Risau Tak Serasi Dengan Keluarga Tiri? Ini 5 Cara Anda Boleh Cuba Untuk Erat Silaturrahim!
Keluarga tiri hadir daripada latar belakang yang berbeza, menjadikan suasana awal sering kekok dan mencabar. Sekiranya perbezaan ini tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi jurang yang memisahkan antara ahli keluarga.

Jadi, bagaimana cara untuk mengubah jurang perbezaan ini dan membentuknya menjadi jambatan kasih sayang? Jom pelajarinya dalam artikel Hello Doktor kali ini supaya anda lebih dekat dengan keluarga baharu anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Cabaran dalam membentuk keluarga baharu
Keluarga tiri terbentuk apabila salah seorang atau kedua-dua pasangan berkahwin semula dan masing-masing mempunyai anak-anak dari perkahwinan terdahulu.
Membina hubungan dalam keluarga campuran ini bukanlah perkara yang mudah kerana terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi seperti:
#1. Perasaan kekok dan tidak diterima
Anak tiri sering kali merasa kekok atau tidak diterima ketika berhadapan dengan ibu tiri atau bapa tiri.
Proses menyesuaikan diri dengan orang baru dalam keluarga boleh menimbulkan perasaan tidak selesa, lebih-lebih lagi jika mereka masih dalam keadaan trauma atau perasaan kehilangan dari perpisahan dengan ibu atau bapa kandung.
#2. Perbezaan gaya didikan
Ibu bapa tiri dan anak mungkin mempunyai perbezaan dalam cara mereka dibesarkan atau dididik. Perbezaan dalam nilai, peraturan dan rutin harian boleh menimbulkan konflik dan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan norma keluarga baru.
#3. Masalah kepercayaan
Anak tiri mungkin mengalami kesukaran untuk mempercayai ibu tiri dan bapa tiri sepenuhnya. Ini kerana mereka mungkin merasa bahawa ibu bapa tiri tidak akan dapat menggantikan peranan ibu bapa kandung mereka. Tanggapan ini boleh menghalang mereka daripada membina hubungan yang lebih rapat dan bermakna.
#4. Perasaan cemburu atau tidak adil
Adik-beradik tiri atau anak tiri mungkin merasa cemburu jika ibu bapa tiri lebih memberi perhatian kepada anak kandung mereka, atau sebaliknya.
Ketidakseimbangan dalam perhatian atau kasih sayang yang diberikan boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan ketegangan dalam hubungan keluarga.
Mencipta ikatan baharu dengan keluarga tiri

Membina hubungan yang erat dalam sesebuah keluarga bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia tidak mustahil untuk dilakukan. Berikut adalah beberapa tip untuk membina hubungan yang sihat bersama keluarga tersayang:
1. Terima keadaan keluarga tiri dengan hati yang terbuka
Langkah pertama untuk merapatkan hubungan dengan keluarga baharu adalah dengan menerima keadaan ini dengan ikhlas. Setiap individu perlu memahami bahawa keluarga baru ini memerlukan masa untuk serasi.
Elakkan daripada membuat perbandingan antara ibu, ayah atau saudara tiri dengan keluarga kandung, kerana setiap keluarga itu mempunyai identiti dan keunikannya tersendiri.
2. Berkomunikasi secara terbuka
Komunikasi adalah kunci kepada hubungan yang lebih harmoni. Cubalah untuk meluangkan masa bersama dan berbincang secara terbuka tentang perasaan, harapan, dan sebarang kebimbangan yang sedang dihadapi.
Ibu bapa boleh memulakan perbualan dengan mendengar pendapat anak-anak tanpa menghakimi terlebih dahulu. Anak-anak perlu diberikan ruang untuk mengekspresikan diri mereka sendiri tanpa rasa dihukum.
3. Lakukan aktiviti bersama keluarga tercinta
Sesibuk mana pun kehidupan anda, pastikan anda meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta. Aktiviti seperti memasak bersama, atau sekadar berjalan-jalan di taman mahupun di pusat membeli belah adalah peluang untuk anda mengenali ahli keluarga baharu dengan lebih dekat.
Berikut adalah beberapa cara untuk menunjukkan kepada ahli keluarga bahawa anda menyayangi dan mengambil berat tentang mereka:
- Membaca buku sebelum tidur
- Bermain sukan seperti bola sepak, berenang dan badminton
- Mengemas rumah
- Menonton filem
- Makan malam bersama
- Bercuti bersama
4. Jangan terburu-buru untuk menjadi ‘keluarga sempurna’
Setiap hubungan memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri, begitu juga dalam keluarga tiri. Jangan memaksa hubungan anda dan keluarga baharu untuk menjadi sempurna dalam waktu yang singkat.
Beri masa untuk mereka perlahan-lahan membuka hati dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Terimalah bahawa proses ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan keikhlasan.
Usah terburu-buru untuk membentuk keluarga yang sempurna, tetapi teruskan usaha anda dengan sabar dan penuh kasih sayang.
5. Jadikan kasih sayang sebagai asas
Keluarga yang bahagia dibina atas asas kasih sayang dan keikhlasan yang berterusan. Tunjukkan kasih sayang melalui perbuatan kecil seperti memberi sokongan, pujian, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang. Perasaan ini akan membantu merapatkan jurang antara ahli keluarga anda.
