Endometriosis Bukan Sekadar Senggugut Biasa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Senggugut atau sakit semasa haid mungkin merupakan aduan biasa yang dialami oleh wanita. Namun, bukan semua senggugut adalah normal dan biasa lebih-lebih lagi jika ia sampai menjejaskan aktiviti harian sehingga terpaksa mengambil cuti dan tidak mampu bangun dari katil.

Antara sebab yang biasa bagi senggugut seperti ini adalah endometriosis. Penyakit yang kerap berlaku dalam kalangan wanita ini masih agak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Keadaan di mana terdapat tisu lapisan dalam rahim (endometrium) di luar rahim ini bukan sahaja boleh menyebabkan sakit semasa haid, tetapi juga berpotensi menjejaskan kesuburan wanita tersebut.

Endometriosis boleh membuatkan wanita tertekan

Rasa sakit yang teruk semasa haid yang disebabkan oleh endometriosis kadangkala melibatkan seluruh badan. Ada juga wanita yang mungkin boleh pengsan. Pengalaman seperti ini tentunya membuatkan hidup mereka tertekan. Lebih-lebih lagi, ia bukannya berlaku sekali, tetapi setiap bulan!

Tambahan pula, kesuburan turut boleh terjejas. Ini sudah pasti akan menambah lagi tekanan yang terpaksa dihadapi oleh mereka. Jika tidak ditangani, kualiti hidup mereka akan terjejas.

Oleh sebab itu, kesedaran tentang penyakit ini perlu diperluas. Masyarakat perlu tahu dan mereka yang mengalaminya tidak harus malu untuk mencari bantuan. Tidak pasti jika disebabkan perasaan malu atau tidak, masih ramai wanita di luar sana yang berdiam diri daripada mendapatkan bantuan sepatutnya.

Pasangan dan ahli keluarga memainkan peranan besar

Orang yang paling hampir dengan pesakit adalah pasangan dan ahli keluarga. Mereka ini memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan serta membantu mendapatkan bantuan perubatan yang tepat.

Endometriosis adalah penyakit kronik dan kerap datang semula walaupun selepas rawatan. Dalam sesetengah kes, pembedahan mungkin perlu dilakukan selama beberapa kali. Oleh itu, mereka memang sangat memerlukan sokongan.

Selain ahli keluarga, berada dalam satu medium atau kumpulan bersama mereka yang menghadapai keadaan yang sama juga banyak membantu berkongsi maklumat, cerita dan mengekalkan motivasi untuk melawan penyakit ini. Apa yang penting adalah untuk tidak berputus asa kerana setiap ujian itu pasti ada jalan keluarnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut