Ramai orang berhadapan dengan masalah daya penumpuan ketika sedang belajar, bekerja, dan bahkan ketika sedang berhibur. Keupayaan tumpuan boleh terganggu disebabkan oleh faktor dalaman dan luaran. Jika anda seorang pelajar atau pegawai yang sedang mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan tumpuan, baca artikel ini.
Apa itu masalah tumpuan?
Kesukaran tumpuan didefinisikan sebagai kurang keupayaan untuk fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama. Terdapat banyak masalah yang datang bersama dengan masalah tumpuan seperti sentiasa berjaga, pemikiran yang terganggu atau bimbang, melakukan aktiviti berlebihan, atau tidak menumpukan perhatian.
Punca-punca masalah daya penumpuan
Letih
Penat dan letih adalah musuh utama bagi tumpuan. Penyelidik mendapati bahawa otak telah dilatih untuk bekerja di bawah keadaan yang spesifik dan hanya keletihan dan penat yang dapat memberi kesan negatif terhadap keupayaan ini. Menurut indikator penyelidik, jika seseorang itu tidak mempunyai tidur malam yang mencukupi, kebolehan daya penumpuan akan merosot dengan ketara dan menyebabkannya tidak dapat melakukan aktiviti hariannya.
Multitugas
Ramai orang sentiasa yakin mengenai keupayaan multitugas mereka tetapi ini bukanlah sesuatu perkara yang bagus. Penyelidik telah membuktikan bahawa pendekatan ini bukan hanya tidak bagus untuk kerja manual (kesalahan lalai atau cuai), tetapi ia juga memberi kesan negatif kepada otak.
Tambahan pula, perkembangan teknologi secara umumnya atau khususnya bagi aplikasi permainan dan notifikasi daripada jaringan sosial sering mengganggu perhatian seseorang. Faktor-faktor ini menjadikan anda lebih sukar untuk kekal fokus terhadap satu perkara dalam tempoh yang panjang. Dalam erti kata lain, semakin bertambah multitugas yang anda lakukan, semakin merosot keupayaan otak anda untuk kekal fokus.
Keadaan perubatan tertentu
Terdapat hubungan yang kuat antara minda dan tubuh. Fokus menjadi bertambah sukar jika anda sedang menjalani rawatan perubatan atau mengalami keadaan kesihatan mental yang mana termasuk penyakit tiroid, anemia, diabetes, depresi atau kegelisahan.
Penyelesaian
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan kesukaran tumpuan, walau bagaimanapun, penyelesaian yang sesuai sentiasa ada bagi setiap masalah.
Perhatikan orang lain yang sedang fokus
Perhatikan seseorang yang sedang fokus melakukan sesuatu, lihat pada ketenangan, mata dan cara pernafasan mereka yang lebih perlahan. Tanda fizikal luaran ini boleh memberikan anda petanda atau salah satu cara bagi meningkatkan kebolehan daya penumpuan anda.
Elak input deria yang berterusan
Multitugas, bunyi bising yang kuat, dan ransangan visual boleh membuatkan anda terganggu daripada kerja yang sedang dilakukan. Selain itu, berada di sekeliling atau melakukan terlalu banyak perkara ini boleh menjadikan anda seorang yang mempunyai tabiat sukar untuk menumpukan perhatian yang mana susah untuk diubah.
Ambil masa untuk rehat
Ambil bahagian dalam aktiviti luar, menikmati pemandangan lanskap, berharmoni dengan persekitaran dengan menarik nafas dalam dan berjalan dengan pantas dapat membantu anda menyegarkan minda dan kembali berkerja dengan lebih daya penumpuan.
Utamakan perkara penting terlebih dahulu
Anda boleh meningkatkan fokus anda dengan menguruskan kerja yang besar terlebih dahulu dan tinggalkan perkara kecil untuk diuruskan kemudian. Catat semua senarai kerja yang paling penting. Anda boleh membahagikannya kepada beberapa kategori. Contohnya, “Senarai A” mungkin mengandungi semua perkara yang perlu anda selesaikan hari ini atau esok. “Senarai B” pula terdiri daripada mana-mana projek yang perlu disiapkan pada minggu hadapan. Sementara itu, “Senarai C” adalah apa yang anda harus lakukan selebihnya, seperti memeriksa email.
Hadkan gangguan lain
Tetapkan masa khusus untuk memeriksa dan menjawab pesanan suara dan kurangkan penggunaan internet. Selain itu, bergantung kepada kepentingan setiap projek, anda harus tutup komputer bagi mengurangkan kelekaaan terhadap jaringan internet.
Bekerja di lokasi yang sama
Menurut Rego, bekerja seharian di Starbuck, kemudian di perpustakaan pada hari yang lain, dan hari seterusnya bertukar ke pejabat anda di rumah akan membuatkan anda sangat terdedah dengan gangguan rangsangan luar. Namun begitu, jika anda sudah biasa dengan satu tempat, minda anda akan terbiasa dengan tempat kerja sebegitu, jadi anda akan lebih bermotivasi untuk bekerja.
Cari tempat yang senyap untuk bekerja
Sekiranya anda perlu berkongsi ruang dengan orang lain, cuba untuk berkongsi dengan seseorang yang suka bekerja menggunakan komputer berbanding telefon dan minta supaya mereka melakukan temu janji di ruangan terbuka yang lain.
Set masa
Set selang masa yang sesuai di mana dapat membawa semula minda yang sedang diawang-awangan itu kembali melakukan kerja di tangan anda.