backup og meta

Pneumonia Sewaktu Hamil: Mengapa Anda Lebih Berisiko

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 29/11/2019

    Pneumonia Sewaktu Hamil: Mengapa Anda Lebih Berisiko

    Sewaktu kehamilan, badan anda secara semulajadi mengolah sistem imun agar dapat menerima janin yang dikandung. Tanpa perubahan dalam sistem imun ini, badan anda akan bertindak balas dan menolak kehadiran janin. Oleh itu, wanita hamil lebih berisiko tinggi mengalami jangkitan penyakit dan komplikasinya kerana mereka mempunyai sistem imuniti yang lemah. Jadi, jika wanita hamil dijangkiti flu atau selesema, mereka lebih berisiko mengalami komplikasinya seperti pneumonia.

    Apa itu pneumonia?

    Pneumonia atau radang paru-paru adalah keradangan tisu dalam satu atau kedua-dua paru-paru yang kebiasaannya berlaku disebabkan jangkitan bakteria. Pada penghujung tiub pernafasan di paru-paru terdapat kelompok kantung udara kecil (alveoli). Sekiranya anda mengalami radang paru-paru, kantung kecil ini menjadi meradang dan dipenuhi dengan cecair. Dalam pesakit hamil, radang paru-paru adalah penyebab utama kematian disebabkan jangkitan bukan berkaitan kehamilan.

    Kesan pneumonia kepada wanita hamil

    Kerana radang paru-paru adalah kesan apabila selesema atau flu merebak dan melarat, simptom yang akan didapati wanita hamil bermula dengan simptom selesema atau flu. Anda mungkin mengalami simptom seperti sakit tekak, sakit badan, dan sakit kepala. Manakala radang paru-paru akan menampakkan simptom yang lebih teruk.

    Simptom pneumonia dalam ibu hamil termasuklah:

    • kesukaran bernafas
    • menggigil
    • sakit dada
    • batuk yang semakin teruk
    • keletihan yang berlebihan
    • demam
    • hilang selera makan
    • pernafasan yang cepat
    • muntah

    Simptom-simptom ini tidak berbeza antara trimester, tetapi anda mungkin hanya menyedari simptom ini lewat. Ini disebabkan simptom-simptom kehamilan yang turut anda rasai bersama simptom pneumonia ini.

    Punca pneumonia sewaktu kehamilan

    Virus selesema atau jangkitan bakteria yang merebak ke paru-paru menyebabkan pneumonia. Jangkitan bakteria adalah punca utama pneumonia. Ia sering dirujuk sebagai ‘pneumonia perolehan komuniti’ (community-acquired pneumonia). Penyebab bakteria termasuklah:

    • Haemophilus influenzae
    • Mycoplasma pneumoniae
    • Streptococcus pneumoniae

    Jangkitan dan komplikasi virus berikut juga boleh membawa kepada radang paru-paru:

    • influenza (selesema)
    • sindrom distres respiratori
    • varicella (cacar air)

    Faktor risiko pneumonia sewaktu kehamilan

    Kehamilan sendiri merupakan satu faktor risiko kepada pneumonia. Tetapi anda lebih berkemungkinan menghadapinyania semasa kehamilan jika anda mengalami:

    • anemia
    • asma
    • mempunyai penyakit kronik
    • bekerja dengan kanak-kanak kecil
    • sering melawat hospital atau rumah jagaan
    • mempunyai sistem imun yang lemah
    • merokok

    Bila anda patut menghubungi doktor

    Anda perlu menghubungi doktor sebaik sahaja anda mengalami simptom. Semakin lama anda menunggu, semakin tinggi risiko komplikasi.

    Anda mungkin memerlukan rawatan perubatan kecemasan jika anda mengalami:

    • sakit di perut
    • sakit dada
    • kesukaran bernafas
    • demam panas
    • muntah yang berlangsung selama 12 jam
    • pening atau pengsan
    • keliru
    • bayi kurang bergerak (paling ketara dalam trimester kedua dan ketiga)

    Bagaimanakah pneumonia didiagnosis semasa kehamilan?

    Untuk mendiagnosis radang paru-paru dalam wanita hamil, doktor anda akan:

    • mendengar bunyi daripada paru-paru anda
    • mengambil x-ray paru-paru anda (x-ray dada biasanya dianggap selamat semasa kehamilan)
    • menilai simptom dan sejarah kesihatan anda
    • mengambil sampel kahak

    Bagaimanakah pneumonia dirawat semasa kehamilan?

    Bagi pneumonia disebabkan virus, rawatan biasa seperti ubat anti viral dianggap selamat untuk rawatan pada tahap awal. Terapi pernafasan juga boleh digunakan.

    Jika anda mempunyai radang paru-paru bakteria, doktor anda mungkin menetapkan antibiotik. Antibiotik tidak boleh merawat jangkitan virus.

    Doktor anda juga boleh mengesyorkan ubat sakit tanpa preskripsi untuk mengurangkan demam dan kesakitan. Ini termasuk acetaminophen (Tylenol).

    Mendapatkan tidur dan minum yang mencukupi juga penting dalam pemulihan anda. Jangan mengambil ubat atau suplemen baru tanpa bertanyakan doktor terlebih dahulu.

    Bolehkah pneumonia menyebabkan komplikasi semasa kehamilan?

    Kes-kes radang paru-paru yang teruk atau tidak dirawat boleh membawa kepada pelbagai komplikasi. Tahap oksigen di dalam badan mungkin merosot kerana paru-paru tidak dapat menghantar oksigen secukupnya kepada badan. Keadaan yang dipanggil empiema boleh berlaku, iaitu apabila cecair terkumpul di sekitar paru-paru. Kadangkala jangkitan boleh merebak dari paru-paru ke bahagian badan yang lain.

    Radang paru-paru juga boleh menyebabkan komplikasi dengan bayi. Ini termasuklah:

    • kelahiran pramatang
    • berat kelahiran yang rendah
    • keguguran
    • kegagalan pernafasan

    Jika tidak dirawat, radang paru-paru mungkin membawa maut kepada si ibu.

    Apakah kesan pneumonia semasa kehamilan?

    Terdapat peningkatan risiko kematian pada wanita hamil dengan radang paru-paru berbanding dengan mereka yang tidak hamil. Tetapi beberapa faktor telah mengurangkan risiko ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuklah:

    • diagnosis segera
    • rawatan rapi
    • terapi antimikrob
    • vaksin

    Pencegahan

    Cara terbaik untuk mencegah radang paru-paru adalah dengan mengelakkan daripada mendapat selesema dan jangkitan lain yang boleh menyebabkannya. Kebersihan diri adalah penting untuk mencegah penyakit, sama ada anda hamil atau tidak. Wanita hamil harus memberi perhatian untuk:

    • cuci tangan dengan kerap
    • tidur secukupnya
    • makan makanan yang sihat
    • bersenam secara teratur (ini juga membantu membina sistem imun)
    • mengelakkan orang lain yang sakit

    Cara terbaik untuk mengelakkan daripada mendapat selesema adalah dengan mendapatkan vaksin. Vaksin dapat melindungi anda dan bayi anda. Rujuk kepada doktor anda tentang vaksinasi bagi mencegah selesema sewaktu hamil.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 29/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan