backup og meta

5 Sebab Biasa Badan Cepat Letih

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    5 Sebab Biasa Badan Cepat Letih

    Badan anda cepat letih? Baru naik tangga satu tingkat sudah rasa ingin pitam? Atau hari-hari anda tidak produktif, baru tengah hari sudah mengantuk?

    Banyak sebab badan cepat letih. Dalam artikel ini, dikongsikan 5 sebab yang biasa berlaku. Teruskan membaca.

    1. Tidak cukup tidur

    Manusia dewasa memerlukan tidur antara enam hingga sembilan jam sehari, bergantung kepada aktiviti masing-masing. Tidur adalah saat badan kita berehat dan ia seolah-olah satu proses untuk “reset” kembali badan selepas seharian bekerja.

    Tanpa tidur yang cukup, badan tidak boleh bekerja dengan baik. Anda akan mudah letih dan selalu rasa mengantuk. Jika anda tidak cukup tidur dalam tempoh yang lama, ia boleh mendatangkan kesan yang lebih buruk seperti naik berat badan, masalah memori dan juga melemahkan sistem ketahanan badan.

    Cuba dapatkan tidur yang cukup walau sesibuk mana pun anda. Jika tidak cukup tidur di waktu malam, curi waktu tidur di siang hari. Apa yang penting adalah untuk anda menjadikan tidur sebagai prioriti anda.

    2. Apnea tidur

    Ini adalah keadaan di mana seseorang terhenti nafasnya semasa sedang tidur, seterusnya membangunkannya dari tidur. Apabila ia kerap berlaku, orang terbabit akan mendapatkan tidur yang kurang.

    Kebiasaannya orang yang mengalami apnea tidur akan mengantuk di siang hari. Tidak kurang juga kes kemalangan jalan raya disebabkan penyakit ini. Ia kerap berlaku dalam kalangan mereka yang obes kerana lemak pada leher menutup saluran pernafasan.

    Jika anda tidur berdengkur, sering terjaga pada waktu malam dan mengantuk di siang hari, sila dapatkan nasihat doktor. Jangan tunggu kemalangan jalan raya baru nak ke hospital. Pada masa tu, sudah tiada pilihan. Memang perlu ke hospital!

    3. Anemia

    Sel darah merah berfungsi membawa oksigen dari paru-paru ke sel-sel di dalam badan untuk dijadikan tenaga. Apabila sel darah merah berkurang, oksigen yang sampai ke sel-sel juga akan berkurang, menyebabkan kurang tenaga dan cepat letih.

    Inilah keadaan yang dinamakan sebagai anemia. Satu-satunya cara untuk mengesahkan diagnosis adalah melalui ujian kiraan darah.

    Antara simptom-simptom yang biasa berlaku adalah cepat letih, pucat, sesak nafas atau pitam. Dapatkan nasihat perubatan jika anda mengalami mana-mana simptom ini.

    4. Kemurungan atau depresi

    Kemurungan menyebabkan kebimbangan dan kesedihan, tetapi ia juga boleh datang dalam bentuk simptom-simptom fizikal seperti keletihan, insomnia dan sakit badan.

    Jika anda atau orang yang anda sayangi mengalami kemurungan, sila dapatkan bantuan profesional. Kemurungan boleh dirawat dengan pelbagai cara termasuk terapi dan ubat-ubatan.

    5. Kafein berlebihan

    Pengambilan kafein dalam jumlah yang sederhana boleh menambahkan tenaga dan membuatkan anda lebih segar. Walau bagaimanapun, jika berlebihan, ia boleh menyebabkan menggigil, degupan jantung laju, tekanan darah tinggi dan insomnia. Selepas kesan kafein tersebut habis, anda akan mengalami keletihan.

    Jika anda adalah pengambil kopi tegar, anda boleh berhenti secara beransur-ansur. Berhenti mengambil kafein secara mendadak boleh menyebabkan pening kepala. Mulakan dengan mengambil banyak air kosong untuk menggantikan bilangan cawan kopi yang biasa anda ambil.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan