Inspirasi Kecergasan daripada Alam

Penulis: Aina Nur Azmi Psikologi klinikal

Artikel ini ditulis dengan kerjasama Naluri.    

31.1% orang dewasa di seluruh dunia secara fizikalnya tidak aktif. Penurunan dalam aktiviti luar disebabkan oleh pembandaran, termasuklah kemajuan teknologi melalui revolusi pertanian dan perindustrian, dan baru-baru ini, revolusi digital. Tumpuan aktiviti fizikal yang berstruktur pada masa kini juga telah beralih ke gimnasium, dewan sukan dan rumah berbanding aktiviti luar.

Walaubagaimanapun, apa yang sering kita terlepas pandang adalah fungsi persekitaran semulajadi yang menawarkan banyak manfaat untuk kesejahteraan dan pemulihan tekanan. Menghabiskan masa lapang di persekitaran hijau mempunyai kesan positif terhadap kesihatan mental dan umum yang yang dapat dirasakan. Tambahan pula, alam semula jadi dan ruang hijau menawarkan sumber yang murah untuk tujuan peningkatan aktiviti fizikal dan seterusnya mengurangkan gangguan berkaitan stres dan gaya hidup seperti sindrom burnout, obesiti, dan penyakit kardiovaskular.

Bagaimana alam mempromosikan kesihatan?

Alam memberikan suasana alam sekitar untuk aktiviti / senaman, yang menggalakkan peningkatan aktiviti fizikal. Ini membawa kepada kecergasan fizikal dan kesihatan yang lebih baik. Bukti bahawa senaman dan aktiviti fizikal mempunyai kesan positif terhadap kesihatan diketahui umum. Terdapat juga beberapa bukti bahawa aktiviti fizikal boleh memberi manfaat positif untuk kesihatan mental seperti penurunan kemurungan.

Alam memberi rangsangan tertentu untuk membolehkan pemulihan daripada keletihan yang terhasil daripada penumpuan perhatian, yang berlaku semasa proses kognitif yang memerlukan penumpuan perhatian yang berpanjangan. Ini termasuklah rutin harian anda seperti memandu, kerja pejabat, membaca dan sebagainya. Alam semulajadi mempunyai kualiti pemulihan yang mendorong perasaan ‘being away‘ dari kegiatan rutin dan persekitaran semulajadi menarik perhatian kita tanpa memerlukan kita untuk berusaha mendapatkannya.

Alam membolehkan pemulihan tekanan melalui tindak balas semula jadi kita terhadap ciri-ciri persekitaran semulajadi seperti keterbukaan ruang, kehadiran corak atau struktur, dan ciri-ciri air. Persepsi ciri-ciri ini dipercayai mencetuskan tindak balas emosi positif yang berkaitan dengan keselamatan dan kelangsungan hidup.

alam

Apa faedah yang diberikan oleh alam semula jadi

Selama bertahun-tahun, saintis telah menunjukkan bahawa alam dapat memberikan bantuan terhadap tekanan atau stres, meningkatkan interaksi sosial, menggalakkan senaman fizikal bahkan membantu menenangkan penyakit mental. Bersenam di luar rumah didapati lebih bermanfaat untuk kesihatan mental berbanding aktiviti ‘indoor’ dan tambahan lagi, persekitaran semula jadi mempunyai kesan yang lebih besar terhadap kesihatan psikologi terutama apabila dilakukan secara bersama dengan aktiviti bersukan atau bersenam. Manfaat bersenam dengan persekitaran hijau tidak diragukan mempunyai banyak manfaat, ini termasuklah:

Meningkatkan motivasi untuk bersenam

Ini adalah kaedah yang berkesan dalam mempromosikan perubahan gaya hidup dengan meningkatkan kadar pematuhan kepada program senaman. Bersenam dengan persekitaran hijau dapat membantu memotivasi aktiviti fizikal dengan meningkatkan keseronokan dan melepaskan diri daripada aktiviti harian, bersama-sama dengan nilai sosial dan hiburan.

Terdapat beberapa bukti untuk menunjukkan bahawa senaman mungkin lebih mudah apabila dilakukan di alam semula jadi. Apabila dibenarkan memilih sendiri kelajuan berjalan, para peserta cenderung berjalan lebih cepat di luar rumah, berbanding di dalam rumah. Sebaliknya, mereka melaporkan penarafan yang lebih rendah terhadap tenaga yang dirasakan, dan mereka menganggap senaman menjadi kurang apabila dilakukan di luar rumah.

Meningkatkan kesihatan mental

Bukti lanjut menunjukkan bahawa latihan di luar boleh meningkatkan mood. Semua jenis aktiviti senaman dalam persekitarn hijau juga meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan suasana negatif seperti ketegangan, kemarahan dan kemurungan. Menariknya, lima minit pertama senaman dalam persekitaran hijau kelihatan mempunyai kesan terbesar terhadap mood dan kayakinan diri, yang memberi manfaat kesihatan psikologi dengan segera.

Meningkatkan hasil fisiologi

Hasil fisiologi termasuk denyutan jantung, tekanan darah dan kawalan autonomi (menggunakan variabiliti kadar denyutan jantung) dan penanda endokrin termasuk noradrenaline, adrenalin dan kortisol (ukuran objektif stres) dipertingkatkan melalui senaman dalam persekitaran hijau. Pendedahan kepada alam semula jadi meningkatkan daya ghairah dan perhatian dengan kenaikan kadar denyutan jantung. Peningkatan variasi kadar denyutan jantung juga menunjukkan penyesuaian sistem saraf dalam menanggapi cabaran yang dialami oleh individu seperti tekanan dan senaman.

Meningkatkan imuniti

Aktiviti sel pembunuh semulajadi meningkat sehingga 30 hari selepas perjalanan selama tiga hari ke hutan untuk lelaki tetapi hanya tujuh hari untuk wanita. Ini menunjukkan bahawa interaksi dengan alam tidak perlu terlalu lama untuk mendapatkan faedah kesihatan fisiologi yang meluas.

Kitq berusaha keras untuk memelihara alam semula jadi dan memastikan bumi kita kekal sebagai tempat yang selamat dan sihat bagi kita untuk hidup. Ingatlah ucapan oleh Jim Rohn “Jaga badan anda, itu satu-satunya tempat yang anda perlu hidup”. Oleh itu, hargai diri sendiri dan badan anda sepertimana alam patut dihargai.

Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal di luar rumah menyediakan manfaat kesihatan yang tidak terdapat melalui aktiviti indoor. Di samping aspek sosial yang sering diutamakan oleh sesetengah individu, ia juga boleh meningkatkan keseronokan dan kepatuhan untuk membawa perubahan tingkah laku positif dalam sebahagian besar penduduk. Oleh itu, senaman di dalam persekitaran hijau dan aktiviti luar yang luar biasa boleh menjadi ubat semulajadi yang berguna untuk menangani cabaran kesihatan. Oleh itu, aktiviti di luar rumah bukanlah dianggap sebagai taman permainan bagi mereka yang menikmati sukan ekstrim sahaja, tetapi ianya juga merupakan ruang untuk semua.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 24, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 26, 2019

Aina Nur Azmi Psikologi klinikal
Aina merupakan seorang psikologis klinikal dan pelatih kesihatan di Naluri, dengan lebih daripada 6 tahun pengalaman berkhidmat sebagai psikologis klinikal di sektor kerajaan dan juga swasta. Beliau memperoleh Ijazah sarjana muda dalam bidang Psikologi daripada University of East London dan Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi klinikal daripada HELP University, Malaysia.
Aina berpengalaman dalam pembinaan keyakinan diri, penjagaan diri dan pengurusan amarah, di mana beliau menguruskan klien dengan pelbagai masalah seperti isu tidak hadir ke sekolah, isu keluarga, keyakinan diri dan juga kehibaan. Beliau minat dalam mempromosikan kesihatan mental melalui medium seperti syarahan dan ceramah.
Lihat Lebih Lagi
Artikel Terkini