backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

5 Bahan 'Simple' Ini Berkesan Halau Lalat Dalam Rumah, Cuba Sekarang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/11/2022

5 Bahan 'Simple' Ini Berkesan Halau Lalat Dalam Rumah, Cuba Sekarang!

Jika lalat banyak berterbangan di dalam rumah, ia pasti menyebabkan rasa yang tidak selesa, lebih-lebih lagi jika ia kerap hinggap pada makanan. Untuk anda yang mencari cara halau lalat di rumah, kami kongsikan di sini lima petua halau lalat guna bahan semula jadi sahaja.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.

Adakah lalat rumah bahaya?

Pada kebanyakan orang, lalat mungkin hanya sekadar satu gangguan.

Namun, tahukah anda bahawa lalat rumah juga boleh membawa beberapa jenis bakteria atau virus penyebab penyakit.

Antara jenis-jenis penyakit yang boleh dibawa bersama oleh lalat ialah seperti kolera, demam tifoid, disentri, jangkitan mata, keracunan makanan, E. coli, dan juga tuberkulosis.

Oleh sebab itu, lalat tidak boleh dibiarkan membiak dengan banyak, apatah lagi sehingga hinggap pada makanan di rumah anda.

5 cara halau lalat paling berkesan

Banyak kaedah dan petua halau lalat yang dikongsikan di media sosial.

Namun, apa yang ingin kami kongsikan di sini ialah petua halau lalat yang menggunakan bahan semula jadi dan tidak berbahaya.

Ini bahan-bahannya:

Cara halau lalat 1: Tanam pokok-pokok ini

cara halau lalat

Ada beberapa jenis pokok dan herba yang boleh membantu menghalau lalat di sekitar kawasan rumah.

Malah, pokok-pokok ini juga sesuai untuk ditanam di dalam rumah.

Antaranya ialah seperti pokok selasih, lavender dan juga pokok daun salam.

Pokok selasih dan daun salam bukan hanya berperanan menghalau lalat, tetapi juga boleh digunakan dalam masakan.

Jadi, tidak rugi jika anda menanamnya.

Petua halau lalat 2: Campuran sabun dan cuka

Lalat amat tertarik dengan bau cuka seperti cuka epal. Jadi, ia boleh digunakan sebagai umpan untuk memerangkap lalat.

Caranya ialah, masukkan sekitar 1 inci cuka epal ke dalam gelas atau bekas dan campurkan sekali beberapa titis sabun pencuci pinggan.

Setelah itu, balut bekas menggunakan pembalut makanan plastik dan ikat dengan gelang getah. Kemudian, tebukkan beberapa lubang kecil pada plastik tersebut.

Lalat akan tertarik dengan bau cuka, dan masuk ke dalam bekas melalui lubang tersebut. 

Cara halau lalat 3: Kulit kayu manis

cara halau lalat

Kulit kayu manis yang biasa digunakan dalam masakan sebenarnya amat dibenci oleh lalat.

Ini disebabkan oleh bau dan aromanya yang agak kuat selain sesetengah komponennya yang boleh menjadi toksik kepada lalat.

Anda boleh meletakkan beberapa batang kulit kayu manis ke dalam bekas dan letakkan bekas tersebut di tengah ruang bilik.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan minyak pati kulit kayu manis atau serbuknya.

Untuk kesan yang lebih baik, bakar serbuk kulit kayu manis agar ia boleh mengeluarkan bau kuat sehingga menghalau lalat dalam rumah.

Petua halau lalat 4: Semburan cuka epal

Anda juga boleh membuat semburan sendiri dengan menggunakan cuka epal sebagai salah satu cara halau lalat yang berkesan.

Caranya ialah, campurkan dua bahagian cuka epal bersama-sama satu bahagian air sejuk.

Kemudian, masukkan ke dalam botol penyembur dan semburkan ke atas permukaan yang kerap dihinggapi lalat.

Jangan sesekali mengelapnya dengan kain dan biarkan ia kering dengan sendiri. 

Petua halau lalat 5: Guna minyak pati herba

cara halau lalat

Anda juga boleh menyemburkan beberapa jenis minyak pati herba sebagai usaha dan cara halau lalat di rumah.

Antara minyak pati atau essential oil yang boleh anda gunakan ialah seperti lavender, eucalyptus, serai dan juga pudina.

Hanya semburkan minyak ini pada kawasan yang kerap dikunjungi oleh lalat.

Ia bukan sahaja menghalau lalat daripada hinggap, tetapi juga mewangikan ruang dalam rumah anda. 

Cegah lalat daripada awal lagi

Untuk mengelakkan kehadiran lalat yang banyak dalam rumah, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan sebagai langkah pencegahan awal.

Antaranya ialah:

  • Jangan biarkan pinggan mangkuk kotor berada dalam sinki
  • Buang sampah setiap hari bagi mengelakkan pembiakan larva lalat
  • Tutup lampu di luar rumah apabila tidak digunakan kerana lalat tertarik kepada sumber cahaya
  • Bersihkan najis haiwan yang dibela dalam rumah seperti najis kucing
  • Bersihkan halaman rumah daripada segala daun reput dan bangkai haiwan

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.



Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 16/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan