backup og meta

Mahu Libatkan Anak Anda Dalam Sukan Lasak? Perhatikan Hal Ini Terlebih Dahulu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    Mahu Libatkan Anak Anda Dalam Sukan Lasak? Perhatikan Hal Ini Terlebih Dahulu

    Rock climbing? Skateboarding? Atau mungkin sea surfing? Apa lagi jenis sukan ekstrem atau lasak yang anda ceburi? Kegemaran anda terhadap jenis-jenis sukan lasak pasti menginginkan anda untuk mengajak ahli keluarga yang lain menceburinya. Mengajak anak-anak anda untuk kekal aktif melalui aktiviti sukan adalah satu yang amat baik. Malangnya, ada satu perkara yang perlu anda perhatikan atau ambil perhatian sebelum melibatkan anak anda bersama dalam sukan lasak. Apa dia?

    Potensi keretakan kepala

    Berdasarkan hasil kajian terbaharu oleh American Academy of Pediatrics (AAP) 2019 National Conference & Exhibition, sukan musim sejuk seperti ski boleh menyebabkan kecederaan, dan bagi golongan kanak-kanak, ia boleh menyebabkan keretakan pada bahagian kepala dan muka mereka. 

    Kajian mereka adalah berdasarkan 845 kes kemasukan kanak-kanak ke hospital akibat kecederaan berkaitan sukan musim sejuk. Mereka mendapati, lebih daripada separuh kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital memerlukan pembedahan utama bagi kecederaan yang dialami. Kanak-kanak yang berada di sekolah rendah adalah golongan yang lebih terdedah untuk mendapat keretakan kepala dan muka berbanding mereka yang lebih dewasa. Manakala bagi kanak-kanak atau remaja yang berada di sekolah menengah, mereka lebih cenderung untuk mengalami kecederaan dalam perut. 

    Jenis kecederaan yang sering berlaku

    Berdasarkan jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan berkaitan sukan musim sejuk, 75.8% daripada mereka adalah kanak-kanak lelaki. Kecederaan yang sering berlaku terhadap kanak-kanak ini terdiri daripada keretakan bahagian bawah tubuh (28.7%), kecederaan intrakranial (22.7%), kecederaan splenik (15.6%), keretakan bahagian atas tubuh (15.5%) dan keretakan tengkorak (9.1%). 

    Bagi menguatkan hasil kajian tersebut, terdapat kajian lain yang menyokong pendapat bahawa sukan lasak sememangnya merisikokan keselamatan kanak-kanak. Berdasarkan kajian pada tahun 2014 yang melibatkan 4 juta kecederaan akibat sukan lasak, 11.3% daripadanya adalah kecederaan berkaitan kepala dan leher. Kanak-kanak dan remaja pula adalah golongan yang paling tinggi mendapat kecederaan dalam aktiviti sukan lasak. Tiga jenis suka lasak yang sering menyebabkan kecederaan tersebut pula ialah skateboarding (129,600 kes), snowboarding (97,527 kes), dan ski (83,313 kes).

    Sekiranya anda benar-benar mahu anak anda terlibat dengan aktiviti sukan ekstrim, lengkapi mereka dengan peralatan dan kelengkapan keselamatan yang mencukupi seperti helmet dan pad lutut. Libatkan mereka hanya dengan aktiviti lasak yang bertahap rendah, yang sesuai dengan peringkat umur dan kemampuan mereka. Kemampuan mereka tidak sama dengan kemampuan individu dewasa, begitu juga dengan tahap kesihatan dan keselamatan mereka. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan