Jabatan Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan Amerika Syarikat menyarankan bahawa wanita perlu melakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman setiap hari, seperti berjalan. Malah, mereka yang berada dalam kerjaya aktif, yang banyak memerlukan mereka untuk berjalan boleh mendapat manfaat daripadanya. Dalam kebanyakan manfaat fizikal, aktiviti berjalan boleh membantu anda untuk mengosongkan fikiran dan melegakan tekanan. Berjalan pantas amat baik untuk jantung dan paru-paru anda, tanpa menyakitkan lutut dan buku lali anda. Ia juga merupakan aktiviti bebas yang boleh anda lakukan dengan mudah dalam kehidupan harian anda, justeru anda lebih cenderung untuk sentiasa melakukannya. Sebagai motivasi tambahan, pergilah melakukan senaman berjalan bersama-sama rakan dan keluarga. Cara ini dapat menggalakkan anda lebih bersemangat melakukan aktiviti berjalan.
Apakah manfaat berjalan semasa hamil?
Berjalan semasa hamil memberikan banyak manfaat untuk anda dan bayi. Senaman ini membantu anda mendapatkan kenaikan berat badan yang sepatutnya semasa mengandung. Seperti yang kita tahu, kenaikan berat badan yang berlebihan semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang ataupun bayi yang besar. Jadi, berjalan dapat membantu tubuh anda mengatasi rasa sakit dan lenguh-lenguh semasa mengandung. Berat badan yang bersesuaian membantu ibu untuk kurang berasa letih sepanjang ‘membawa perut’. Tambahan pula, anda dapat menyediakan diri untuk proses kelahiran nanti. Selain itu, senaman juga dapat membantu dalam menghalang komplikasi yang berkaitan dengan kehamilan, seperti masalah diabetes, yang boleh memberi impak kepada kesihatan anda dan bayi dalam kandungan. Akhirnya, berjalan juga dapat membantu mengurangkan bengkak; bergerak dapat mengurangkan pembentukan cecair pada kaki dan buku lali ibu hamil.
Apa persediaan yang perlu saya lakukan sebelum berjalan semasa hamil?
Sebelum anda mula melakukan program senaman, berbincanglah dulu dengan doktor anda. Jika anda kerap berjalan sebelum anda hamil lagi, maka teruskanlah.
Akan tetapi, jika anda baru ingin mula berjalan, maka mulakan dengan jarak yang dekat, seperti 5 minit berjalan selama tiga kali seminggu. Kemudian, anda boleh tingkatkan durasi sedikit demi sedikit. Aktiviti joging mungkin sesuai untuk sesetengah wanita yang masih dalam peringkat awal kehamilan, tetapi ia juga bergantung kepada amalan rutin senaman anda sebelum hamil dan keadaan kesihatan anda keseluruhan. Bercakaplah dengan doktor anda sebelum mula melakukan senaman joging semasa hamil.
Selepas mendapat rentak melakukan aktiviti berjalan, anda boleh meningkatkan kecepatan senaman seperti melakukan 30 minit sesi berjalan, selama empat kali atau lebih dalam seminggu. Panduan NHS menyarankan supaya aktiviti berjalan semasa hamil dilakukan selama 150 minit dalam seminggu, di mana ia berlangsung 30 minit, lima kali seminggu. Jika anda tidak konsisten melakukan rutin ini, maka anda tidak akan merasai manfaat daripada senaman tetap.
Cuba untuk bergerak aktif setiap hari. Semasa berjalan, anda mungkin ingin cuba melakukan senaman lantai pelvik. Namun, jika anda tidak boleh melakukannya, berjalan sahaja sudah mencukupi.