Definisi
Apakah itu miopia?
Miopia, yang juga dipanggil rabun jauh, adalah penyakit yang biasa berlaku apabila anda dapat melihat objek yang dekat dengan anda dengan jelas, tetapi objek yang lebih jauh kelihatan kabur.
Rabun jauh boleh berlaku secara sedikit demi sedikit atau dengan cepat, sering kali bertambah buruk pada masa kanak-kanak dan masa remaja. Rabun dekat boleh diwarisi dalam keluarga.
Pemeriksaan mata asas boleh mengesahkan rabun jauh. Anda boleh membetulkan keadaan ini dengan mudah menggunakan cermin mata atau kanta lekap. Pilihan rawatan yang lain untuk rabun jauh adalah pembedahan.
Adakah miopia biasa berlaku?
Rabun jauh sangat biasa berlaku tetapi keadaan ini boleh dirawat. Menurut Persatuan Optometrik Amerika, hampir 30 peratus rakyat Amerika mempunyai rabun jauh. Miopia sering didiagnosis antara umur 8 dan 12 tahun. Mata anda berkembang pada usia ini, jadi bentuk mata anda boleh berubah.
Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah tanda-tanda miopia?
Simptom-simptom yang sering dilihat adalah:
- Penglihatan yang kabur apabila melihat objek jauh
- Terpaksa mengecilkan mata atau menutup sebahagian kelopak mata untuk melihat dengan jelas
- Sakit kepala yang disebabkan oleh ketegangan pada mata
- Kesukaran melihat semasa memandu kenderaan, terutamanya pada waktu malam (miopia malam)
Rabun jauh sering dialami semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Seorang kanak-kanak dengan rabun dekat :
- Perlu sentiasa mengecilkan mata
- Perlu duduk dekat dengan televisyen, skrin filem atau bahagian depan sekali di dalam kelas
- Tidak menyedari objek yang jauh
- Kerap berkedip mata
- Menggosok mata dengan kerap
Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang gejala, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bilakah saya perlu berjumpa dengan doktor?
Jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Langkah yang terbaik untuk membincangkan dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.
Punca
Apakah yang menyebabkan miopia?
Rabun jauh biasanya berlaku apabila mata anda terlalu panjang atau kornea mata anda melengkung secara curam. Ini menyebabkan cahaya yang memasuki mata untuk terfokus di hadapan retina, bukannya pada retina. Ini menyebabkan imej yang kelihatan kabur. Punca yang tepat tentang mengapa sesetengah orang mempunyai mata yang lebih panjang tidak diketahui, tetapi ianya mungkin berkaitan dengan faktor genetik atau faktor persekitaran.
Faktor-faktor risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya untuk mengalami miopia?
Terdapat banyak faktor risiko untuk miopia, seperti:
Sejarah keluarga
Rabun jauh cenderung diwarisi dalam keluarga. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa anda mempunyai rabun jauh, risiko anda untuk mengalami keadaan ini mungkin meningkat. Risiko anda lebih tinggi sekiranya kedua-dua ibu dan bapa anda rabun jauh.
Membaca
Orang yang banyak membaca mungkin mengalami peningkatan risiko miopia.
Faktor persekitaran
Sesetengah kajian mencadangkan bahawa risiko mengalami miopia meningkat apabila tidak banyak berada di luar rumah
Diagnosis & rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SENTIASA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimanakah miopia didiagnosis?
Jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mungkin mengalami keadaan ini, pemeriksaan mata akan dilakukan. Pemeriksaan mata yang menyeluruh melibatkan beberapa siri ujian. Doktor mata anda boleh menggunakan pelbagai instrumen, menghalakan cahaya yang terang terus ke mata anda dan meminta anda melihat menggunakan beberapa kanta. Doktor anda menggunakan ujian ini untuk memeriksa mata dan penglihatan anda dari aspek yang berbeza bagi menentukan preskripsi yang diperlukan untuk memperolehi penglihatan yang jelas menggunakan kaca mata atau kanta lekap.
Bagaimanakah miopia dirawat?
Tujuan merawat rabun jauh adalah untuk memperbaiki penglihatan dengan membantu memfokuskan cahaya pada retina melalui dua cara utama, iaitu penggunaan kanta pembetulan atau pembedahan refraktif.
Kanta pembetulan
Menggunakan kanta pembetulan merawat rabun jauh dengan mengurangkan kelengkungan kornea yang tinggi atau peningkatan panjang mata anda. Jenis kanta pembetulan termasuk:
- Cermin mata
Ini adalah cara yang paling mudah dan selamat untuk memperbaiki masalah penglihatan yang disebabkan oleh miopia. Terdapat pelbagai jenis pilihan cermin mata termasuk dwifokus, kanta trifokus dan kanta membaca.
- Kanta lekap
Kanta ini dipakai terus di permukaan mata anda. Ia boleh didapati dalam pelbagai jenis dan gaya, termasuk jenis yang keras, lembut, pemakaian boleh lanjut, pakai buang, kanta separa telap (RGP) dan bifokal. Bincangkan dengan doktor mata tentang kebaikan dan keburukan penggunaan kanta lekap dan apa yang terbaik untuk anda.
Pembedahan refraktif
Pembedahan refraktif menambahbaik penglihatan dan mengurangkan ketidakselesaan yang dialami semasa memakai cermin mata atau kanta lekap. Pakar bedah mata anda akan menggunakan sinar laser untuk membentuk semula kornea anda. Kini, pembedahan seperti ini telah menjadi sesuatu yang biasa dilakukan.
Prosedur pembedahan refraktif untuk rabun jauh termasuklah:
- Laser-assisted in-situ keratomileusis (LASIK)
Dalam prosedur ini, pakar bedah mata akan membuat flap yang nipis, berengsel pada kornea anda. Kemudian doktor menggunakan laser eksimer untuk membuang lapisan dari pusat kornea anda untuk meratakan bentuk kubahnya.
- Laser-assisted subepithelial keratectomy (LASEK)
Pakar bedah hanya akan membuat flap pada lapisan pelindung kornea (epitelium) dan menggunakan laser eksimer untuk membentuk semula lapisan luar kornea. Kemudian doktor akan meratakan kelengkungannya dan meletakkan semula flap epitelium. Anda mungkin perlu memakai kanta sentuh pembalut selama beberapa hari selepas itu untuk memudahkan penyembuhan.
- Keratektomi fotorefraktif (PRK)
Prosedur ini sama dengan LASEK, perbezaannya adalah pakar bedah akan membuang epitelium.
- Implan intraokular (IOL)
Kanta-kanta ini diimplan secara surgikal pada mata, di hadapan kanta semula jadi mata. Kanta ini mungkin menjadi pilihan bagi mereka yang mempunyai miopia sederhana dan teruk.
Perubahan gaya hidup & remedi di rumah
Apakah beberapa perubahan gaya hidup atau remedi di rumah yang dapat membantu saya mengurus miopia?
Gaya hidup dan remedi di rumah yang berikut mungkin membantu anda menghadapi masalah miopia:
- Menjalani pemeriksaan mata secara tetap
- Mengawal keadaan kesihatan yang kronik
Sesetengah keadaan tertentu, seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi, boleh menjejaskan penglihatan anda jika anda tidak menerima rawatan yang betul.
- Lindungi mata anda dari matahari dengan memakai cermin mata hitam yang menghalang radiasi ultraviolet (UV)
- Mencegah kecederaan mata dengan memakai kacamata pelindung apabila melakukan perkara tertentu, seperti bersukan, memotong rumput, mengecat atau menggunakan produk lain dengan wasap beracun
- Makan makanan yang sihat, seperti makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran berdaun dan sayur-sayuran lain
- Jangan merokok
- Gunakan kanta pembetulan yang betul
Penggunaan kanta yang betul mengoptimumkan penglihatan anda. Menjalani pemeriksaan secara rutin akan memastikan anda menggunakan preskripsi yang betul.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.