan. Ini memberi isyarat kepada kulit anda bahawa ia telah rosak dan perlu mengeluarkan kolagen baharu. Penggunaan peptida secara langsung ke kulit anda akan membuatnya berfikir ia telah kehilangan kolagen dan perlu menghasilkan lebih banyak kolagen lagi. Peptida “isyarat’ yang sering kali digunakan untuk penjagaan kulit dalam fungsi ini ialah palmitoyl penta-peptide (Matrixyl). Penggunaan peptida secara tetap dapat mengembalikan keremajaan kulit anda. Tidak terdapat kesan sampingan yang dilaporkan dalam penggunaan peptida.

    Dapatkan pelembap berkualiti tinggi

    Anda tidak perlu menggunakan produk berjenama mahal, pembungkusan yang menarik dengan pengiklanan yang kerap untuk menentukan bahawa ia benar-benar produk yang berkesan dan terbaik. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah dengan membaca kandungan dan bahan-bahan yang terdapat pada label produk.

    • Bahan-bahan yang terdapat dalam sesuatu produk tersebut disusun mengikut susunan kepekatan. Oleh itu, jika bahan aktif berada pada turutan akhir senarai, produk hanya mengandungi jumlah bahan aktif yang sedikit.
    • Ramuan penghidratan kulit yang paling berkesan yang boleh anda dapati ialah asid hyaluronik (hyaluronic acid). Sebatian yang luar biasa ini sering disebut-sebut kerana keupayaannya untuk “membalikkan’ atau menghentikan penuaan dan dipanggil sebagai “key to the fountain of youth.’
    • Ini kerana bahan tersebut terbentuk secara semula jadi (dan cukup banyak) pada manusia dan haiwan, dan terdapat pada kulit muda, tisu neonatal, dan cecair sendi. Asid hyaluronik adalah komponen tisu penghubung badan dan dikenali dengan sifatnya sebagai kusyen dan pelincir.
    • Walau bagaimanapun, apabila anda berumur, ia secara semula jadi akan menghilang dan perlu diganti semula.

    Kekal dengan produk kecantikan pilihan anda

    Sebaik sahaja anda mempunyai set produk penjagaan kulit anda, anda perlu menggunakannya dengan berhati-hati untuk memberikan anda kulit yang kelihatan muda, berseri, licin yang anda inginkan. Ikuti langkah berikut dengan setia dan anda akan melihat hasil yang luar biasa dalam masa beberapa minggu.

    • Pagi: Cuci muka anda dengan pembersih kulit yang berkualiti, gunakan pelembap yang mengandungi asid hyaluronik, kemudian gunakan sunblock UVA / UVB dan akhirnya, gunakan solekan anda.
    • Petang: Bergantung pada jenis kulit anda, gunakan exfoliator setiap hari dengan 10% asid glikolik atau 2-3 kali seminggu dengan menggunakan krim microdermabrasion. Bilas dengan air bersih, kemudian gunakan krim multi-peptida sebelum anda tidur.

    5 jenis bahan kimia berbahaya dalam produk kecantikan yang boleh anda elakkan

    produk kecantikan

    Paraben

    Paraben digunakan sebagai pengawet secara meluas yang menghalang pertumbuhan bakteria, kulat dan yis dalam produk kosmetik. Bunyinya seperti tidak membahayakan tetapi ia bertindak lebih banyak daripada itu. Paraben mempunyai sifat meniru estrogen yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara. Bahan kimia ini diserap melalui kulit dan telah dikenal pasti dalam sampel biopsi daripada tumor payudara. Kajian di UK pada tahun 2004 telah mengesan jejak lima paraben dalam tumor payudara 19 daripada 20 orang wanita yang dikaji. Kajian kecil ini tidak membuktikan hubungan penyebab antara paraben dan kanser payudara, tetapi kajian ini penting kerana ia mengesan kehadiran paraben yang tidak terjejas oleh metabolisme badan, yang merupakan petunjuk keupayaan kimianya untuk menembusi kulit dan kekal di tisu payudara. Satu kajian yang lain pula telah menemui paras paraben yang lebih tinggi, n-propylparaben, di bahagian axilla quadrant payudara (kawasan yang paling dekat dengan ketiak). Ini adalah kawasan di mana kadar tumor payudara tertinggi didapati, walaupun kepekatan paraben dalam sampel tisu tidak berkaitan dengan lokasi tumor payudara pada wanita.

    Paraben juga boleh didapati dalam alat solekan, sabun pencuci badan, deodoran, syampu dan pembersih muka. Anda juga boleh menemui paraben dalam produk makanan dan farmaseutikal. Anda boleh mengenal pasti kandungan paraben dengan melihat kandungan seperti ethylparaben, butylparaben, methylparaben, propylparaben, isobutylparaben, isopropylparaben, dan kandungan lain yang berakhir dengan perkataan paraben. 

    Wangian

    Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan wangian dalam produk kecantikan? Terma ini diwujudkan untuk melindungi formula rahsia setiap syarikat pengeluar. Wangian ini ditakrifkan oleh FDA sebagai gabungan bahan kimia yang memberi setiap minyak wangi atau cologne (termasuk yang digunakan dalam produk lain) bau yang berbeza. Bahan-bahan wangian mungkin berasal daripada petroleum atau bahan mentah semulajadi. Syarikat-syarikat yang mengeluarkan minyak wangi atau cologne membeli campuran haruman dari syarikat wangian (syarikat-syarikat yang khusus dalam pengeluaran pewangi) untuk mengembangkan campuran tersendiri mereka. Menurut Environmental Working Group (EWG) Skin Deep Database, campuran wangian telah dikaitkan dengan alergi, dermatitis, kesukaran pernafasan dan kesan yang berpotensi berlaku pada sistem pembiakan. Ia boleh didapati dalam banyak produk seperti minyak wangi, cologne, perapi, syampu, pencuci badan dan pelembap. Persatuan Wangian Antarabangsa (IFRA) telah menyenaraikan sebanyak 3,059 bahan yang dilaporkan digunakan dalam sebatian wangian. Daripada 3,059 bahan ini, terdapat bahan yang mempunyai bukti yang menghubungkannya dengan kesan kesihatan termasuklah kanser, ketoksikan pembiakan, alergi dan sensitiviti.

    Kajian yang dijalankan pada tahun 2016 telah menilai kesan kesihatan yang dilaporkan diri sendiri (self-reported) daripada wangian. Kajian sampel rawak penduduk AS ini mendapati bahawa sebanyak 99.1% peserta didedahkan kepada produk dengan wangian sekurang-kurangnya sekali seminggu daripada penggunaan mereka sendiri, penggunaan oleh individu lain, atau kedua-duanya. Peserta juga melaporkan beberapa kesan kesihatan yang dialami apabila terdedah kepada wangian, termasuklah daripada masalah ringan seperti migrain, asma hinggalah masalah yang berat seperti masalah gastrointestinal dan masalah kardiovaskular. Penemuan juga menunjukkan bahawa terdapat peratusan yang tinggi bagi peserta yang tidak mengetahui kandungan bahan kimia yang terkandung dalam wangian dan tidak akan terus menggunakan produk dengan wangian jika mereka mengetahui mengenainya lebih awal. Bahan wangian ini pada kebiasaannya ditulis sebagai wangian, pewangi, parfum, campuran minyak pati dan aroma pada produk kecantikan.

    Phthalate

    Ia adalah sekumpulan bahan kimia yang digunakan dalam beratus-ratus produk untuk meningkatkan kelenturan dan kelembutan plastik. Bahan ini telah diharamkan di Kesatuan Eropah tetapi masih wujud dalam produk kecantikan Amerika Syarikat. Phthalate utama dalam kosmetik dan produk penjagaan diri adalah dibutyl phthalate dalam pengilat kuku, diethyl phthalate dalam minyak wangi dan losyen, dan dimethyl phthalate dalam semburan rambut. Ia dikenali sebagai pengganggu endokrin dan dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara, perkembangan payudara awal pada kanak-kanak perempuan, dan kecacatan reproduktif kelahiran pada lelaki dan perempuan. 

    Suruhanjaya Eropah telah menentukan bahawa terdapat bukti yang mencukupi bahawa DBP dan DEHP membawa kepada gangguan endokrin dalam organisma hidup. Selain itu, Pertukaran Gangguan Endokrin (TEDX) telah memasukkan DEP, DEHP, dan DBP sebagai pengganggu endokrin. Dua dekad penyelidikan telah mencadangkan bahawa phthalate mengganggu hormon, yang boleh menyebabkan kecederaan semasa tempoh kritikal tumbesaran. Pendedahan wanita hamil kepada phthalate DBP dan DEHP telah dikaitkan dengan jarak yang lebih pendek antara anus dan alat kelamin pada bayi lelaki mereka, yang menunjukkan feminisasi telah berlaku semasa perkembangan alat kelamin pranatal. Jarak anogenital yang lebih pendek adalah ciri seks wanita dalam kedua-dua manusia dan haiwan. Penyelidikan lain terhadap manusia telah menunjukkan bahawa paras hormon telah diubah dalam kalangan kanak-kanak lelaki yang terdedah kepada DEP dan DEHP dalam susu ibu.

    Walau bagaimanapun, bahan ini tidak didedahkan pada setiap produk kerana ia ditambah kepada wangian (formula rahsia wangian setiap syarikat pengeluar tidak didedahkan pada senarai kandungan produk). Ia boleh didapati dalam kandungan deodoran, minyak wangi / cologne, semburan rambut dan pelembap. Anda boleh kenal pasti bahan ini dengan melihat kepada perkataan seperti phthalate, DEP, DBP, DEHP dan wangian. 

    Triclosan

    produk kecantikan

    Triclosan adalah kimia antimikrob yang digunakan secara meluas yang merupakan pengganggu endokrin yang dikenali, terutamanya tiroid dan hormon pembiakan, selain perengsa kulit. Ia pada mulanya dibangunkan sebagai skrub pembedahan untuk profesional perubatan, tetapi kemudiannya ia telah ditambah kepada pelbagai produk pengguna untuk membunuh bakteria dan kulat selain mencegah bau yang tidak diingini. Pada tahun 2005, FDA mendapati bahawa tidak terdapat bukti yang mencukupi yang mendakwa bahawa membasuh dengan sabun antibakteria yang mengandungi triclosan memberikan manfaat yang lebih berbanding daripada membasuh dengan menggunakan sabun dan air biasa. Terdapat bukti bahawa triclosan adalah pengganggu endokrin dan memberi kesan kepada fungsi tiroid dan homeostasis tiroid. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati bahawa triclosan menurunkan kepekatan hormon tiroid, dan satu kajian lain menunjukkan bahawa triclosan meningkatkan ekspresi androgen dan gen yang sensitif kepada estrogen. 

    Beberapa kajian melaporkan triclocarban sebagai sejenis sebatian pengganggu endokrin yang unik yang meningkatkan aktiviti endokrin apabila digabungkan dengan hormon yang bertindak secara semula jadi dalam tubuh manusia. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa triclocarban meningkatkan kekuatan estradiol dan testosteron, walaupun ia tidak mempunyai kesan langsung ke atas aktiviti endokrin sendiri. Sel kanser payudara yang sensitif terhadap hormon yang dirawat dengan triclocarban menunjukkan peningkatan proliferasi sel (pertumbuhan dan penggandaan sel) selain peningkatan tindak balas hormon. Kajian yang dilakukan pada sel-sel mamalia mencadangkan bahawa triclocarban jga boleh mengganggu aktiviti tiroid dan ia juga menunjukkan aktiviti estrogen yang lemah dalam ikan. Triclosan boleh didapati dalam ubat gigi, sabun antibakteria dan deodoran dan anda boleh kenal pasti bahan ini dengan perkataan triclosan (TSC) dan triclocarban (TCC).

    Formaldehyde

    Formaldehyde dan pengawet yang melepaskan formaldehyde/formaldehyde-releasing preservatives (FRP) digunakan dalam banyak produk kosmetik untuk membantu mencegah pertumbuhan bakteria. Ia ditulis diatas produk kecantikan dengan nama seperti formaldehyde, quaternium-15, DMDM hydantoin, imidazolidinyl urea, diazolidinyl urea, polyoxymethylene urea, sodium hydroxymethylglycinate, 2-bromo-2-nitropropane-1,3-diol (bromopol) dan glyoxal. Bahan kimia ini dianggap sebagai karsinogen manusia oleh Agensi Antarabangsa Penyelidikan Karsinogen (IARC) dan telah dikaitkan dengan kanser berkaitan pekerjaan: nasal dan nasofaring. Ia diketahui menyebabkan reaksi kulit alergi dan ia juga boleh memudaratkan sistem imun. Ia boleh didapati dalam kandungan pengilat kuku, sabun pencuci badan, perapi, syampu, pembersih, pembayang mata dan rawatan pengilatan kuku.

    Kajian pada tahun 2009 mengenai pendedahan pekerjaan dan formaldehyde menunjukkan hubungan antara formaldehyde dan leukemia. Kajian pada tahun 2014 pula mendapati bahawa formaldehyde memulakan dan menggalakkan pembentukan tumor. Apabila formaldehyde hadir dalam produk penjagaan diri, individu boleh didedahkan dengan menghidu formaldehyde yang dilepaskan secara gas daripada produk tersebut, atau dengan menelannya atau menyerapnya melalui kulit. Kebanyakan kajian mengenai potensi kanser oleh formaldehyde menumpukan kepada risiko daripada menghidunya. Risiko kanser daripada menelan formaldehyde atau menyerapnya melalui kulit pula tidak begitu dikaji. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa, formaldehyde boleh diserap kedalam kulit apabila produk penjagaan peribadi yang mengandungi formaldehyde termasuklah FRP digunakan. Formaldehyde yang dilepaskan daripada FRP telah dikaitkan dengan kanser, tetapi terdapat sedikit bukti bahawa FRP menyebabkan kanser secara langsung. Walau bagaimanapun, campuran FRP bromopol dan amine, yang membentuk nitrosamines, didapati menembusi kulit dan menyebabkan kanser.

    Penggunaan produk kecantikan perlulah bersesuaian dengan jenis kulit anda untuk mengelakkan ketidaksesuaian dan masalah kesihatan seperti keradangan. Terdapat pelbagai jenis bahan kimia lain yang berbahaya terhadap kulit selain daripada lima jenis yang dinyatakan diatas. Walau bagaimanapun, lima jenis bahan kimia berbahaya seperti diatas adalah antara yang paling terkenal dan terbukti kesan sampingan penggunaannya secara berterusan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan