backup og meta

Bagaimana Mengajar Anak Anda Berkongsi?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 15/05/2023

    Bagaimana Mengajar Anak Anda Berkongsi?

    Kanak-kanak kebiasaannya amat sukar untuk berkongsi. Secara amnya, kanak-kanak akan mula memahami konsep berkongsi seawal usia tiga tahun. Walaubagaimanapun, anak anda perlu dididik lebih awal lagi untuk membiasakan diri dengan konsep berkongsi. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh digunakan untuk membantu mereka.

    Aktiviti berkumpulan

    Salah satu cara paling mudah untuk ajar anak anda berkongsi adalah bermain permainan yang memerlukan kerjasama. Anak anda akan mula memahami konsep berkongsi apabila mereka perlu bekerjasama dengan ahli kumpulan untuk menang dalam sesuatu pertandingan permainan. Aktiviti berkumpulan seperti menyusun puzzle, meniup belon, menyiram pokok bunga, menyapu lantai atau membeli belah bersama dapat melahirkan sifat berkongsi dan kerjasama dalam diri mereka.

    Jangan hukum anak anda jika mereka tidak mahu berkongsi

    Sekiranya anda terlihat anak anda merampas sesuatu daripada kawan mereka, anda tidak perlu untuk marah sebaliknya meminta mereka memulangkan apa yang dirampas itu dengan lembut. Ini kemungkinan disebabkan mereka masih tidak memahami konsep berkongsi yang sebenar. Jika anda menggunakan pendekatan memarahi, mereka akan berasa malu dan hilang keyakinan diri. Ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap proses pembelajaran skil baharu mereka.

    Anda juga perlu mengetahui bahawa anak anda tidak mahu semua barang milik mereka dikongsikan. Jika mereka sangat menyukai sesuatu barang itu, biarkan mereka menyimpannya sendiri

    Keluarkan isi hati mereka

    Jika anak anda berebut permainan dengan kawan mereka, anda perlu meleraikan dan menenangkan mereka. Kemudian, anda boleh membantu mereka mengeluarkan isi hati mereka dengan mengatakan sesuatu seperti “anda mahukan permainan itu juga?”. Jika mereka mahu anda membeli permainan tersebut, tanya kepada mereka sebab dan alasannya. Ini akan membuat anak anda lebih bersikap terbuka dengan anda.

    Ajar anak anda untuk menyelesaikan masalah

    Jika anak anda tidak mahu berkongsi permainan kepunyaan mereka bersama kawan-kawan atau adik beradiknya, anda boleh membantu mereka menyelesaikan masalah dengan meminta mereka mengambil giliran untuk bermain. Selain itu, ajar anak anda untuk memahami konsep memberi dan menerima. Jelaskan kepada anak anda bahawa sikap tidak mahu berkongsi akan membuatkan individu lain juga tidak mahu berkongsi dengan mereka.

    Jangan memaksa anak anda untuk berkongsi

    Jangan memaksa anak anda untuk melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu. Sebagai contoh, anak anda mungkin tidak mahu berkongsi kerana takut permainan kepunyaan mereka hilang atau rosak. Untuk menyelesaikan permasalahan ini, anda boleh meminta izin anak anda terlebih dahulu sebelum meminjamkannya kepada individu lain. Jika mereka setuju, pastikan permainan tersebut berada dalam keadaan yang baik ketika memulangkannya. Jika mereka tidak setuju, anda harus menghormati keputusan tersebut.

    Tunjukkan contoh yang baik

    Melalui pemerhatian, anak anda boleh memahami konsep berkongsi. Anda boleh berkongsi makanan anda seperti gula-gula atau aiskrim dengan mereka. Sentiasa gunakan perkataan “berkongsi” untuk mereka lebih terbiasa lalu memahami konsep ini. Anda juga boleh berkongsi banyak lagi perkara selain daripada makanan. Paling penting, tunjukkan mereka bagaimana untuk memahami konsep memberi dan menerima, berkompromi serta berkongsi dengan individu lain.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 15/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan