backup og meta

Psst… Ibu Boleh Menyusukan Anak di Tempat Awam Tau

Psst… Ibu Boleh Menyusukan Anak di Tempat Awam Tau

Malu. Itu merupakan perkataan yang sering digunakan oleh para ibu yang enggan memberikan susu ibu kepada anak di tempat awam. Namun begitu permintaan anak untuk menyusu badan, terutamanya yang berusia kurang daripada setahun, seringkali diluar jangkaan dan kawalan. Sedang ibu membeli-belah, tiba-tiba si anak berteriak ingin menyusu. Si ibu mula kegelisahan. Cuba dipujuk, namun tak termakan. Akhirnya, dengan rasa malu dan bersalah, dia membawa anaknya ke tandas wanita untuk disusukan.

Di sini kami ingin senaraikan beberapa petua untuk para ibu, bagaimana anda boleh memberikan susu ibu kepada anak anda sewaktu berada di tempat awam. Jangan bawa anak anda ke tandas awam setiap kali dia merengek kelaparan. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

Susu ibu, di mana jua bayi anda berada

Di Malaysia, walaupun sebahagian besar masyarakat sudah berfikiran terbuka, namun sukar untuk kita kenal pasti bagaimanakah penerimaan mereka terhadap budaya menyusukan anak di tempat awam. Namun begitu, fasiliti untuk menyusukan anak ada disediakan di tempat-tempat tertentu bagi memudahkan urusan dan menjaga privasi para ibu.

Susu ibu mempunyai zat-zat penting untuk perkembangan bayi. Anda seharusnya berbangga kerana memilih untuk memberikan khasiat terbaik buat anak anda namun usahlah merakam dan sebarkan gambar anda sedang menyusukan anak di laman sosial media. Perkara ini akan menyebabkan berlakunya fitnah dan bakal mengundang perkara yang tidak diingini.

Tips menyusu di tempat awam

  • Pilih pakaian yang sesuai. Pakaian yang boleh dibuka dari sudut hadapan (butang atau zip) dapat memberikan akses yang mudah kepada bayi untuk menyusu di tempat awam. Terdapat pelbagai jenis ‘design’ pakaian yang menepati citarasa para ibu dan jika itu tidak cukup, pakai tudung labuh atau cardigan yang selesa. Ini bagi menutup bayi yang sedang menyusu sekiranya tiada fasiliti awam atau tempat tersebut penuh. Asalkan mulut bayi dapat melekap kepada puting susu ibu dengan sempurna.
  • Gunakan stroller sebagai penghalang. Kepada ibu bapa yang membawa stroller, sekiranya bayi anda lapar, cari sudut yang sesuai di tempat anda berada dan halang pandangan pada sudut hadapan menggunakan stroller tersebut.
  • Gunakan pengendong ring sling. Ini adalah merupakan pengendong bayi yang diubahsuai daripada rupa bentuk pengendong tradisional menggunakan kain batik. Ia memudahkan urusan mengangkat bayi dan dalam masa yang sama menyusukan bayi. Privasi ibu terjaga memandangkan bayi dan payudara ibu ditutup oleh kendongan tersebut.
  • Fahami bayi anda dan bertindak segera. Kebiasaannya, bayi akan merengek kecil apabila mereka mula berasa lapar. Usah biarkan keadaan tersebut berlarutan dan segeralah mencari kawasan atau fasiliti untuk menyusukan anak, jika ada. Jika anak berusia lebih daripada 6 bulan, berikan snek lembut sementara anda mencari tempat yang sesuai untuk menyusukan anak anda.
  • Jika anda mempunyai wang lebih untuk dibelanjakan, laburkan pada nursing cover. Ia merupakan pakaian khusus untuk ibu menyusukan anaknya ketika berada di tempat awam. Terdapat beberapa pilihan warna yang sudah pastinya dapat menarik minat anda.

Apa yang anda perlu elakkan

  • Elakkan daripada membawa peralatan tambahan untuk menyusu. Apa yang mudahnya berkenaan dengan susu ibu adalah anda boleh bergerak ke sana ke mari tanpa perlu membawa sebarang peralatan yang ternyata boleh menyerabutkan.
  • Jangan menyusukan bayi di dalam bilik air. Cuba anda tanya diri anda sendiri, adakah anda akan makan di dalam bilik air? Jika tidak, mengapa anak anda perlu menyusu di dalam bilik air? Cari fasiliti berdekatan, jika tiada, cari kawasan strategik untuk anda menyusukan anak anda.
  • Jangan pedulikan pandangan orang yang lalu lalang. Walaupun ia merupakan alternatif yang semakin boleh diterima masyarakat, menyusukan anak di kawasan terbuka merupakan konsep yang asing buat sesetengah pihak. Usah pedulikan mereka.
  • Jangan duduk di kawasan yang dapat menarik perhatian anak anda daripada menyusu sehingga kenyang. Duduk di kawasan yang tenang dan lapang. Taman permainan bukanlah tempat yang bagus untuk menyusukan anak anda terutamanya jika mereka boleh bergerak sendiri. Mereka akan lebih tertarik untuk bermain.

Banyak pilihan, bukan? Jangan lupa untuk memberikan ruang kepada orang awam yang lain. Hendak hidup aktif bukanlah penghalang kepada anda untuk menyusukan anak anda dan sebaliknya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Dos and Don’ts When Breastfeeding in the Public. (https://www.parents.com/baby/breastfeeding/tips/dos-and-donts-when-breastfeeding-in-public/). Diakses pada 7 Oktober 2019.
  2. 8 Tips Menyusu di Tempat Awam. (https://siraplimau.com/tips-menyusu-di-tempat-awam/). Diakses pada 7 Oktober 2019.
  3. Pesan jururawat untuk menyusu badan di tempat awam. (https://www.majalahpama.my/kesian-tengok-ibu-terkial-kial-bila-bayi-menangis-nak-menyusu-di-tempat-awam-ikut-pesanan-jururawat-ini/). Diakses pada 7 Oktober 2019.

 

Versi Terbaru

18/06/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Mama Stres Bayi Sering Meragam Kerana Perut Kembung? Jom Cuba Petua Ini!

Anak Selalu Sangat Demam? Parents, Ini 5 Vitamin Untuk Kuatkan Imuniti Si Manja!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan