Ramai pasangan yang inginkan lebih daripada seorang anak bagi memeriahkan lagi bilangan ahli keluarga mereka. Walau bagaimanapun, sesetengah pasangan berdepan dengan kesukaran untuk kembali hamil setelah melahirkan anak pertama. Keadaan ini merujuk kepada ketidaksuburan kedua, dan ia lebih banyak terjadi berbanding ketidaksuburan (pasangan yang sukar hamil dari awal). Terdapat pelbagai sebab di sebalik sindrom ini.
Masalah berkemungkinan dengan sistem pembiakan anda
Secara umumnya, peluang anda untuk hamil menurun disebabkan oleh faktor usia, terutamanya usia 35 tahun dan ke atas. Selain itu, kemungkinan terdapat masalah lain yang melibatkan sistem reproduktif (pembiakan) anda yang berlaku sebelum atau selepas tempoh anda melahirkan anak, dan ia beransur-ansur bertambah buruk. Jadi, penting untuk anda berjumpa dengan doktor bagi mengetahui sebarang kemungkinan yang boleh mengganggu konsepsi anda, termasuklah gangguan ovulasi, kerosakan tiub falopio atau uterus, penyakit keradangan pelvis (PID), tersumbat disebabkan oleh fibroid, dan lain-lain. Tambahan pula, kebarangkalian untuk keguguran juga meningkat dengan peningkatan usia dan penyakit diabetes.
Masalah yang berkemungkinan dengan pasangan anda
Usia 35 tahun dianggap sebagai usia yang boleh menurunkan peluang kesuburan, baik untuk wanita mahupun lelaki. Jika pasangan anda berusia 35 tahun atau ke atas, hormon, laluan sperma, dan spermanya adalah lebih terjejas. Selain itu, pasangan anda juga mungkin mengalami kekurangan sperma yang sihat atau sperma yang rendah kualiti, bermakna sperma yang ada pada mereka tidak cukup kuat untuk menembus pada telur. Keadaan-keadaan ini boleh berpunca daripada penyakit, makanan atau gaya hidup yang tidak sihat.
Perubahan dalam gaya hidup
Gaya hidup memainkan peranan yang penting dalam peluang kehamilan anda. Masalah ketidaksuburan kedua boleh berlaku disebabkan oleh perubahan gaya hidup anda. Jadi, penting untuk anda mengekalkan berat yang optima kerana masalah terlebih atau kurang berat memberikan kesan negatif dalam kesuburan anda. Tambahan pula, amalan merokok atau minum arak boleh menjejaskan kesuburan.
Penyebab yang sukar dikenal pasti
Selain daripada punca-punca yang disebutkan di atas, banyak pasangan yang masih berdepan dengan ketidaksuburan kedua tanpa sebab-sebab tertentu. Namun begitu, kira-kira 15% daripada golongan ini berjaya hamil selepas setahun mencuba dan 35% selepas dua tahun mencuba. Peluang untuk pasangan yang bawah usia 30-an adalah lebih tinggi berbanding mereka yang usia lebih 30-an.
Kesimpulannya, terdapat banyak sebab kepada ketidaksuburan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk hamil semula, berjumpalah dengan pakar kesuburan untuk mendapatkan nasihat dan pandangan bagi menangani masalah kesihatan ini.
[embed-health-tool-ovulation]