backup og meta

Bagaimana Televisyen Bantu Anak Anda Belajar?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    Bagaimana Televisyen Bantu Anak Anda Belajar?

    Kanak-kanak dan televisyen amat sukar untuk dipisahkan. Rancangan seperti Upin & Ipin, Boboiboy atau Ejen Ali sudah pasti menjadi rancangan televisyen kegemaran anak anda. Pada hemat ibu bapa, televisyen mendatangkan banyak mudarat buat anak mereka dan wajar dihadkan waktu tontonannya. Namun begitu, televisyen sebenarnya mampu menjadi alat bantuan untuk anak anda belajar. Tidak percaya dengan kenyataan ini? Ikuti artikel berikut untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    1. Meningkatkan kemahiran bercerita anak anda

    Kanak-kanak sangat gemar bercerita tentang apa yang dilalui mereka kepada ahli keluarga mereka. Ini termasuklah rancangan televisyen yang ditonton mereka. Usai sahaja menonton, mereka akan menceritakan kembali tentang watak, cerita atau aksi yang berlaku dalam rancangan televisyen tersebut. Ini sangat bagus untuk membina keyakinan mereka untuk berinteraksi dan berbual bersama individu lain kelak.

    2. Mendorong anak anda belajar membaca dan bercakap

    Sebenarnya, televisyen berkeupayaan mendorong anak anda belajar membaca dan bercakap. Penggunaan sarikata atau kapsyen yang terdapat pada beberapa rancangan televisyen sebenarnya sangat membantu kanak-kanak untuk belajar membaca dan mengenali tulisan. Selain itu, anak anda mungkin akan lebih petah bercakap jika mereka kerap menonton rancangan televisyen kegemaran mereka. Ini kerana sifat kanak-kanak yang gemar meniru dan mengajuk akan menjadi senjata utama mereka untuk mula menguasai bahasa.

    3. Memberi pengetahuan baru kepada anak anda

    Pelbagai pengetahuan baru dapat dipelajari oleh anak anda dengan menonton televisyen. Ini kerana televisyen memaparkan pelbagai jenis perkara atau objek mahupun perkataan yang anak anda tidak tahu. Dengan ini, mereka mudah untuk mengenali dan memahami sesuatu yang baru melalui cara yang paling santai dan relaks iaitu menonton televisyen.

    4. Mengenal sesuatu yang sukar anak anda temui

    Kanak-kanak amat mudah tertarik dengan sesuatu yang mereka belum pernah temui. Disebabkan itu, televisyen merupakan medium yang tepat untuk membuat anak anda mengenal tempat, benda atau binatang yang berada jauh daripada jangkauan mereka. Rancangan dokumentari antarabangsa seperti Animal Planet dan National Geographic adalah rancangan yang paling sesuai dan menarik untuk ditonton bersama anak anda.

    5. Membantu anak anda belajar di rumah

    Terdapat pelbagai rancangan ilmiah yang ditayangkan di televisyen bertujuan mengajar anak anda seperti di sekolah. Perbezaannya, ruang tamu rumah anda adalah bilik darjah anak anda dan televisyen merupakan gurunya. Malahan itu, rancangan kartun luar negara seperti Dora the Explorer atau Go Diego Go juga merupakan rancangan kartun bercorak hubungan dua hala yang menarik malah bagus untuk perkembangan otak anak anda.

    6. Mengasah skil analitik anak anda

    Selain menjadi bahan tontonan umum, rancangan televisyen juga boleh dijadikan sebagai medium untuk anda dan anak anda melakukan perbincangan. Sebagai contoh, gunakan satu rancangan kartun untuk dijadikan sebagai topik perbualan bersama anak anda. Berbincanglah bersama mereka tentang watak, plot atau apa-apa yang menarik dalam rancangan tersebut. Ini sekaligus dapat mengasah skil analitik anak anda

    7. Mengajar anak anda fungsi iklan

    Rancangan televisyen tidak boleh lari daripada iklan. Menurut kajian, kanak-kanak yang masih kecil sebenarnya tidak dapat membezakan rancangan televisyen sebenar dengan iklan. Sebagai ibu bapa, anda boleh gunakan peluang ini untuk mengajar anak anda berkenaan tujuan dan fungsi iklan. Ini dapat memberi pendedahan awal kepada anak mengenai keperluan dan kepentingan iklan yang disiarkan menerusi televisyen.

    8. Memastikan anak anda mempunyai contoh ‘role model’ yang bagus

    Kanak-kanak amat mudah terpengaruh dengan individu yang mereka tonton di kaca televisyen. Rancangan yang memaparkan selebriti atau tokoh kebanggaan kita adalah rancangan yang sangat sesuai untuk ditonton oleh anak anda agar mereka dapat mencontohi individu tersebut. Namun begitu, ibu bapa perlu ingat bahawa ini sangat berisiko kerana bimbang anak anda terpengaruh dengan ‘role model’ yang salah. Oleh itu, sentiasa perhatikan anak anda ketika menonton televisyen.

    Konklusinya, televisyen juga mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Di sebalik mudarat yang seringkali diutarakan, terdapat banyak lagi manfaat yang kurang diketahui masyarakat. Oleh itu, gunakan peluang yang ada dan jadikan televisyen sebagai salah satu daripada alat bantuan untuk anak anda belajar secara santai dan relaks.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan