Kegunaan
Apakah kegunaan Plendil® (felodipine)?
Plendil® terdapat dalam kelas ubat yang dikenali sebagai penyekat saluran kalsium. Felodipine mengendurkan (meluaskan) saluran darah anda (vena dan arteri), yang memudahkan jantung mengepam dan mengurangkan beban kerja jantung.
Plendil® digunakan untuk merawat hipertensi (tekanan darah tinggi).
Apakah kaedah pengambilan Plendil® (felodipine)?
Ambil Plendil® seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan ambil dalam jumlah yang lebih besar atau lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan. Ikuti arahan pada label preskripsi anda.
Doktor anda mungkin akan mengubah dos anda untuk memastikan anda memperoleh kesan yang terbaik.
Anda boleh mengambil Plendil® tanpa makanan atau makanan ringan, tetapi ambil ubat ini dengan cara yang sama setiap kali.
Apakah kaedah penyimpanan Plendil® (felodipine)?
Plendil® paling baik disimpan pada suhu bilik jauh dari cahaya terus dan kelembapan. Untuk mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan Plendil® di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin ada jenama Plendil® yang berbeza yang mungkin mempunyai keperluan penyimpanan yang berlainan. Adalah penting untuk sentiasa menyemak pakej produk untuk arahan mengenai penyimpanan, atau boleh bertanya kepada ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda perlu menyimpan semua ubat dari kanak-kanak dan binatang peliharaan.
Anda tidak boleh membuang Plendil® ke dalam tandas atau menuangkannya ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Adalah penting untuk membuang produk ini dengan betul apabila ia tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut tentang cara membuang produk anda dengan selamat.
Langkah berjaga-jaga & amaran
Apakah yang saya perlu tahu sebelum mengambil Plendil® (felodipine)?
Sebelum mengambil Plendil®, sila beritahu doktor anda:
- Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor
- Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan supplemen
- Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif pada Plendil® atau ubat-ubatan lain
- Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain
- Anda mempunyai penyakit hati atau kegagalan jantung kongestif
Tekanan darah anda perlu diperiksa dengan kerap dan anda mungkin perlu menjalani ujian darah lain. Lawati doktor anda dengan kerap.
Terus gunakan Plendil® seperti yang diarahkan, walaupun anda berasa sihat. Tekanan darah tinggi biasanya tidak mempunyai gejala. Anda mungkin perlu menggunakan ubat tekanan darah untuk sepanjang hayat anda.
Berus dan flos gigi dengan kerap semasa mengambil ubat ini. Plendil® boleh menyebabkan bengkak ringan pada gusi anda, yang boleh dielakkan dengan kebersihan gigi yang baik.
Adakah Plendil® (felodipine) selamat digunakan ketika mengandung dan menyusukan bayi?
Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil Plendil®. Plendil® adalah ubat yang diklasifikasikan dalam kategori risiko kehamilan C menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).
Rujukan kategori risiko kehamilan FDA adalah seperti berikut:
A=Tiada risiko
B=Tiada risiko dalam beberapa kajian
C=Mungkin ada risiko
D=Bukti risiko yang positif
X=Dikontrapenunjukan
N=Tidak diketahui
Kesan sampingan
Apakah kesan sampingan yang boleh berlaku dari pengambilan Plendil® (felodipine)?
Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda tindak balas alergi terhadap Plendil®; geligata, pernafasan sukar, bengkak muka, bibir, lidah, atau tekak anda. Hubungi doktor anda serta-merta jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius seperti:
- Rasa seperti ingin pengsan
- Rasa pendek nafas/ semput, bengkak di tangan atau kaki anda
- Denyutan jantung laju atau berdebar-debar
- Rasa kebas atau rasa sesemut
- Sakit dada atau rasa berat, sakit merebak ke lengan atau bahu, mual, berpeluh, rasa tidak sihat secara umum
Kesan sampingan yang kurang serius mungkin termasuk:
- Sakit kepala, pening, mengantuk, kelemahan
- Merasa gelisah atau gugup
- Mual, sakit perut, sembelit, cirit-birit, sakit perut
- Masalah tidur (insomnia)
- Sakit sendi atau kekejangan otot
- Kehangatan, kemerahan, atau rasa sesemut di bawah kulit anda
- Ruam ringan
- Membuang air kencing lebih banyak daripada biasa
- Gejala demam selsema seperti hidung tersumbat, bersin, sakit tekak
Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.
Tindak balas ubat
Apakah ubat yang mungkin bertindak balas dengan Plendil® (felodipine)?
Plendil® boleh bertindak balas dengan ubat lain yang anda sedang ambil, yang mana boleh mengubah cara ubat anda berfungsi atau meningkatkan risiko anda untuk kesan sampingan yang serius. Untuk mengelakkan sebarang potensi tindak balas ubat, anda harus menyimpan senarai semua ubat yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi, ubat tanpa preskripsi, dan produk herba) dan kongsikan dengan doktor dan ahli farmasi anda. Untuk keselamatan anda, jangan mulakan, berhenti atau ubah dos sebarang ubat tanpa kelulusan doktor anda.
Produk yang boleh bertindak balas dengan ubat ini adalah:
- Cimetidine (Tagamet)
- Conivaptan (Vaprisol)
- Imatinib (Gleevec)
- Isoniazid (untuk merawat batuk kering)
- Tacrolimus (Prograf)
- Antibiotik seperti clarithromycin (Biaxin), dalfopristin / quinupristin (Synercid), eritromisin (E.E.S., EryPed, Ery-Tab, Erythrocin), atau telithromycin (Ketek)
- Ubat antikulat seperti clotrimazole (Mycelex Troche), itraconazole (Sporanox), ketoconazole (Nizoral), atau voriconazole (Vfend)
- Ubat Antimurung seperti nefazodone
- Penyekat beta seperti atenolol (Tenormin, Tenoretic), carvedilol (Coreg), labetalol (Normodyne, Trandate), metoprolol (Lopressor, Toprol), nadolol (Corgard), propranolol (Inderal, InnoPran) (Blocadren), dan lain-lain
- Ubat HIV / AIDS seperti atazanavir (Reyataz), delavirdine (Reskriptor), fosamprenavir (Lexiva), indinavir (Crixivan), nelfinavir (Viracept), saquinavir (Invirase), atau ritonavir (Norvir)
- Ubat jantung atau tekanan darah lain seperti diltiazem (Cartia, Cardizem), nifedipine (Nifedical, Procardia), verapamil (Calan, Covera, Isoptin, Verelan), dan lain-lain
- Ubat sawan seperti carbamazepine (Carbatrol, Tegretol), phenobarbital (Solfoton), atau phenytoin (Dilantin)
Adakah makanan atau minuman beralkohol bertindak balas dengan Plendil® (felodipine)?
Plendil® boleh bertindak balas dengan makanan atau minuman beralkohol dengan mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko untuk kesan sampingan yang serius. Sila berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang potensi tindak balas makanan atau minuman beralkohol sebelum menggunakan ubat ini.
Apakah keadaan kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Plendil® (felodipine)?
Plendil® mungkin bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tinda balas ini boleh memburukkan keadaan kesihatan anda atau mengubah cara ubat berfungsi. Adalah penting untuk sentiasa memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi anda tentang keadaan kesihatan yang anda sekarang.
Dos
Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan Plendil® (felodipine).
Apakah dos Plendil® (felodipine) untuk orang dewasa?
Dos permulaan yang disyorkan ialah 5 mg sekali sehari. Bergantung kepada tindak balas pesakit, dos boleh diturunkan hingga 2.5 mg atau dinaikkan kepada 10 mg sekali sehari.
Pelarasan ini sepatutnya berlaku pada sela waktu tidak kurang dari 2 minggu. Julat dos yang disyorkan ialah 2.5-10 mg sekali sehari.
Dalam ujian klinikal, dos melebihi 10 mg setiap hari menunjukkan tindak balas tekanan darah meningkat tetapi juga peningkatan yang besar dalam kadar edema periferal dan lain-lain kesan buruk vasodilatasi
Apakah dos Plendil® (felodipine) untuk kanak-kanak?
Belum ada dos yang disyorkan untuk pesakit pediatrik. Ia mungkin tidak selamat untuk anak anda. Ia sentiasa penting untuk memahami sepenuhnya keselamatan ubat sebelum menggunakannya. Sila berunding dengan doktor atau ahli farmasi untuk maklumat lanjut.
Apakah bentuk ketersediaan Plendil® (felodipine) yang boleh didapati?
Plendil® boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan dos berikut:
- Tablet 2.5 mg, 5 mg, 10 mg
Apakah yang perlu saya lakukan jika terdapat kecemasan atau terlebih dos?
Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.
Bagaimanakah pula jika saya terlepas dos?
Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos Plendil®, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.
[embed-health-tool-bmi]