Semakin ramai orang bimbang tentang risiko kesihatan yang disebabkan oleh merokok, membuatkan ramai lebih takut untuk merokok. Sebab itulah syarikat-syarikat produk tembakau memperkenalkan rokok jenis baru untuk menyelamatkan duit poket mereka. Rokok ringan didakwa mengandungi kurang tar dan nikotin, sekali gus menjadikan ia lebih selamat. Ia diwar-warkan sebagai penyelesaian yang lebih sihat untuk perokok yang takut kanser tetapi tidak mahu berhenti. Walau bagaimanapun, kajian ini telah menunjukkan bahawa rokok jenis ini juga mengandungi risiko kanser seperti rokok jenis lama.
Sebilangan besar perokok memilih rokok ringan kerana mereka percaya ia lebih selamat untuk kesihatan mereka. Secara teorinya, jumlah nikotin yang rendah bermakna risiko kanser rendah, sekurang-kurangnya menurut syarikat-syarikat tembakau. Ramai pengguna rokok ringan menyedari asap yang mengalir melalui tekak mereka lebih lembut dan ringan, mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap iklan dari syarikat-syarikat tembakau. Malah, eksperimen makmal membuktikan pendedahan tar dari rokok ringan sama seperti rokok biasa membuatka ia tetap berbahaya. Semua produk tembakau boleh menyebabkan kanser. Jadi, sebenarnya tiada cara untuk membuatkan ia lebih selamat, walaupun sedikit.
Dalam erti kata lain, apa-apa jenis rokok akan memberi risiko kanser paru-paru yang sama. Lebih-lebih lagi, bukan sedakar paru-paru sahaja yang terkesan bahkan hampir semua organ-organ di dalam badan anda boleh terjejas dari amalan merokok. Tidak kira apa sahaja janji-janji manis yang ditawarkan oleh syarikat tembakau di dalam iklan mereka, beralih dari rokok biasa kepada rokok ringan tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada badan anda. Tahap tar rokok ringan diukur dengan mesin. Menurut penilaian oleh syarikat-syarikat terbabit, rokok ringan menghasilkan tar lebih rendah dari rokok biasa, yang mungkin dilihat lebih baik di mata pembeli. Walau bagaimanapun, tiada cara muktamad untuk menentukan berapa banyak tar yang disedut kerana setiap perokok merokok dengan cara yang berbeza.
Reka bentuk khas untuk mengurangkan tar di dalam rokok ringan juga mengurangkan jumlah nikotin. Akibatnya, perokok, yang ketagih nikotin akan menyedut dengan lebih dalam dan cepat tanpa sedar, atau mengambil lebih banyak rokok untuk memenuhi keperluan nikotin mereka. Oleh itu, mereka akan berakhir dengan mengambil lebih tar, nikotin dan bahan kimia toksik yang lain.
Pendek kata, adalah selamat untuk mengatakan bahawa rokok ringan tidak boleh menurunkan risiko kanser yang terkait dengan merokok. Berhenti merokok adalah satu-satunya cara yang sebenar untuk mengelakkan diri dan orang di sekeliling anda dari kanser.
[embed-health-tool-bmi]