4 Langkah Penting Kena Cepar Buat Kalau Anda Rasa Anak Termakan Racun Tikus!
Malang itu tidak berbau terutama buat golongan kanak-kanak. Ini kerana ada banyak kejadian yang mungkin boleh berlaku kepada mereka seperti kes termakan racun tikus.

Apabila kejadian seperti ini berlaku kepada anak anda, maka ibu bapa wajib bertindak dengan kadar segera agar tidak pula timbul komplikasi akibat keracunan racun tersebut.
Persoalannya, apa dia langkah penting yang ibu bapa wajib buat itu? Jom terus baca artikel ini!
Bahaya racun tikus terhadap manusia…
Untuk pengetahuan anda semua, racun ini berfungsi untuk menghalau atau membunuh haiwan tikus yang mungkin berhabitat dan berkeliaran di sekeliling kawasan rumah kita.
Sekiranya manusia tersentuh racun ini pada kulit, maka ia mungkin tidak akan mendatangkan kesan yang teruk. Namun lain pula ceritanya jika anda tertelan racun tikus ini.
Ini kerana racun haiwan perosak ini mengandungi warfarin, thalluim dan lain-lain bahan aktif bahaya yang mungkin akan menimbulkan reaksi apabila ia masuk ke dalam badan.

Dalam pada itu, ia juga mungkin tinggi dengan bahan aktif yang lain seperti senarai di bawah ini:
- Brodifacoum
- Bromadiolone
- Bromethalin
- Chlorophacinone
- Cholecalciferol
- Difethialone
- Diphacinone
- Zinc phosphide
Apa yang lebih menakutkan, ada juga kes di mana individu telah maut akibat racun ini. Jadi, kita semua harus lebih berhati-hati dan berjaga-jaga agar dapat elak dari bahaya.
Apa akan terjadi jika termakan racun tikus?
Kadang kala, ibu bapa mungkin tidak nampak atau perasan dengan aktiviti anak mereka sehingga tidak tahu jika si kecil telah terdedah, tertelan atau termakan racun haiwan ini.
Bukan itu sahaja, anda juga perlu tahu bahawa gejala keracunan racun tikus juga mungkin tidak akan langsung terus muncul sehingga beberapa jam atau hari yang berikutnya.
Sama ada ia muncul cepat atau lambat, ada beberapa tanda atau gejala angkara kejadian ini iaitu:
- Hidung berdarah tanpa kecederaan pada hidung
- Gusi berdarah tanpa kecederaan pada mulut
- Kencing berdarah tanpa kecederaan pada kelamin
- Badan lemah
- Kejang otot
- Sesak nafas
- Kegagalan fungsi organ
Indikator di atas ini boleh muncul dengan tahap yang ringan, sederhana atau kronik bergantung kepada kuantiti racun tikus yang telah memasuki dan mencemari tubuh badan.
Di antara senarai di atas tadi, kegagalan fungsi organ adalah yang paling bahaya kerana ia mungkin boleh jadi punca kepada komplikasi lebih teruk seperti pitam, koma atau maut.
Siapa yang mungkin lebih tinggi risiko?

Sebenarnya, bahaya termakan atau tertelan racun tikus ini adalah buat semua individu. Namun, ada 2 golongan yang mungkin lebih tinggi risiko mengalami komplikasi lebih teruk.
Golongan kanak-kanak
Walaupun kes keracunan racun tikus sangat jarang menyebabkan kematian, kesan buruk jika ia terdedah kepada kanak-kanak adalah lebih tinggi berbanding dengan orang lain.
Ini kerana jisim badan golongan kanak-kanak adalah lebih kecil. Apabila zat daripada bahan aktif bahaya ini masuk ke dalam badan mereka, maka kesannya jauh lebih bahaya.
Individu yang ambil ubat mencairkan darah
Salah satu kesan tersembunyi apabila terdedah dengan racun tikus adalah ia mungkin boleh membuat darah individu menjadi lebih cair akibat sifat antikoagulan racun ini.
Apabila individu ambil ubat mencairkan darah dan dalam masa sama terdedah dengan racun ini, maka ia mungkin akan membuat darah menjadi sangat cair daripada biasa.
Sekiranya anda tidak termasuk di dalam 2 golongan di atas tadi, itu bukan bermakna anda boleh terselamat. Pastikan racun haiwan perosak ini jauh dari jangkauan dan lingkungan tempat anda berada untuk tujuan keselamatan dan kesihatan.

Ini langkah yang ibu bapa wajib buat segera!
Adalah sangat penting untuk ibu bapa tahu apa yang perlu dilakukan jika anak termakan racun tikus. Sila cuba untuk kekal bertenang dan ikut langkah-langkah yang berikut:
- Bersihkan mulut anak anda dengan menggunakan air bersih
- Berikan anak anda minum air kosong atau susu dalam kuantiti yang sedikit
- Sila hubungi talian kecemasan dan kunjungi pusat kesihatan
- Bawa sekali racun tikus yang terbabit dalam kejadian tersebut
Langkah terakhir itu tadi adalah sangat penting untuk doktor atau pakar mengetahui sekali gus mengenalpasti jenis bahan aktif apa yang telah meracuni tubuh badan anak anda.
Apabila perkara ini dapat dipastikan, maka antidot yang sesuai juga akan dapat dipilih dan diberi berdasarkan tanda, gejala dan komplikasi yang dialami oleh si kecil anda itu.
Konklusinya, perkara ini tidak boleh dipandang ringan sahaja. Bertindak segera sebelum ia parah!