Mempunyai anak, terutama buat kali pertama, adalah satu peristiwa yang besar untuk kedua-dua bakal ibu bapa. Walaupun seorang bapa tidak perlu mengalami kesakitan melahirkan, mereka tetap mempunyai kebimbangannya sendiri. Kebanyakan topik kehamilan adalah untuk wanita kerana mereka yang lebih banyak mengeluarkan tenaga untuk menempuh alam keibubapaan ini. Walau bagaimanapun, seorang bapa juga memerlukan sokongan. Menjadi seorang bapa boleh menimbulkan pelbagai perasaan bercampur-baur bagi seorang lelaki, daripada kegembiraan dan keseronokan hinggalah kepada kebimbangan. Artikel ini akan menyenaraikan beberapa kebimbangan yang biasa dihadapi para bapa dan bagaimana cara menanganinya.
1. Takut menghadapi waktu pasangan bersalin
Ramai bapa yang berusaha untuk mengambil bahagian dalam proses kelahiran. Anda mungkin melihat klip video ramai wanita yang menghadapi kesakitan selama berjam-jam dengan mengetap bibir, berair mata dan lemah tak berdaya. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh para bapa untuk membuatkan pasangan mereka berasa lebih baik. Walaupun anda tidak boleh mengambil alih kesakitan fizikal untuk pasangan anda, anda boleh mengambil bahagian dalam bilik kelahiran untuk memberi sokongan kepadanya. Atau, anda boleh pergi ke kelas kelahiran dengan pasangan anda dan membantu pasangan anda merancang proses kelahiran. Seorang doktor atau bidan yang mempunyai pengalaman akan membimbing anda dan mencadangkan apa yang boleh anda lakukan untuk membantu isteri anda.