Adakah Gemuk Bermaksud Sihat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Obesiti merupakan penyakit yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu dan kini Malaysia merupakan negara tergemuk di Asia Tenggara. Jika dilihat kepada kajian yang telah dibuat, hampir kesemuanya bersetuju bahawa obesiti boleh mendatangkan kemudaratan dalam jangka masa panjang. Sekejap. Hampir kesemuanya? Bukan semua ke? Ada ke kajian yang mengatakan sebaliknya? Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.

Paradoks obesiti

Pada tahun 2002, kajian yang dibuat oleh Gruberg telah mendapati bahawa rawatan untuk penyakit jantung mempunyai tahap keberkesanan yang tinggi dalam kalangan mereka yang obes. Ini bercanggah dengan apa yang kita tahu berkenaan dengan risiko kematian individu obes berbanding dengan individu biasa. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan risiko kematian mereka yang obes, akibat daripada penyakit kronik, adalah rendah berbanding dengan mereka yang mempunyai BMI yang normal. Fenomena ini telah dipanggil sebagai paradoks obesiti.

Susulan daripada kajian itu, pada tahun 2006, 40 kajian kohort telah diteliti untuk mengesahkan paradoks obesiti. Melalui penelitian ini, 260,000 data pesakit yang dirawat untuk penyakit jantung telah disemak. Mereka yang mempunyai BMI pada kelas obesiti mempunyai kadar mortaliti yang rendah berbanding mereka yang mempunyai BMI normal. Walau bagaimanapun, individu obesiti kelas 2 dan ke atas mempunyai kadar mortaliti yang paling tinggi. Ini bermaksud paradoks obesiti cuma berguna buat mereka yang mempunyai BMI di antara 30 ke 34.9 (nilai berbeza mengikut demografi tertentu).

Fenomena ini tidak terhad kepada penyakit jantung sahaja malah beberapa lagi penyakit kronik seperti strok, osteoporosis dan penyakit buah pinggang. Pelbagai jenis kajian telah dijalankan bagi mengkaji kesan obesiti terhadap penyakit-penyakit tersebut. Pada tahun 2011, kajian yang telah dijalankan oleh Vemmos telah mendapati mereka yang obes mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk hidup selepas serangan strok berbanding mereka yang mempunyai BMI normal. Kajian berkenaan dengan osteoporosis dalam kalangan warga emas pada tahun 2009 juga telah mendapati 75.3% mereka yang telah didiagnos merupakan individu yang mempunyai BMI yang rendah.

Jadi, adakah individu obesiti mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mencapai kepanjangan usia berbanding mereka yang mempunyai BMI normal? Jawapannya? Tidak sama sekali.

Diagnosis pada usia muda

“Jika kajian menunjukkan saya mempunyai peluang tinggi untuk hidup dengan penyakit kronik berbanding mereka yang mempunyai BMI normal, kenapa saya perlu berusaha untuk kurus?”

Jika anda ditanya oleh pesakit berkenaan dengan paradoks obesiti 2 tahun lepas, sukar untuk anda jawab. Namun pada tahun 2018, kajian yang dibuat oleh Dr Sadiya Khan telah mendapati bahawa maklumat yang diberikan dalam menjustifikasikan paradoks obesiti adalah tidak tepat. Walaupun mereka mempunyai respons yang baik dalam konteks rawatan penyakit kronik, individu obes mempunyai risiko yang tinggi bagi mendapat penyakit kronik tersebut berbanding dengan individu yang mempunyai BMI yang normal.

Dalam kajian tersebut, 190,672 rekod kesihatan pesakit telah disemak. Hasilnya, mereka mendapati bahawa penyakit kardiovaskular dialami oleh:

  • 37% individu lelaki yang mempunyai masalah berat berlebihan 
  • 47% individu lelaki yang mempunyai masalah obesiti 
  • 65.4% individu lelaki yang mempunyai masalah obesiti morbid
  • 32% individu lelaki yang mempunyai BMI normal

Setelah mempertimbangkan maklumat berkaitan demografi pesakit, Khan menyimpulkan bahawa mereka yang mempunyai BMI yang berlebihan mempunyai risiko seumur hidup yang tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular. Perkara penting yang perlu kita ingat adalah bukan keberkesanan rawatan terhadap pesakit obes yang sepatutnya menjadi buruan, tetapi kualiti hidup yang dialami mereka.

Individu obesiti mempunyai risiko yang tinggi untuk didiagnosis dengan penyakit kronik pada usia yang muda. Mereka mempunyai ruang masa bebas penyakit yang kecil dan ini meningkatkan risiko kematian mereka pada usia muda. Mereka yang mempunyai BMI normal secara puratanya akan hidup 5.6 tahun lebih lama berbanding dengan mereka yang mempunyai masalah obesiti morbid. Paradoks obesiti wujud berkemungkinan disebabkan oleh diagnosis penyakit kardiovaskular pada usia yang awal bagi individu obesiti.

Konklusi

Obesiti masih merupakan pembunuh dalam diam. Paradoks obesiti telah dibuktikan melalui kajian sebagai konsep yang mempunyai kelemahan berkaitan dengan kualiti hidup individu. Jika anda merupakan individu yang sering menggunakan paradoks obesiti sebagai alasan untuk tidak mengurangkan berat badan, berhentilah. Sudah tiba masanya untuk anda cuba mencapai BMI yang normal. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 4, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut