Penagihan Dadah, Masalah yang Tiada Pengakhiran

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 26/11/2019 . 3 mins read

Oh! Ibu

Kau disiram bayu pagi

Kehilangan terasa kini

Dan kesepian

Itu adalah antara bait-bait lagu ‘Untukmu Ibu’ nyanyian kumpulan Exist. Sebut tentang kumpulan Exist, anda pasti kenal dengan bekas vokalis kumpulan tersebut, Mamat dan tentang kisahnya dengan masalah penagihan dadah. 

Baru-baru ini, penyanyi ini dilaporkan ditahan polis ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, kerana memiliki sejumlah dadah.

Mengikut laporan yang diterbitkan, suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu. Malah ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah.

Penyanyi lelaki berusia 41 tahun terbabit sebelum ini pernah diberkas polis sebanyak dua kali berhubung isu sama pada tahun 2009 dan 2011.

Masalah berulang

Masalah penagihan dadah ini boleh dianggap sebagai satu isu yang akan berulang. Sering kali kita lihat, seseorang individu yang pernah terlibat dalam masalah dadah ini pasti akan kembali menjadi penagih dadah jika semangatnya tidak kuat. 

Sejujurnya masalah penagihan dadah ini bukanlah masalah yang menjadi bebanan kepada satu pihak sahaja, dalam konteks ini adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Tetapi hakikatnya, ia adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Jadi apakah cara yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah penagihan dadah ini daripada kembali berleluasa? 

Sebelum kita pergi kepada langkah penyelesaian yang boleh dilakukan, apa kata kita mengenali dulu apakah itu dadah dan maksud penagihan. 

Dadah dan penagihan

Dadah adalah bahan sah atau tidak sah yang digunakan tanpa pengawasan perubatan untuk keseronokan diri. Ia boleh merujuk kepada bahan yang dihasilkan daripada tanaman atau bahan sintetik.

Terdapat empat kategori utama dadah, iaitu:

Penekan

Dadah dari jenis ini berfungsi untuk menekan sistem saraf pusat (otak). Contoh dadah dalam kategori ini adalah alkohol, heroin, kodein, barbiturate dan transquilizer.

Perangsang

Berfungsi untuk merangsang sistem saraf pusat (otak). Contoh dadah dalam kategori ini adalah seperti kokain dan amfetamin.

Halusinogenik

Dadah dalam kategori ini berfungsi untuk mengubah fungsi sistem deria, khususnya deria pendengaran, penglihatan dan rasa. Antara contohnya adalah seperti LSD (acid) dan marijuana, ketamine, phencyclidine (PCP), termasuk dadah jenis organik iaitu peyote (mescaline) dan salvia divinorum (diviner’s sage).

Analgesik

Dadah ini berfungsi sebagai ubat penahan sakit yang dapat membantu mengurangkan kesakitan. Antara contohnya adalah morfin, tramadol.

Manakala penggunaan dadah boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu:

Penyalahgunaan

Tingkah laku penggunaan dadah secara salah, tidak betul dan bukan bagi tujuan perubatan. Tetapi ia diambil untuk mendapatkan keseronokan atau menghilangkan kecelaruan.

Penagihan

Merupakan penyakit kronik yang mudah relaps. Ia dicirikan oleh tingkah laku memperoleh dan menggunakan dadah secara kompulsif, walaupun penggunaannya boleh menyebabkan kesan-kesan yang memudaratkan. 

Atasi penagihan dadah

Jadi apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah penagihan ini daripada terus berleluasa? Berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan, seperti:

Ubah stigma

Langkah yang paling penting untuk dilakukan adalah daripada masyarakat umum itu sendiri. Dalam konteks ini, seharusnya masyarakat mengubah stigma dan berhenti daripada memandang negatif kepada semua individu yang pernah terlibat dengan masalah penagihan ini. 

Sedarkah anda, sebenarnya apabila kita sebagai individu di sekitar mereka yang pernah terlibat dengan penagihan ini terus memandang serong dan meminggirkan mereka, ia boleh meningkatkan kembali kecenderungan mereka untuk kembali ke kancah penagihan. Lebih kronik lagi apabila mereka mula melakukan jenayah bagi menampung keperluan dadah mereka. 

Rawatan dan bukan hukuman

Memetik laporan daripada Utusan Borneo Online yang diterbitkan pada 3 Oktober 2018, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid menyarankan kerajaan untuk menukar strategi serta memberikan kaedah rawatan berteraskan perubatan dan bukannya memberi hukuman.

Contoh yang boleh diambil adalah seperti sekiranya seorang penagih ditangkap dan ditemui dengan sejumlah kecil dadah, mereka perlu diberikan pilihan. Ia sama ada mereka mahu menjalani rawatan di klinik atau hospital bukannya terus dikenakan hukuman penjara atau dipaksa untuk menjalani rawatan di pusat serenti.

Nasihat dan peringatan

Tidak dinafikan segalanya bermula daripada didikan ibu bapa itu sendiri untuk memainkan peranan penting dalam mencegah anak-anak daripada terlibat ke dalam kancah penagihan dadah ini. Tugas dan peranan ibu bapa dalam memberikan nasihat dan peringatan adalah amat penting. Ia harus dimulakan dari awal lagi. Ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam memantau setiap pergerakan dan pergaulan anak-anak setiap masa.

Kesedaran diri sendiri

Pada hakikatnya, setiap individu itu harus mempunyai kesedaran dalam diri sendiri tentang bahayanya dadah. Semangat yang kuat diperlukan dalam setiap diri individu bagi menangkis keinginan untuk mencuba dadah. 

Ada yang mengatakan dadah dapat membantu menghilangkan masalah adalah khayalan yang amat mustahil. Tiada masalah yang boleh hilang tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikannya. Penggunaan dadah secara berlebihan tanpa nasihat doktor sebenarnya boleh menyebabkan kematian. 

Jangan pernah terfikir untuk mendekati dadah. Fikirkanlah tentang insan yang menyayangi anda seperti ahli keluarga dan rakan baik. Atau paling tidak, sayangilah diri anda sendiri. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    pembunuh bersiri, doktor

    Harold Shipman, Kisah Pembunuh Bersiri Licik Yang Juga Seorang Doktor…

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 17/11/2019 . 3 mins read

    Meth Mouth, Kerosakan Gigi dan Mulut Akibat Dadah

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 15/02/2019 . 2 mins read
    ganja

    Pengambilan Ganja Ubah Profil Genetik Sperma

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Diterbitkan pada 24/12/2018 . 2 mins read

    Mengapa Steroid Memudaratkan Kesihatan?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 26/09/2018 . 2 mins read