Adakah anda sudah bersedia untuk anak yang kedua? Hanya anda yang mempunyai jawapan kepada persoalan ini. Namun, sebelum membuat apa-apa keputusan, anda perlu memikirkan setiap baik buruk dan sebarang kemungkinan yang mungkin akan berlaku.
Bilakah waktu yang sesuai untuk mendapatkan anak kedua?
Sebelum anda memutuskan untuk hamil kali kedua, anda perlu memikirkan berkenaan hubungan anda dengan anak pertama. Anda perlu mengetahui terlebih dahulu perasaan mereka terhadap kemungkinan memiliki seorang adik. Pakar menyatakan anda boleh menambah anak jika anak pertama anda belum mencapai 1 tahun ataupun sudah melebihi umur 4 tahun. Ketika berumur 1 tahun atau kurang, anak pertama anda masih terlalu muda untuk memikirkan tentang kedatangan ahli keluarga baharu. Ketika berumur 4 tahun atau lebih pula, anak pertama anda sudah meluangkan masa yang cukup dengan anda dan perlu memberi perhatian terhadap perkara yang lain. Ini akan mengelakkan perasaan cemburu terhadap kehadiran seorang adik.
Selain itu, anda juga perlu memikirkan tentang kondisi kesihatan bayi anda. Pakar menyarankan untuk menunggu sekurang-kurangnya 2 atau 3 tahun sebelum memutuskan untuk hamil sekali lagi. Kajian menunjukkan sekiranya anda hamil lagi sekali 18 bulan sejurus selepas kelahiran anak pertama, anak kedua anda mungkin akan lahir pramatang atau kurang berat. Ini secara langsung akan menjejaskan kesihatan bayi anda. Selain itu, jika anda hamil 12 bulan selepas kelahiran anak pertama, anda mungkin berdepan dengan risiko mempunyai masalah plasenta. Tubuh badan anda memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya setiap kali selepas melahirkan. Oleh itu, tunggu sehingga tubuh anda pulih seperti sedia kala terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk hamil anak kedua.
Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian
Terdapat beberapa perkara atau isu yang perlu anda beri perhatian, iaitu:
- Gaya hidup: Fikirkan tentang gaya hidup anda. Adakah anda menjaga anak pertama anda dengan baik atau tidak? Selain itu, anda juga mungkin mahu meluangkan masa yang lebih dengan anak pertama anda atau dengan pasangan anda. Anda juga mungkin terlalu sibuk bekerja dan tidak sempat untuk meluangkan masa dengan seorang lagi anak.
- Status ekonomi: Anda perlu menyara keluarga. Oleh itu, fikirkan situasi ini. Adakah anda mampu untuk membesarkan seorang lagi bayi? Proses kehamilan juga sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap pekerjaan anda. Adakah anda mampu untuk menyara kesemua kos yang diperlukan untuk hamil anak kedua sekiranya anda berhenti kerja?
- Usia: Pertimbangkan usia anda. Jika anda sudah terlalu tua, masa mungkin sudah suntuk untuk anda memiliki anak kedua. Selain itu, kemungkinan untuk anda hamil pada usia tua juga agak tipis.
- Pasangan dan keluarga: Adakah pasangan anda dan ahli keluarga lain bersetuju? Adakah mereka mahu anda untuk memiliki anak kedua? Berbincanglah dengan mereka dan dapatkan kata sepakat.
- Keinginan sendiri: Tanya diri anda sendiri. Adakah anda mahu memiliki anak kedua? Ikuti kata hati anda.
Bagaimanakah untuk memberitahu anak pertama anda?
Antara perkara lain yang anda perlu pertimbangkan adalah bagaimana untuk memberitahu anak pertama anda tentang kemungkinan mereka memiliki seorang adik. Anda perlu menghormati perasaan anak anda. Fikirkan apakah cara yang paling sesuai untuk memastikan mereka berasa seronok dan teruja terhadap kehadiran seorang adik. Mereka mungkin akan berasa anda tidak lagi menyayangi atau memerlukan mereka lagi. Pastikan mereka mengetahui anda masih menyayangi mereka dan kehadiran seorang adik tidak akan mengubah perasaan anda terhadap mereka.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-ovulation]