home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Larangan Menanduk Bola Untuk Pemain Bawah 18 Tahun - Pakar

Larangan Menanduk Bola Untuk Pemain Bawah 18 Tahun - Pakar

Bagi yang tidak mengenali siapa Dr Bennet Omalu, beliau merupakan seorang pakar perubatan, forensik patologi dan neuropatologi yang cukup terkenal. Beliau merupakan orang terawal yang menemui dan menerbitkan penemuan ensefalopati trauma kronik (CTE) dalam kalangan pemain American football. Kisah penemuan ini turut diabadikan dalam bentuk filem bertajuk Concussion yang dibintangi oleh Will Smith. Terbaru, Dr Bennet telah menyeru agar larangan menanduk bola dikuatkuasakan dalam kalangan pemain bawah 18 tahun.

Kadar demensia yang lebih tinggi

Minggu lepas, sebuah kajian yang dilakukan oleh Glasgow University mendapati pemain bola sepak berada pada risiko 3 setengah kali ganda untuk mati akibat penyakit neurodegeneratif berbanding populasi am. Dapatan kajian ini telah diperoleh setelah meneiliti rekod perubatan lebih 7,500 pemain bola sepak di Scotland sekitar tahun 1900 hingga tahun 1976. Menurut laporan kajian ini, berikut adalah peningkatan risiko penyakit neurodegeneratif yang telah dikenal pasti dalam kalangan pemain bola sepak:

  • 5 kali ganda untuk menghidap penyakit Alzheimer
  • 4 kali ganda untuk menghidap penyakit saraf motor
  • 2 kali ganda untuk menghidap penyakit Parkinson

Larangan menanduk bola

Sehubungan itu, Dr Bennet menyeru agar pihak berkuasa melaksanakan larangan menanduk bola dalam kalangan pemain bawah 18 tahun. Menurut Dr Bennet, ketika latihan bola sepak, kanak-kanak diajar untuk menanduk bola (seberat hampir separuh kilogram) hampir setiap hari. Perkembangan otak kanak-kanak masih tidak sempurna sebelum usia 18 tahun. Dalam fasa ini, otak mereka masih berkembang dan sangat rapuh (cenderung untuk kecederaan).

“Setiap kali kanak-kanak menanduk bola menggunakan kepala mereka, berlakunya kecederaan mikroskopik dalam otak,” kata Dr Bennet. “Dalam kepala manusia, otak berada dalam keadaan terapung dalam tengkorak dan apabila seseorang menanduk, otak akan bergerak dan melanggar dinding dalaman tengkorak. Kecederaan mikroskopik ini tidak akan mengakibatkan sebarang simptom serta-merta tetapi akan berkumpul (dengan tandukan yang berulang) dan mampu mengakibatkan komplikasi otak di masa akan datang,” tambah beliau.

Pada tahun 2002, Dr Bennet telah melakukan autopsi ke atas seorang lagenda American Football, Mike Webster. Walaupun mendiang Mike Webster disahkan mati akibat serangan jantung, Dr Bennet telah menemui perubahan otak yang cukup mengejutkan dalam mayat mendiang. Beliau telah mengenal pasti tanda-tanda CTE (tanda-tanda yang tidak pernah dikenal pasti sebelum ini dalam pemain sukan ini) yang berlaku akibat kecederaan kepala yang berulang. Itu merupakan mukadimah kepada pembuktian bagaimana sukan tersebut boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.

Usaha ke arah perlindungan pemain

Pada tahun 2015, Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat telah mengisytiharkan larangan menanduk bola dalam sukan tersebut bagi kumpulan umur 13 tahun dan ke bawah. Walaupun langkah ini dilihat progresif, Dr Bennet menganggap ia masih tidak mencukupi kerana perlindungan tersebut sepatutnya meliputi usia 18 tahun dan ke bawah.

“Otak adalah otak pascamitosis. Ini bermakna ia tidak akan menjana semula apa-apa sel selepas kecederaan. Untuk itu, larangan ini perlu dipanjangkan hingga ke usia 18 tahun, apabila otak tersebut telah berkembang sepenuhnya dan berupaya untuk menahan kerosakan,” tambah Dr Bennet.

Beliau turut berpendapat bahawa kanak-kanak perlu bermain sukan bola sepak yang telah diubah suai bagi melindungi mereka untuk jangka panjang. Mungkin ada yang berpendapat bahawa melarang perbuatan menanduk bola dalam sukan tersebut akan merosakan keseronokan sukan tersebut. Akan tetapi, Dr Bennet tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan menganggap sukan boleh diubah suai dan mengadaptasi teknik tertentu untuk melindungi pemain.

Awal tahun ini, Persatuan Bola Sepak Dunia (UEFA) telah memohon agar peraturan permainan diubah sedikit bagi mengurangkan tekanan ke atas staf perubatan dan juga doktor yang sedang menilai pemain atas padang. Ini membolehkan doktor melakukan penilaian yang mencukupi ke atas kecederaan kepala pemain dan membendung kemasukan semula pemain yang telah mengalami konkusi ke dalam padang. Tindakan ini persis penilaian kecederaan kepala (HIA) yang telah dilakukan oleh sukan Ragbi.

Walaupun ia mungkin tidak disenangi ramai dan bertentangan dengan pendapat popular, faktor keselamatan pemain tidak boleh dipandang enteng. Pihak berkuasa perlu memandang isu ini dengan serius dan mencari penyelesaian terbaik untuk peminat dan juga pemain bola sepak. Hakikat dan kebenaran perlu dihadapi walaupun ia tidak disenangi.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

The FIELD Study – G.B.I.R.G.

Russell, E. R.; Stewart, K.; Mackay, D. F.; MacLean, J.; Pell, J. P.; Stewart, W. Football’s InfluencE on Lifelong Health and Dementia Risk (FIELD): Protocol for a Retrospective Cohort Study of Former Professional Footballers. BMJ Open 2019, 9 (5), e028654. https://doi.org/10.1136/bmjopen-2018-028654.

Dr Bennet Omalu makes call to outlaw headers by players under 18 https://www.dailymail.co.uk/health/article-7624157/Dr-Bennet-Omalu-makes-impassioned-call-authorities-outlaw-headers-players-18.html (accessed Oct 30, 2019).

Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
Disemak pada 30/10/2019
x