Pemutih Gigi Boleh Rosakkan Lapisan Dentin Gigi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Walaupun produk-produk pemutih gigi (teeth whitening) boleh membuat senyuman lebih menarik, penyelidikan baharu menunjukkan bahawa produk-produk tersebut mungkin juga menyebabkan kerosakan terhadap gigi.

Dalam tiga penyelidikan baharu yang dilaksanakan, penyelidik mendapati bahawa hidrogen peroksida, bahan aktif dalam jalur pemutih (whitening strips), iaitu salah satu produk pemutih gigi yang boleh diperoleh daripada kaunter, boleh merosakkan tisu dentin yang kaya dengan protein yang terdapat di bawah enamel pelindung gigi.

Penyelidikan yang dilaksanakan di makmal Kelly Keenan, profesor madya dalam bidang kimia di Stockton University di New Jersey, dibentangkan di mesyuarat tahunan the American Society for Biochemistry and Molecular Biology semasa mesyuarat 2019 Experimental Biology yang akan diadakan pada April 6-9 di Orlando, Florida.

Gigi diperbuat daripada tiga lapisan: enamel gigi luar, lapisan dentin yang mendasari dan tisu penghubung yang menghubungkan akar ke gusi. Kebanyakan kajian jalur pemutihan telah memberi tumpuan kepada enamel gigi, yang mengandungi sedikit protein. Pasukan penyelidikan Keenan memberi tumpuan kepada lapisan dentin, yang membentuk kebanyakan gigi dan mempunyai tahap protein yang tinggi, yang kebanyakannya adalah kolagen.

Hidrogen peroksida dan gigi

Ia terbukti bahawa hidrogen peroksida boleh menembusi enamel dan dentin. Penyelidikan sebelum ini oleh para penyelidik menunjukkan bahawa kolagen dalam lapisan dentin berkurangan apabila gigi dirawat dengan jalur pemutihan. Menurut Keenan, pasukan penyelidikannya cuba mengenalpasti lagi apa yang dilakukan oleh hidrogen peroksida kepada kolagen dan mereka  menggunakan keseluruhan bahagian gigi untuk tujuan kajian dan menumpukan pada kesan hidrogen peroksida terhadap protein.

Dalam penyelidikan baharu yang dijalankan, pasukan penyelidik menunjukkan bahawa protein utama dalam dentin ditukarkan kepada serpihan yang lebih kecil apabila dirawat dengan menggunakan hidrogen peroksida. Dalam eksperimen tambahan, mereka merawat kolagen tulen dengan menggunakan hidrogen peroksida dan kemudiannya menganalisis protein menggunakan teknik makmal elektroforesis gel yang membolehkan protein untuk divisualisasikan.

Berdasarkan eksperimen tersebut, Keenan menyatakan bahawa, keputusan penyelidikan mereka menunjukkan bahawa rawatan dengan kepekatan hidrogen peroksida sama seperti yang terdapat dalam jalur pemutihan cukup untuk menghilangkan protein kolagen yang asal, yang mungkin disebabkan oleh pembentukan banyak serpihan yang lebih kecil.

Para penyelidik turut menyatakan bahawa eksperimen mereka tidak menunjukkan sama ada kolagen dan protein lain dalam gigi boleh diperbaharui, oleh itu tidak diketahui jika kerosakan gigi tersebut bersifat kekal atau tidak kekal. Seterusnya, pasukan penyelidikan bercadang untuk menonjolkan lagi serpihan protein apabila kolagen dirawat dengan menggunakan hidrogen peroksida dan menentukan sama ada hidrogen peroksida mempunyai kesan yang sama terhadap protein lain dalam gigi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut