Secara amnya, bayi tidak boleh minum air sehinggalah umur mereka 6 bulan. Sehingga itu, mereka hanya memerlukan susu ibu ataupun susu formula sahaja, walaupun berada pada cuaca panas terik. Apabila bayi anda mencecah usia 6 bulan, anda boleh memberikan mereka sedikit air apabila mereka berasa dahaga. Akan tetapi, jangan terlebih memberi mereka minum kerana berkemungkinan si manja anda akan mengalami sakit perut ataupun membuatkan mereka berasa kenyang sehingga tidak mahu makan. Selepas ulang tahun pertama mereka, si manja sudah boleh makan makanan pejal dan minum susu, dan ketika ini anda boleh memberi mereka minum sebanyak mana yang mereka minta.
Mengapa bayi umur 6 bulan ke bawah tidak disarankan minum air?
Menawarkan air kepada bayi umur 6 bulan ke bawah boleh mengganggu keupayaan tubuh badan mereka untuk menyerap nutrien dalam susu ibu atau susu formula. Selain itu, bayi yang minum air juga boleh membuatkan perut mereka cepat penuh sehingga merosakkan selera mereka. Dalam sesetengah kes, kanak-kanak yang minum terlalu banyak air boleh mengalami keadaan yang dipanggil intoksikasi air, yang boleh menyebabkan sawan dan koma. Intoksikasi air berlaku apabila terlalu banyak air mencairkan kepekatan sodium dalam tubuh badan, menyebabkan gangguan imbangan elektrolit dan tisu utama membengkak.