Mungkin ramai yang kata kehidupan pasangan suami isteri harus ada rasa cinta dan kasih sayang. Benar, ia memang perkara utama namun jangan lupa kejujuran dalam hubungan kalian juga sama penting! Kenapa?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, anda boleh klik di sini.
Jujur, sikap manusia yang sangat mulia
“Manusia mungkin akan menipu sekali setiap 5 kali interaksi mereka tidak kira kepada individu yang mereka kenal atau tidak walaupun itu bukan perkara yang baik untuk kita,” jelas Pakar Perhubungan, Dr Bella DePaulo.
Kejujuran adalah antara sikap bagi manusia yang paling mulia dan penting di dalam kehidupan bermasyarakat. Kalau sifat ini tiada, maka akan timbul banyak masalah terutama terhadap aspek perhubungan.
Bayangkan situasi di mana seorang penjual dan pembeli sedang melakukan sesuatu urusniaga. Angkara ketidakjujuran salah seorang daripada mereka, urusan tersebut sudah pasti tidak dapat berjalan dengan lancar.
Begitu juga dengan hubungan di antara ahli keluarga, sahabat handai serta pasangan tercinta. Setiap individu itu harus sentiasa bersikap jujur tidak kira di dalam percakapan, perbuatan atau hanya berniat dalam hati.
Kepentingan bersikap jujur ini merupakan salah satu daripada tiang yang mampu mengukuhkan rumah tangga suami dan isteri. Kenapa mesti berbohong kepada individu yang berkongsi semua dan segala perkara dengan anda?
Dengan kejujuran dalam hubungan kalian, maka sudah tentu akan datang pelbagai macam manfaat yang baik!
Kepentingan bersikap jujur dalam bercinta!
Sesungguhnya, kejujuran dalam hubungan sangat penting bagi pasangan suami isteri dalam usaha untuk memastikan keharmonian rumah tangga sekali gus memberikan manfaat-manfaat seperti di bawah:
#1. Menambahkan kepercayaan
Pertama dan paling penting, kejujuran tentu sahaja boleh menambahkan kepercayaan di antara diri dengan pasangan masing-masing. Bayangkan jika anda pernah menipu sekali, maka mungkin akan berlaku lagi penipuan kali kedua, ketiga dan seterusnya.
#2. Memberikan ketenangan
Lanjutan di atas tadi, memberitahu perkara yang benar meskipun pahit boleh memberikan ketenangan bukan sahaja pada pasangan malah juga diri anda. Ini sekali gus membuat kalian akan lebih relaks dengan diri masing-masing.
#3. Mengelakkan pertelingkahan
Sudah terang lagi bersuluh, pergaduhan di antara pasangan suami isteri itu mungkin bermula daripada penipuan atau ketidakjujuran. Jadi, tolong lebih jujur dengan pasangan selagi mereka masih percaya dengan anda.
#4. Menyelesaikan perbalahan
Meskipun sudah berlaku pergaduhan, itu bukan bermaksud anda perlu terus berbohong demi menyelamatkan diri. Ini juga merupakan detik terakhir untuk berterus-terang bagi menjernihkan kembali situasi yang keruh.
[embed-health-tool-bmi]
#5. Jujur demi capai kebahagiaan
Kejujuran dalam hubungan pasangan suami isteri itu bukan sahaja mampu menghindarkan curiga, meredakan amarah atau menamatkan kemelut, malah turut membentuk kunci untuk membuka pintu kebahagiaan kalian.
Dalam erti kata lebih mudah, lebih baik anda jujur daripada terus menipu dan membohong pasangan sampai ‘kantoi’!
Apa yang anda dan pasangan boleh buat?
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kiasan ini membawa maksud segala bentuk penipuan atau pembohongan oleh si ‘pakar’ tentu sahaja boleh terbongkar di saat akhir.
Dalam usaha untuk anda menyemai kejujuran dalam hubungan, beberapa cara berikut ini boleh membantu:
- Jangan biasakan diri dengan penipuan – Kalau kalian sudah terbiasa membohongi dan dibohongi, maka ia akan jadi suatu norma di dalam perhubungan. Jadi, elakkan penipuan daripada peringkat awal lagi.
- Beritahu keadaan dan keberadaan anda – Tidak perlu pula sehingga ke tahap melapor setiap tinduk-tanduk anda dalam seharian itu namun cukup beritahu pasangan anda sedang buat apa dan di mana sahaja.
- Bincang masalah masing-masing – Kalau ada masalah, jangan simpan dan pendam di dalam hati sahaja. Meski ia bakal menyerabutkan diri pasangan juga, melepaskan ia daripada fikiran juga pilihan terbaik.
- Hargai kejujuran dan keikhlasan pasangan – Seandainya pasangan sudah lama atau baru mula jujur dengan anda, hargai mereka kerana ia mungkin bukan semudah yang anda sangkakan.
- Usah anggap semua bakal pulih kelak – Benar, kita mesti tawakal dengan sebarang kesan daripada setiap pembohongan kita. Namun, apa pula makna tawakal itu jika tanpa usaha dan ikhtiar? Insafi penipuan anda dan segera minta maaf kepada pasangan!
Konklusinya, kejujuran dalam hubungan itu memang amat penting kerana ia akan membantu menyemai keharmonian, kebahagiaan dan keikhlasan dalam hubungan kalian sebagai pasangan suami isteri.
Hentikan stigma dongeng yang kata bohong sunat dapat pahala. Ia tidak benar malah akan bawa banyak mudarat!