backup og meta

Bapa Harus Lebih KUATKAN Ikatan Kasih Sayang Dengan Bayi, Banyak Faedahnya Anda Tak Tahu!

Bapa Harus Lebih KUATKAN Ikatan Kasih Sayang Dengan Bayi, Banyak Faedahnya Anda Tak Tahu!

Setiap kali berbicara mengenai jalinan, ia mesti merujuk kepada perasaan kasih dan sayang sesama individu. Bagi ibu bapa, tiada apa yang lebih penting daripada jalinan yang terhubung antara mereka dengan anak-anak.

Mungkin bagi seorang ibu, ia lebih mudah kerana mereka lebih banyak meluangkan masa dengan anak mereka. Namun, bagaimanakah pula bagi seorang bapa?

Ada bapa yang mampu menjalinkan hubungan bersama anak mereka seawal usia mereka masih bayi lagi.

Namun begitu, kebanyakannya memerlukan masa yang lebih lama dan ini adalah normal.

Ini kerana sebagai seorang bapa, anda juga memerlukan masa untuk menerima hakikat bahawa isteri anda bukan kepunyaan anda seorang lagi dan anda perlu membantu mereka sepanjang tempoh mereka pulih daripada melahirkan anak.

Anda sendiri juga pasti letih dan tidak dapat tidur secukupnya kerana membantu pasangan menjaga bayi anda. Oleh itu, anda tidak perlu memaksa kerana jalinan ini akan terjalin juga walaupun agak lambat.

Kajian saintifik mengenai jalinan

Kajian menunjukkan bahawa bapa yang berada di sisi pasangan ketika kelahiran bayi akan mengalami perasaan yang sama seperti yang dialami oleh ibu.

Selepas sahaja bayi lahir, seorang bapa seharusnya terus memeluk dan merangkul bayi agar perasaan kasih sayang itu lahir secara semula jadi.

Banyak kajian terbaharu yang mencadangkan seorang bapa perlu mengekalkan hubungan yang rapat dengan anak mereka ketika berusia awal bulan lagi.

Ini akan membuat hubungan mereka dengan anak menjadi lebih rapat ketika dewasa kelak.

Oleh itu, seawal bayi masih berada dalam perut lagi, tidak salah untuk berbual dengan anak anda agar mereka dapat mengenali suara anda. Ini juga dapat membina ikatan kepercayaan sesama anda dan bayi.

Antara kajian lain daripada Canada pula mencadangkan bahawa bakal bapa sebenarnya akan mengalami perubahan daripada hormon dan biologi yang akan menyediakan mereka ke alam keibubapaan.

Kajian ini mengatakan bahawa testosteron bakal bapa akan menurun manakala hormon prolaktin dan kortisol yang berkait rapat dengan kehamilan, akan meningkat dalam tempoh tiga minggu sebelum bayi dilahirkan.

Ada juga kajian serupa yang menunjukkan kadar prolaktin dalam badan lelaki akan meningkat apabila mereka merangkul bayi.

Penemuan ini dapat menyokong kenyataan yang mengatakan terdapat perubahan fisiologi buat bakal bapa.

Tip untuk bapa menguatkan jalinan dengan anak mereka

  • Bermain bersama

Kajian menunjukkan bahawa ibu dan bapa cenderung untuk membahagikan cara penjagaan ketika bayi mula mencecah awal minggu kehidupan mereka.

Peranan ibu selalunya akan lebih cenderung kepada penjagaan yang lembut dan melibatkan mental manakala bapa pula cenderung kepada penjagaan yang lebih bersikap fizikal.

Ini jelas sekali akan menyebabkan anda dan pasangan menjadi stereotaip terhadap anda. Namun, ia juga akan menjadikan anda sebagai ‘teman sepermainan’ mereka.

Selalunya, seorang bapa akan menjadi ‘hero’ kepada anak mereka. Ini juga merupakan kelebihan kepada bapa kerana bapa juga mungkin merupakan individu pertama yang mendengar tangisan bayi semasa bermain bersama. 

Bapa dan Anak, Eratkan Jalinan Kasih Sayang - menguatkan jalinan

  • Rangkul bayi anda dengan erat

Apabila si ibu sedang menyusukan bayi,  mereka akan membawa bayi dekat kepada dada mereka lalu membuat mereka jelas dapat melihat anda.

Tidak salah juga jika anda sebagai seorang bapa turut memgang bayi pada posisi yang sama seperti si ibu menyusukan bayi, dan biarkan mata mereka jelas melihat kepada anda.

  • Ambil tugas pada waktu malam

Beri peluang kepada si ibu untuk mendapatkan tidur yang mencukupi dengan menjadi ‘penyelamat’ pada waktu malam tatkala bayi menangis.

Ini akan memberi anda dan bayi masa bersama yang berharga. Anda dinasihatkan untuk selalu menyimpan susu di dalam peti untuk situasi kecemasan begini.

  • Usap tangisan bayi anda

Anda perlu menjadi seorang bapa yang sentiasa ada ketika bayi menangis untuk mengusap tangisan mereka.

Anda boleh cuba memujuk mereka dengan pelbagai cara termasuklah menggunakan puting palsu.

Ini dapat memberi mereka petunjuk bahawa bukan hanya si ibu sahaja yang mampu memberikan apa yang diperlukan oleh bayi.

  • Cuba lakukan urutan bayi

Bayi mudah bergerak balas dengan sentuhan. Cara yang paling mudah untuk merelakskan bayi adalah dengan urutan lembut.

Apabila bayi anda sedang gembira, lakukan 10 hingga 15 minit urutan yang lembut pada bahagian kaki, perut, tangan dan leher mereka.

Mampukah bapa menjaga anak?

Selalunya, ibu sahaja yang akan diberikan tanggungjawab untuk menguruskan bayi dari A-Z. Jika si ayah membantu pun, itu masih dilakukan dengan pemantauan daripada ibu.

Namun, bagaimana pula jika berlaku hal kecemasan kepada ibu, seperti perlu bekerja luar kawasan ataupun dimasukkan ke hospital?

Jadi, bersedialah para bapa untuk menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak.

Sebaik-baiknya, tanggungjawab untuk menjaga anak perlu digalas oleh kedua-dua ibu dan bapa.

Suami perlu mengambil tahu dan membantu isteri dalam hal ehwal penjagaan anak supaya boleh bersedia jika hal-hal kecemasan berlaku.

Buat si ibu pula, berikan kepercayaan kepada suami anda untuk sama-sama membantu anda menjaga bayi. Ini panduan untuk bapa belajar menjaga bayi mereka.

Fahami perangai bayi: Setiap anak sudah pasti mempunyai perangai yang berbeza. Sudah tentu si ibu yang lebih memahami perangai bayi mereka.

Jadi, ibu perlu kerap bercerita tentang kelakuan dan aktiviti bayi kepada si bapa supaya sedikit sebanyak bapa boleh mengetahui tabiat dan aktiviti harian bayi mereka.

Contohnya, jika bayi terjaga daripada tidur dan menangis, bapa perlu periksa adakah disebabkan lampin basah ataupun disebabkan kembung perut.

Selain itu, ibu boleh memberitahu suami tentang tabiat tidur bayi seperti perlu menutup lampu sebelum tidur ataupun tidak boleh membuat bising semasa bayi tidur.

Apa yang bayi anda gemari? Dalam menjaga bayi yang belum pandai bertutur, anda perlu tahu cara memujuk anak anda jika dia merengek atau menangis.

Jadi, wahai bapa, bertanyalah kepada isteri anda tentang cara untuk membuatkan anak anda gembira.

Contohnya, tarik minat anak anda untuk mandi, dengan cara meletakkan mainan terapung seperti itik dan bola dalam tab mandiannya.

Tahu rutin harian bayi anda: Bayi mempunyai waktu makan dan tidur yang tetap setiap hari. Jadi, ketahui jadual waktu makan dan tidur bagi mengelakkan bayi meragam.

Jika si anak sudah pandai makan makanan pejal, si bapa perlulah belajar sekurang-kurangnya dua resipi bayi.

Selain itu, anda juga perlu tahu jika anak mengalami alergi pada sebarang makanan.

Kenali tanda bayi meragam: Anda perlu mengetahui punca anak meragam atau menangis. Adakah tanda-tanda yang ditunjukkan normal atau kerana anak kurang sihat.

Sediakan termometer bayi di rumah supaya mudah untuk anda mengetahui suhu badan bayi. Jika disebabkan demam atau sakit selesema mahupun batuk, maka segeralah membawa bayi anda mendapatkan rawatan.

Pengalaman tidak ternilai

Jalinan kasih sayang antara seorang bapa dan anak adalah sangat penting dalam tumbesaran anak-anak.

Tidak kira apa panggilan anak anda kepada anda; papa, ayah, abah, bapa, daddy, babah atau abi, luangkanlah masa untuk bersama anak anda, tidak akan jatuhnya ego seorang lelaki jika anda membantu isteri anda untuk menjaga anak, membantu memberikan susu pada anak mahupun menukar lampin anak.

Anak anda akan membesar, tidak akan selamanya anda akan mendapat peluang melakukannya. Hargailah masa yang ada untuk anda merasai pengalaman menjaga anak anda.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tip Menguatkan Jalinan Antara Bapa dan Anak

https://hellodoktor.com/ms/keibubapaan/tips-keibubapaan/tip-menguatkan-jalinan-antara-bapa-dan-anak/ / accessed on June 10, 2019

 

Bolehkah Bapa Jaga Bayi?

https://hellodoktor.com/ms/keibubapaan/tahun-tahun-pertama/bolehkah-bapa-jaga-bayi/ / accessed on June 10, 2019

 

Si Bapa Menyusukan Bayi?

https://hellodoktor.com/ms/kehamilan/sub/si-bapa-dan-penyusuan-badan/ / accessed on June 10, 2019

 

Bolehkah si Bapa Menukar Lampin

https://hellodoktor.com/ms/kehamilan/sub/panduan-bapa-bagi-menukar-lampin-bayi/ / accessed on June 10, 2019

Versi Terbaru

18/06/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

6 Rahsia Menjadi Isteri Solehah, Bukan Hanya Jaga Makan & Pakai Suami Ya!

Nak Cari Pasangan Sejiwa TillJannah? Pilihlah Lelaki Dengan 11 Ciri Ini, Mesti Bahagia!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan