Fakta Mengenai MERS-CoV

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernah anda mendengar tentang MERS-CoV? Adakah semua fakta yang anda tahu mengenaninya adalah benar?

Ikuti artikel ini sehingga akhir untuk mendapatkan beberapa fakta penting mengenani MERS-CoV. Teruskan membaca!

1. MERS ialah penyakit, MERS-CoV ialah virus

MERS ialah singkatan kepada perkataan bahasa Inggeris Middle East Respiratory Syndrome atau Sindrom Pernafasan Timur Tengah. Daripada namanya, organ utama yang terjejas ialah paru-paru. Organ lain seperti saluran pemakanan juga mungkin boleh terjejas.

MERS-CoV pula ialah virus yang menjadi punca kepada penyakit ini. CoV itu merupakan singkatan kepada coronavirus, iaitu kumpulan virus yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit bermula demam biasa sehingga Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Kesimpulannya, MERS-CoV menyebabkan MERS.

2. Tiada vaksin dan rawatan khusus

Sehingga hari ini, masih tiada vaksin dan rawatan khusus bagi MERS. Langkah pencegahan yang digunakan ialah berbentuk penjagaan diri sama seperti penyakit jangkitan saluran pernafasan lain. Rawatan pula memberi fokus kepada mengawal simptom dan komplikasi yang dialami oleh pesakit.

3. Unta didapati banyak mengandungi MERS-CoV

Khususnya unta di negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir, Qatar, Oman, Yaman, dan Emiriah Arab Bersatu. Meskipun masih tidak jelas dari mana virus ini berasal, jangkitan didapati berlaku melalui sentuhan dengan unta yang dijangkiti dan sesama manusia.

Oleh itu, langkah-langkah penjagaan harus diambil berat semasa melawat ke negara di Timur Tengah. Elakkan minum air susu unta mentah sebelum diproses. Dalam beribadah mengerjakan umrah dan haji, kesihatan juga harus dijaga.

4. Satu kes melibatkan rakyat Malaysia dilaporkan pada tahun 2018

Jangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia masih dalam keadaan terkawal. Kes tunggal bagi tahun ini dilaporkan pada bulan Januari 2018 melibatkan seorang lelaki yang baru pulang daripada mengerjakan umrah. Semasa musim haji baru-baru ini, tiada kes jangkitan MERS-CoV dilaporkan melibatkan rakyat Malaysia.

5. Kadar kematian MERS ialah 35 peratus

Kadar ini mungkin melebihi angka sebenar kerana masih terdapat kes tanpa simptom yang tidak dilaporkan. Namun, peratusan yang ditunjukkan masih lagi tinggi. Dengan vaksin yang belum tersedia dan tiada rawatan khusus, MERS masih menjadi satu cabaran yang besar untuk ditangani.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut