backup og meta

Telefon Pintar Punca Ramai Sukar Terlelap, Lena Pada Waktu Malam - Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    Telefon Pintar Punca Ramai Sukar Terlelap, Lena Pada Waktu Malam - Kajian

    Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Farid masih menggerakkan badannya ke kiri dan kanan, mencari posisi tidur yang boleh membantunya untuk melelapkan mata. Sejak akhir-akhir ini, dia mengalami kesukaran untuk tidur, dan kerap terjaga di tengah malam. Farid sendiri tidak tahu apakah punca yang menyebabkannya semakin sukar untuk tidur malam dan menikmati tidur yang lena seperti orang lain. Anda juga mungkin seperti Farid, sukar untuk tidur malam dan tidak mengetahui puncanya yang sebenar?

    5 juta individu sukar untuk tidur

    Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan, semakin ramai penduduk di negara Uncle Sam tersebut yang mempunyai kesukaran untuk terlelap dan lena semasa tidur setiap tahun. Hampir 5 juta individu dewasa di Amerika Syarikat sahaja mengalami kesukaran untuk tidur malam dengan lena. Walau bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan adalah, kesukaran untuk melelapkan mata dan tidur dengan lena pada waktu malam ini lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka yang tidur dengan waktu yang dicadangkan, iaitu antara tujuh hingga sembilan jam.

    Telefon punca sukar untuk tidur

    Para penyelidik daripada Iowa State University menyatakan, berdasarkan kajian lepas, remaja mengalami kesukaran untuk melelapkan mata apabila mereka bermain dengan telefon sebelum tidur, dan kemungkinan kelakuan tersebut mungkin terus berlaku kepada individu dewasa. 

    Kajian ini telah membuat penelitian terhadap data daripada sekitar 165,000 individu daripada National Health Interview Survey. Antara tahun 2013 hingga 2017, bilangan individu dewasa yang dilaporkan mengalami kesukaran tidur sekurang-kurangnya satu hari dalam seminggu meningkat kepada 1.43 peratus. Manakala bilangan individu dewasa yang menyatakan mereka sukar untuk tidur lena sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu juga meningkat sebanyak 2.7 peratus. 

    Menurut pengarang utama kajian terbabit, Garrett Hisler, mereka mengetahui melalui kajian lepas mereka bahawa terdapat korelasi atau perkaitan antara penggunaan telefon pintar dan ketidakcukupan tidur dalam kalangan remaja. Menurut Garrett lagi, sekiranya kita menggunakan telefon sebelum tidur atau menerima sebarang mesej atau pemberitahuan ketika sedang tidur, ia akan menyebabkan kita lebih sukar untuk terlelap atau kekal lena ketika tidur pada waktu malam. 

    Tempoh dan kualiti tidur adalah sama penting

    Menurut Dr. Zlatan Krizan, profesor dalam bidang psikologi di Iowa State University menyatakan, jumlah tempoh tidur adalah penting. Walau bagaimanapun, selena mana kita tidur dan bagaimana kita rasa berkenaan kualiti tidur kita juga adalah penting. Menurut beliau, kesihatan tidur adalah satu fenomena multidimensi, oleh itu dengan melakukan penelitian terhadap kesemua aspek tidur adalah amat penting untuk kajian masa hadapan. 

    The National Sleep Foundation, Amerika Syarikat mencadangkan kepada individu dewasa untuk mendapatkan antara tujuh hingga sembilan jam waktu tidur setiap malam. Walau bagaimanapun, kajian daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC) pada tahun 2015 menunjukkan, sekitar 50% daripada individu dewasa di Amerika Syarikat tidak mendapat waktu tidur yang mencukupi seperti yang disyorkan. 

    Bagi individu dewasa terutamanya mereka yang telah bekerja, anda sememangnya disarankan untuk tidur sekurang-kurangnya sebanyak 7 jam setiap hari. Ini bermakna, jika anda perlu bangun pada pukul 6 pagi, anda perlu tidur selewat-lewatnya pada jam 11 malam. Tidur yang tidak mencukupi juga telah menunjukkan peningkatan risiko bagi seseorang individu untuk mendapat obesiti, diabetes, penyakit jantung dan juga kanser. Oleh itu, jom kita tidur lebih lama pada waktu malam. Tidur kan best!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan