Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Kami budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Bercakap tentang buah tempatan eksotik ini, cempedak adalah antara buah kegemaran masyarakat Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Dengan rasa yang manis dan berlemak, ia menjadi pilihan santapan tak kira waktu atau musim. Apatah lagi jika digoreng dengan tepung beras, tentunya sangat mengiurkan.
Di samping rasa yang enak, buah ini juga sebenarnya kaya dengan khasiat. Apakah khasiatnya?
1. Baik untuk mata
Buah ini kaya dengan vitamin A. Jika kita selalu mendengar vitamin A terkandung banyak dalam lobak merah, cempedak juga mengandungi vitamin ini. Ia penting dalam mengekalkan kesihatan mata dan kornea.
2. Membantu pergerakan usus
Kandungan serat dalam buah ini dapat membantu meningkatkan kesihatan serta pergerakan usus. Biji cempedak juga mengandungi serat. Ia boleh diproses menjadi tepung sebagai alternatif kepada tepung roti. Ada juga yang memakan bijinya yang telah direbus.
3. Kesihatan jantung
Antioksidan, serat dan vitamin C yang merupakan sebahagian daripada kandungan cempedak membantu dalam mengekalkan kesihatan jantung. Potasium yang tinggi pula mampu merendahkan tekanan darah. Vitamin C juga membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam darah. Semua ini membantu meningkatkan kesihatan jantung.
4. Merawat malaria
Beberapa kandungan pada buah dan kulit cempedak seperti Artioindonesianidin dan heteriflavon C didakwa membantu mencegah serta merawat sejenis demam berdarah bawaan nyamuk, iaitu malaria.
5. Mengawal berat badan
Buah cempedak memberikan rasa kenyang dalam tempoh yang lama disebabkan kandungan serat yang tinggi. Ini akan membantu mengurangkan rasa ingin makan seterusnya mengurangkan jumlah kalori yang diambil. Walau bagaimanapun, jika anda mengambilnya dengan banyak setiap hari, jangan terkejut pula kalau berat badan anda meningkat.
Ia membantu memberikan rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan makanan lain, bukannya menurunkan berat badan.
[embed-health-tool-bmr]