backup og meta

Benarkah Semula Jadi Itu Semuanya Selamat?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 29/10/2018

    Benarkah Semula Jadi Itu Semuanya Selamat?

    Ramai orang sudah mula ingin kembali kepada semula jadi dan cuba mengelakkan ‘bahan kimia’ daripada ubat-ubatan hospital. Golongan ini mengutamakan herba dan tumbuhan semula jadi untuk merawat banyak keadaan kesihatan mereka.

    Memandangkan daripada sumber semula jadi, sudah tentunya ia selamat. Benarkan dakwaaan ini?

    Bahan kimia dan semula jadi

    Bercakap tentang bahan kimia, ramai mungkin akan berasa takut terhadap kesan yang ia boleh berikan kepada tubuh. Sebenarnya, banyak ubat-ubatan di hospital yang diberikan oleh doktor diambil daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi. Contohnya, digoxin (jantung), codeine (bius lokal), dan reserpin (darah tinggi). Semua ubat ini mempunyai bahan kimia yang berasal daripada tumbuh-tumbuhan dan ia disimpan dalam bentuk pil, kapsul, atau cecair.

    Oleh itu, bahan kimia yang mungkin dilihat sebagai satu yang negatif oleh sebahagian pihak hakikatnya adalah tidak benar. Apa yang dimaksudkan oleh bahan kimia dalam ubat-ubatan ini ialah mempunyai komponen bioaktif iaitu sejenis bahan yang boleh memberikan kesan terhadap tubuh.

    Sebagai contoh, komponen bioaktif dalam digoxin membantu menguatkan pergerakan jantung dalam pesakit yang mengalami kegagalan jantung.

    Sumber semula jadi belum tentu selamat

    Ular, kala jengking, dan labah-labah beracun. Adakah semua ini selamat? Bukankah ia juga merupakan sumber semula jadi?

    Begitu juga dengan racun yang terdapat dalam sesetengah tumbuhan seperti cendawan. Anda tidak boleh mengambil sebarang tumbuhan di dalam hutan untuk digunakan dengan mendakwa bahawa ia adalah selamat hanya dengan alasan ia ialah semula jadi.

    Banyak perkara perlu dilihat sebelum ia boleh diambil dengan selamat. Ini termasuk komponen bioaktif yang terdapat dalam tumbuhan tersebut dan apakah dos yang selamat bagi manusia. Setiap ubat perlu melalui proses panjang selama 5 hingga 10 tahun sebelum boleh dipreskrip oleh doktor selepas mengkaji kesan baik dan buruknya. Malah, ada ubat yang mengambil masa sehingga 20 tahun sebelum disahkan selamat.

    Penyalahgunaan dadah juga bersumberkan bahan semula jadi

    Ganja dan ketum juga berasal daripada tumbuh-tumbuhan tetapi ia bukanlah sesuatu yang sepenuhnya selamat digunakan. Jika diambil dengan kadar yang salah, ia menyebabkan ketagihan dan kesan yang buruk terhadap tubuh. Dalam semua perkara, pengambilan berlebihan akan menyebabkan kesan negatif. Melalui kajian, dos yang sesuai dapat ditentukan.

    Jangan takut untuk mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau ahli farmasi. Semua staf kesihatan mempunyai tujuan dan niat yang baik untuk membantu anda. Jika ada sebarang keraguan atau kebimbangan, sila berbincang dengan mereka.

    Tidak salah untuk menggunakan rawatan tradisional sebagai usaha tambahan tetapi jangan sampai meninggalkan sepenuhnya rawatan yang diberikan oleh doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 29/10/2018

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan