Tersalah diagnosis adalah perkara biasa dalam kes anisakiasis disebabkan oleh simptom-simptom penyakit ini yang tidak spesifik. Diagnosis seperti apendisitis, ulser perut, tumor gastrik, peritonitis, dan penyakit Crohn sering dibuat sebelum Anisakiasis disahkan. Kunci utama diagnosis Anisakiasis adalah sejarah pengambilan makanan laut mentah.
Anisakiasis di Malaysia
Penyakit Anasiakiasis pertama kali dikesan di Netherland dan banyak dilaporkan di negara yang gemar memakan ikan mentah seperti Jepun, Perancis, Sepanyol dan Jerman.
Di Malaysia, kes Anisakiasis pernah dilaporkan pada tahun 2016 dalam seorang pesakit berusia 64 tahun yang mengalami simptom cirit-birit dan najis berdarah. Pesakit tersebut dipercayai dijangkiti parasit tersebut daripada sushi yang dimakannya dua hari sebelumnya.
Percutian dan pengenalan makanan dan kaedah memasak dari negara-negara asing menjadi trend di seluruh dunia. Trend ini termasuklah makan makanan laut mentah atau kurang masak. Kajian mendapati cacing parasit ini telah pun ditemui dalam hidupan marin di Asia Tenggara dan mungkin akan menyebabkan jangkitan pada manusia di masa akan datang.
Bagaimana Anisakiasis boleh dicegah?
Jangkitan Anisakiasis kebiasaannya tidak berkesan dirawat dengan ubat antihelminth dan selalunya memerlukan endoskopi untuk diagnosis dan rawatan. Oleh itu, cegah Anisakiasis dengan memasak atau membekukan makanan laut sebelum dimakan. Menggaram, memanggang dan memerap ikan tidak akan membunuh larva cacing tersebut. Pencegahan terbaik daripada Anisakiasis adalah dengan mengelakkan makanan laut mentah, atau memastikannya dibekukan di bawah -20 celcius selama sekurang-kurangnya 24 jam. Atau memastikan makanan laut dimasak pada suhu 60 celsius.
Adakah cacing Anisakis dalam tin berbahaya?
Semua organisma hidup, termasuk ikan, mungkin mempunyai parasit. Adalah penting untuk difahami bahawa parasit adalah kejadian semula jadi, bukan pencemaran. Parasit tidak mendatangkan masalah kesihatan dalam ikan yang dimasak dengan teliti. Proses pengetinan ikan melibatkan pemanasan untuk pensterilan komersial yang cukup untuk memastikan kemusnahan parasit.
Sebaliknya, penyakit Anisakiasis patut dikhuatiri dalam pengambilan ikan mentah dan langkah pencegahan yang sesuai patut diambil untuk mengelakkan jangkitan parasit ini.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen